Saturday, February 26, 2011

Berkualitikah kerja anda?

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Semoga Tuan dan Puan sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera selalu dan dilimpahi kebaikan yang mendadak pada setiap masa serta keberkatan rezeki yang diredhaiNya selalu. Semoga hari yang dilalui pada hari ini adalah lebih baik daripada semalam. Sepertimana kata-kata Saidina Ali Abi Talib, sekiranya hari ini lebih baik daripada semalam, maka berbahagialah orang tersebut. Semoga kita ini termasuk daripada golongan yang berbahagia ini. InsyaAllah.



Tidak dinafikan kualiti memainkan peranan penting dalam sesebuah organisasi syarikat. Syarikat yang tidak mementingkan kualitinya dalam gerak kerjanya adalah syarikat yang tidak menjaga imejnya dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan dan begitulah sebaliknya. Penjagaan kualiti sesuatu produk atau perkhidmatan kepada pelanggan adalah penting supaya pelanggan terus menggunakan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh sesebuah syarikat. Sekiranya anda ingin tahu, bank terbaik dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan di Malaysia ialah bank yahudi iaitu Citibank di mana ia adalah lebih baik berbanding dengan bank terbesar di Malaysia iaitu Maybank. Ia amat memberatkan aspek kualiti dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggannnya.

Baiklah, cuba perhatikan aspek kualiti dalam kerja seharian kita:

Anda menghantar laporan kepada boss anda, malangnya bos anda menegur atau memarahi anda kerana banyak kesilapan dalam laporan anda. Sesetengah boss akan mencampak laporan di atas lantai sekiranya laporan itu terdapat kesilapan walaupun 1 kesilapan. Bahkan ada pekerja pernah menceritakan kepada saya bahawa bossnya pernah mengoyak-ngoyakkan laporannya dan mencampakkannya ke arah dirinya kerana banyak kesilapan yang dibuatnya. Bagaimana pula dengan anda?


Itulah dinamakan dengan kualiti kerja. Tidak kira kerja apa pun kerja anda lakukan, pastikan kita melakukannya dengan berhati-hati tanpa kecuaian. Adakah anda teringat suatu ketika dahulu pada tahun 2005 negara kita gempar dengan kerugian yang dialami oleh Bank Islam sebanyak RM700 juta kerana kecuaian pegawai-pegawainya dalam meluluskan pinjaman? Kesannya, ialah imej Bank Islam tercemar dan ia menjejaskan keyakinan oleh orang ramai terhadap bank tersebut. Ini menunjukkan betapa pentingnya kepada kita dalam menjalankan urusan kerja dengan berkualiti.

Di dalam dunia keusahawanan, usahawan perlu menjaga kualiti ataupun perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan. Tidak kira sama ada usahawan yang menjalankan perniagaan jahitan, kedai makan dan sebagainya. Apa terjadi sekiranya baju yang ditempah pelanggan silap diukur? Ini akan menyebabkan kerugian kepada kos kain membuat baju tersebut dan menimbulkan perasaan tidak puas hati kepada pelanggan. Oleh itu, usahawan perlu teliti bagi semua produk dan perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan pada kali pertama tanpa kesilapan. Tiada istilah kedua bagi usahawan dalam menjalankan urusan perniagaan.

Oleh yang demikian, kita perlu menyemak semua kerja kita dalam menjalankan tugas-tugas seharian kita. Ini adalah penting kerana kerja kita sebenarnya adalah melambangkan peribadi diri kita. Usahlah kita membuat kerja berulang kali kerana disebabkan yang dibuat oleh diri kita sendiri. Apa yang kita perlu pastikan ialah buat kerja biar sekali, asal berkualiti.

Sekian, terima kasih.

Sunday, February 20, 2011

Wajarkah berhutang untuk menjana pendapatan?

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Semoga Allah melimpahkan kebaikan ke atas Tuan dan Puan setiap masa. Semoga Tuan dan Puan sentiasa diberi kekuatan untuk menjalankan kehidupan seperti biasa. Semoga hari ini adalah lebih baik daripada semalam dalam menjalani kehidupan seharian kita. InsyaAllah.

Tajuk pada kali ini iaitu 'Wajarkah berhutang?' adalah menjadi pilihan saya pada kali ini. Saya bukannya ingin menyebut adakah kita perlu berhutang untuk memenuhi kemahuan kita sama ada ingin membeli aksesori kereta walaupun kereta anda bukanlah kereta Mercedes atau BMW supaya ia kelihatan bergaya, membeli pakaian yang berjenama, membeli perabot-perabot berjenama ataupun berhutang bagi membeli mahligai rumah sebesar YB walaupun anda hanya penjawat awam biasa. Apa yang saya ingin sebut di sini ialah wajarkah kita berhutang untuk menambah pendapatan kita contohnya membuat pelaburan?

Memang tidak dinafikan bahawa artikel-artikel yang dimasukkan sebelum ini mengatakan bahawa hutang yang baik adalah hutang yang memberi pulangan yang lebih daripada kos pinjaman. Bahkan mengikut kamus jutawan, anda perlu meminjam dahulu untuk melabur dan bukannya menyimpan dahulu sebelum melabur.


Tun Daim Zainuddin

Saya ingin mengulas gaya bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin (1984-1991) dalam mengurus ekonomi negara. Gaya beliau adalah bertentangan dengan Menteri Kewangan sebelumnya iaitu Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li (1976-1984) di mana Ku Li lebih suka meminjam supaya pertumbuhan ekonomi negara lebih semarak. Berbeza dengan gaya Daim iaitu perbelanjaan mesti selaras dengan pendapatan untuk pertumbuhan ekonomi negara. Semasa kemelesetan ekonomi melanda pada tahun 1985 iaitu pertumbuhan ekonomi ialah -1.1%, baru disedari betapa beratnya beban hutang akibat pinjaman yang berjumlah RM20 billion. Dengan keazaman dan ketekunan dalam menghadapi rintangan dalam memulihkan ekonomi negara, Daim berjaya memulihkan ekonomi negara. Falsafah Daim dalam mengurus ekonomi pula ialah "Kita hidup dalam batas kemampuan kita". Kesannya, Daim telah berjaya mengeluarkan negara dari lembah kemelesetan daripada -1.1% tahun 1985 kepada +9.2% pada tahun 1989 iaitu suatu pencapaian rekod terbaik bagi negara membangun.


Tengku Razaleigh Hamzah

Sewaktu kempen pilihanraya UMNO 1987, Ku Li menyatakan bahawa dia boleh memulih ekonomi negara dalam masa 6 bulan untuk menarik perhatian orang ramai supaya ekonomi pulih dengan cepat. Daim mengatakan ," Memang, boleh cucuk jarum saja, cepat nampak segar. Pinjam duit untuk pertumbuhan palsu. Tapi penyelesaiannya mestilah ada jangka panjang dan jangka pendek. Masa diperlukan bagi menarik pelabur membina kilang." Hasilnya ialah ekonomi telah pulih dalam masa yang singkat pada tahun 1988. Para pengkritik Daim terpaksa menarik kata-katanya yang meramalkan Daim pasti gagal dalam usahanya dalam memulih ekonomi negara.


Pegangan saham Tun Daim Zainuddin dalam International Commerce Bank (ICB)

Intipati yang boleh dipetik daripada pengurusan ekonomi Daim ialah kita usahlah berhutang dalam menambah pendapatan kita contohnya dalam membuat pelaburan ataupun untuk berniaga. Sebenarnya, kita sedang menjana 'pendapatan palsu' jika mengikut falsafah Daim. Apa yang perlu kita lakukan ialah kita harus memperuntukkan 30% daripada pendapatan kita untuk membuat pelaburan. Sekiranya pendapatan kita ialah RM3,000 sebulan, peruntukkan RM900 sebulan untuk pelaburan kita. Dalam masa 3 tahun, hasilnya ialah RM32,400. Daripada mengigau di siang hari dengan membuat 'pinjaman peribadi' sehingga 20 tahun semata-mata untuk melabur.

Jika kita memperhalusi cara Daim ini, kita sebenarnya membina kendiri dalam pengurusan kewangan kita iaitu tidak menjana pendapatan palsu yang terbina di atas dana pinjaman yang besar sehingga tempoh berpuluh tahun. Kita sebenarnya boleh menghindarkan diri kita daripada berhutang dalam menjana pendapatan kita. Mulakan segalanya apa yang ada di tangan kita. Kenal pasti dengan apa yang ada di sekeliling kita. Sekiranya kita suka membuat hutang, apa yang terjadi sekiranya kita jatuh sakit ataupun dilanda malapetaka yang lain? Sudah tentu hutang ini akan membebankan kita. Mulakan dengan apa yang ada di tangan kita sekarang. Biar sedikit, asal diberkati...

Sekian, terima kasih.

Sumber:
1. Daim Insan Di Sebalik Enigma, Cheong Mei Sui dan Adibah Amin, 1996.
2. http://zon-panas.com/?p=11

Cukai Kereta yang Amat Tinggi

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

1. Terima kasih kepada pengunjung blogpsot saya ini yang sentiasa melawat blospot ini untuk mendapat informasi terbaru dari semasa ke semasa untuk mengurus kewangan dengan lebih baik. Mudah-mudahan pendapatan dan perbelanjaan kita sentiasa diberkati oleh Maha Pemberi Rezeki setiap waktu tidak kira kita ini bekerja makan gaji ataupun bekerja sendiri.

2. Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden Keadilan, dalam Suara Keadilan menyatakan bahawa hutang rakyat Malaysia sudah mencecah RM577 billion akibat daripada harga rumah dan kereta yang mahal. Ia meliputi RM118 billion pinjaman kereta, RM225 billion perumahan, dan RM22 billion adalah pinjaman peribadi di mana ia menyamai 74% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).




3. Beliau menyatakan bahawa kereta kecil di bawah 1,500 cc dikenakan sekurang-kurangnya 70% cukai jika dipasang di Malaysia iaitu 60% peratus cukai eksais dan 10% adalah cukai jalan. Ini bermakna jika harga kereta Perodua adalah RM40,000, maka sebanyak RM28,000 adalah cukai yang perlu dibayar oleh pembeli. Ini menjadikan jika pendapatan seseorang ialah RM3,000 maka 2/3 pendapatannya hanya digunakan bagi membayar kereta serta rumah dan perbelanjaan lain seperti makan, pendidikan, dan pakaian terpaksa dikecilkan. Perkara ini sekarang sudah tentu menjadi dilema bagi seorang pekerja makan gaji iaitu kais bulan makan bulan.

4. Saya tidak ingin mengulas dari sudut politik sama ada ingin menyokong kerajaan ataupun membuat demonstrasi sepertimana di Mesir supaya kerajaan menurunkan cukai kereta. Alangkah ruginya sekiranya kita membeli kereta baru kerana terpaksa membayar 70% cukai kepada kerajaan. Ini belum mengambil kira cukai kereta import yang sudah tentu cukainya lebih tinggi daripada kereta nasional. Malang bagi kita semua, ramai antara kita semua sanggup membayar wang yang mahal semata-mata untuk sebuah kereta demi untuk bergaya di hadapan emak mentua. Akhirnya, kereta ditarik kerana 3 bulan kereta tidak berbayar. Mak mentua pun berasa malu nak mengaku menantu.



5. Cuba kita mengira cukai kereta terbaru Proton pula iaitu Proton Inspira yang berharga RM80,000. Jika secara kasarnya cukai 70%, ini bermakna seorang pembeli perlu membayar RM56,000 hanya untuk cukai sahaja walhal harga kereta ini adalah sebenarnya RM24,000 sahaja. Jika RM56,000, adalah lebih anda semua melabur di dalam ASB yang membawa pulangan dividen RM4,480 setahun berbanding membeli kereta baru. Hutang yang baik adalah hutang yang membawa pulangan yang lebih banyak berbanding kos pinjaman yang dibuat. Adalah lebih baik sekiranya anda membuat pinjaman ASB berbanding membuat pinjaman untuk memiliki kereta Proton Inspira idaman anda semata-mata untuk mempromosikan kepada pengguna jalan raya bahawa anda adalah orang pertama menaiki kereta terbaru Proton.

6. Bagaimana sekiranya anda sudah membeli kereta? Baiklah, teruskan sahaja menggunakan sedia ada. Sekiranya anda menjualnya, anda sudah tentu rugi kerana harga kereta anda sudah susut nilanya di pasaran. Anda perlu mengenalpasti pelaburan-pelaburan yang membawa keuntungan kepada anda setiap tahun bagi membayar kereta anda setiap bulan. Koperasi sesuatu syarikat selalunya menyediakan pulangan dividen yang lebih tinggi iaitu sehingga 20% untuk para pekerjanya yang menjadi pencarum. Sekiranya anda membayar kereta RM600 sebulan, anda perlu mempunyai RM7,200 setiap tahun bagi membayar kereta anda. Sekiranya dividen ialah 20% setahun, maka anda perlu memiliki saham koperasi anda sebanyak RM36,000 untuk mendapat pulangan RM7,200 setahun untuk membayar kereta anda. Ini adalah satu cara membayar kereta secara 'atas angin' daripada membayar ansuran kereta dengan menggunakan duit pokok pendapatan yang diperolehi setiap bulan walhal harga kereta sebenarnya sudah jatuh menjunam dan perkara ini sudah tentu merugikan anda. Oleh itu, gunakan wang anda secara bijaksana. Carilah pelaburan-pelaburan yang sesuai untuk diri anda.

7. Setakat ini sahaja dulu penulisan saya pada kali ini. Semoga informasi mengenai cukai kereta ini dapat kita berkongsi bersama dan dapat disebarkan kepada rakan-taulan tentang ruginya sekiranya kita membeli kereta baru walaupun kereta tempatan sendiri. Semoga kita berjumpa lagi untuk berkongsi informasi ataupun tips-tips kewangan pada masa hadapan.

"Jangan mengharapkan keputusan yang berlainan sekiranya anda melakukan perkara yang sama berulang kali"

Sekian, terima kasih.

Sumber.
1. Suara Keadilan, 15 Februari 2011, Terbitan Tidak Berkala.


Sunday, February 13, 2011

Jenis-jenis Pelaburan



" Jangan berfikir bahawa anda menjadi seorang kaya sebelum menjadi seorang pelabur."
Warren Buffet, Pelabur Terkaya di Dunia.

Itulah kata-kata Warren Buffet, pelabur terkaya di dunia yang menasihatkan orang ramai supaya melabur untuk menjadi kaya. Saya percaya ramai di luar sana yang bercita-cita ingin menjadi pelabur jutawan. Bahkan ramai di luar sana yang telah mengalami kerugian berpuluh-puluh ribu ringgit semata-mata terlibat permainan saham ini. Walaupun ilmu cetek di dada, tetapi ingin meredah lautan yang luas. Yang penuh liku-liku yang tidak dapat dijangka oleh akal fikiran. Tetapi tidak mengapa selagi mana ia tidak menyusahkan orang ramai walaupun telah rugi puluhan ribu ringgit. Saya masih belum berjumpa dengan pelabur jutawan dan saya hanya berjumpa dengan pelabur fakir. Jika saya jumpa pun, saya hanya berjumpa melalui buku iaitu Adam Khoo iaitu pelabur jutawan dari Singapura. Semoga saya dapat berjumpa dengan pelabur jutawan suatu hari nanti. Mudah-mudahan. Pada kali ini, saya ingin berkongsi dengan pembaca sekalian mengenai jenis-jenis pelaburan.

Baiklah, sebelum kita pergi lebih jauh, adakah anda mengetahui definisi pelaburan itu sendiri? Definisi 'pelaburan' mengikut Milan Doshi ialah:

" Penukaran wang sedikit pada masa sekarang untuk wang yang lebih banyak pada masa hadapan sambil mengurangkan risiko dengan mengambil kira peruntukan aset, kepelbagaian dan lain-lain. "

Oleh itu, dapat kita fahami bahawa pelaburan merupakan suatu proses yang menjana pulangan yang lebih besar pada masa hadapan dengan menggunakan wang yang sedikit pada masa sekarang. Pelaburan juga merupakan salah satu cara untuk kita menjana pendapatan pasif iaitu wang bekerja untuk kita dengan memberi pulangan tertentu mengikut tempoh tertentu. Namun begitu, kita perlu ingat bahawa semua pelaburan di dunia ini mempunyai risikonya tersendiri. Semakin tinggi risiko pelaburan, semakin tinggi pulangannya. Semakin cepat kita hendak kaya, semakin tinggi risiko yang perlu kita hadapi dan begitulah sebaliknya. Pendek kata, tiada jalan pintas untuk berjaya.

Di sini, saya mengelaskan terdapat 4 jenis pelaburan iaitu:

1. Pelaburan yang tiada risiko.
Pelaburan jenis ialah pelaburan yang memberi pulangan tetap pada setiap tahun. Contohnya, ASB ( 7-8 % setahun), Simpanan tetap (3-5% setahun), dan polisi insurans endowmen ( 2-4% setahun). Melalui pelaburan ini, anda akan tetap menerima pulangannya setiap tahun dan tidak perlu bimbang dengan perubahan ekonomi semasa.

2. Pelaburan berisiko sederhana.
Melalui pelaburan ini, peluang anda untuk menerima pulangan adalah masih cerah dan pulangannya adalah sehingga 10% setahun ataupun lebih. Contoh pelaburan ini ialah bidang hartanah.

3. Pelaburan berisiko tinggi.
Pelaburan jenis ini memberi pulangan 20-30% setahun dan ianya terdedah kepada risiko yang tinggi. Peluang anda untuk membuat untung adalah tipis sekiranya anda merupakan pemain baru dalam pasaran saham. Antara risiko yang perlu anda hadapi ialah naik-turun harga saham, risiko matawang, kurang pengetahuan dan kemahiran, dan tiada masa untuk penyelidikan dan pengawasan pasaran saham.

4. Pelaburan berisiko sangat tinggi.
Pelaburan ini adalah memberi pulangan lebih 30% setahun. Antara pelaburan jenis ini ialah Dana Lindung Nilai (hedge fund), FOREX (pertukaran matawang asing), opsyen, komoditi , niaga hadapan. Dalam pelaburan ini, anda perlulah bersedia mengahadapi kerugian modal antara 30-50%. Akan tetapi, saya percaya ramai yang mengalami kerugian 100% kerana cetek pengetahuan dalam bidang pelaburan profesional ini.


Suka saya ingin menyebut di sini mengenai pelaburan berisiko tinggi iaitu FOREX yang menjadi kegilaan sesetengah kakitangan awam. Harus kita ingat bahawa pelaburan ini memerlukan tahap kepakaran dan komitmen yang tinggi disebabkan harga yang sering berubah-rubah. Perlu diingatkan bahawa apabilan anda terlibat dalam FOREX, anda sebenarnya berhadapan dengan Pelabur Sepenuh Masa Profesional di mana mereka dibantu oleh perisian terbaik dan tercanggih. Kemungkinan untuk berjaya adalah tipis atau jauh sekali untuk meraih keuntungan bagi orang-orang biasa yang sekadar menggunakan perisian Marketiva atau Plus500. Adalah amat malang bagi sesetengah orang awam yang hanya sekadar mengetahui 'Buy dan Sell' sahaja dalam perdagangan FOREX ini tanpa mempunyai asas yang kukuh untuk mengetahui faktor-faktor yang mempengaruhi naik-turun nilai sesuatu matawang. Oleh itu, saya fikir bahawa pelaburan FOREX ini adalah tidak sesuai untuk kakitangan awam.

Oleh itu, dapat kita fahami jenis-jenis pelaburan mengikut risiko tertentu. Pelaburan-pelaburan ini penting untuk menjana untuk kita pada masa hadapan. Sekiranya, anda merupakan kakitangan awam ada baiknya anda hanya sekadar melabur di tempat-tempat yang tiada risiko ataupun mempunyai risiko sederhana sahaja. Ini adalah bagi mengelak wang anda daripada rugi dimakan oleh jerung-jerung besar iaitu pelabur profesional yang amat pakar dalam pelaburan berisiko tinggi di luar sana. Pelabur-pelabur ini sentiasa menanti orang-orang biasa untuk bermain dalam pasaran saham untuk mengaut keuntungan daripada mereka secara luar biasa. Oleh itu, kita sentiasa perlu bijak untuk melabur wang pendapatan kita di tempat-tempat yang sesuai. Usahlah memperjudikan wang kita dengan melabur di tempat pelaburan yang berisiko tinggi. Kelak, kita yang akan menyesal.

Sekian, terima kasih.

Sumber:
1. Bagaimana Anda Boleh Menjadi Jutawan melalui Pasaran Hartanah dan Pasaran Saham, Milan Doshi.

Tuesday, February 8, 2011

Jika 10 Daim...




Tun Daim Zainuddin

Sukarno, Presiden Indonesia pernah menyatakan," Berikan aku 10 orang pemuda, maka aku akan goncangkan dunia." Manakala bagi Dr. Mahathir pula beliau menyatakan," Berikan aku 10 orang seperti Daim, maka Melayu dapat menawan dunia." Itulah kata-kata Dr. Mahathir yang melihat Daim Zainuddin, bekas menteri kewangannya sebagai seorang anak melayu yang mempunyai sifat, kualiti dan potensi yang diperlukan oleh orang Melayu untuk membina maruah diri dan mempunyai kekuatan untuk membantu kaum melayu mencapai kemajuan.

Siapa tidak kenal bekas Menteri Kewangan Malaysia, Tun Daim Zainuddin yang sehingga dikenali sebagai Daim yang diam ataupun diam-diam Daim oleh puak berhaluan kiri di Malaysia. Beliau pernah dilantik menjadi Menteri Kewangan 2 kali (1984-1991) dan (1999-2001) membantu Dr. Mahathir (kini Tun) memulihkan ekonomi negara semasa negara mengalami kemelesetan. Beliau pernah gagal dalam perniagaan garam serta plastik dan bangkit semula bersama Maluri. Beliau merupakan jutawan hartanah melayu pertama yang berjaya memecahkan monopoli bangsa cina dalam perniagaan hartanah di Kuala Lumpur melalui Syarikat Maluri ini sebelum Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan. Sekarang, beliau merupakan Pengerusi International Commercial Bank (ICB) yang kini telah berkembang di seluruh dunia.

Sebenarnya, konsep Melayu Baru yang ingin dibawa oleh Dr. Mahathir ialah untuk melahirkan lebih ramai melayu yang mempunyai sifat seperti Daim. Sesungguhnya, beberapa kelemahan Daim tidak dapat menutup mata Dr. Mahathir terhadap kepintarannya, kekuatannya dan sumbangannya yang lebih besar untuk memperteguhkan kantung UMNO, Melayu dan negara. Daim merupakan seorang melayu yang agresif dapat memperkotak-katikkan kaum bukan bumiputera dalam bidang perniagaan. Baik Chang Ming Thien, Tan Koon Swan & Kumpulan Multi-Purposenya, dan Kang Kok Seng menerima padah akibat memandang rendah terhadap Daim dan Paremba. Inilah ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh orang melayu dan bukannya meguar-uarkan konsep ketuanan melayu yang sebenarnya ialah alat pencacai bangsa asing untuk menguasai ekonomi Tanah Melayu.



Selain itu, Daim melahirkan beberapa orang jutawan melayu yang berkelayakan dan berkebolehan yang menjadi catalyst kepada penetasan lebih ramai orang Melayu dalam dunia perniagaan dan perusahaan. Rancangan Daim ketika itu adalah mudah iaitu mencipta sekelompok usahawan melayu yang kompetitif yang bukan sahaja mengatasi jutawa cina tetapi juga dunia. Antara jutawan melayu yang dilahirkan oleh Daim semasa era 90-an ialah Tan Sri Halim Saad (Renong), Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah (Land & General), Tan Sri Tajuddin Ramli (MAS & TRI), Tan Sri Yahya Ahmad (DRB-Hicom) dan lain-lain lagi melalui struktur ekonomi payung melalui bantuan kerajaan. Walaupun nama-nama ini sudah menjadi lagenda selepas krisis ekonomi 1997/98, namun ia tetap menjadi kebanggaan orang-orang melayu suatu ketika dahulu.

Semasa Tun Daim menjadi Menteri Kewangan, beliau mengeluarkan negara daripada sistem kewangan lapuk dan mengemukakan strategi kewangan yang dinamik, mengurangkan bebanan hutang luar, meningkatkan simpanan negara dan memperteguhkan kedudukan ekonomi negara dalam masa singkat. Beliau telah berjaya mengeluarkan negara daripada lembah kemelesetan apabila dapat memulihkan ekonomi yang mengalami pertumbuhan negatif (-1.1%) pada tahun 1985 kepada +9.2% pada tahun 1989! Memulihkan ekonomi sesuatu ketika dahulu adalah amat sukar kerana negara tidak pernah mengalami pertumbuhan negatif sejak mencapai kemerdekaan. Kejayaan Daim semasa menjadi Menteri Kewangan ini membuktikan bahawa beliau lebih handal daripada Robert Kuok, Lim Goh Tong dan Lee Loy Seng melalui kejayaan pemulihan ekonomi dan dasar-dasar pengswastaan yang dijalankan.

Mendiang Lim Goh Tong

Oleh itu, kita perlulah menyoroti sikap Daim ini untuk muhasabah diri kita ini. Kita perlulah meningkatkan kualiti diri kita daripada semasa ke semasa sama dalam semua konteks. Usahlah kita merasa rendah diri kerana kita ini orang melayu berbanding dengan kaum lain. Daim selalu merangsang anak-anak didiknya di Paremba dengan soalan sebegini:

"Mengapa anda tak boleh jadi? Mengapa anda tak boleh buat, cuma sebab anda orang Melayu?"

Sumber:
1. Daim Insan Di Sebalik Enigma, Cheong Mei Sui & Adibah Amin.
2. Daim yang Diam, Fatini Yaacob.
2. Surat daripada Dr. Mahathir, Zainuddin Maidin.

Thursday, February 3, 2011

Sejarah Kad Kredit

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

1. Tajuk yang akan dibicarakan pada kali ini ialah 'Sejarah Kad Kredit'. Saya tidak akan membahaskan mengenai kebaikan dan keburukan mengenai penggunaan kad kredit tetapi saya menceritakan mengenai sejarah kad kredit bermula. Sekadar menambah ilmu pengetahuan anda sama ada anda ini pengguna atau bukan pengguna kad kredit.


2. Sejarah penggunaan kad kredit adalah bermula di New York. Pada tahun 1951, seorang lelaki Amerika bernama Frank NcNamara, Pengerusi Hamilton Credit Corporation bersama rakan lamanya, Alfred Bloomingdale dan peguamnya, Ralpd Sneider makan malam di sebuah restoran terkemuka di New York untuk berbincang mengenai masalah pelanggan yang membuat pinjaman dengan syarikat beliau. Malangnya, beliau tertinggal dompetnya semasa untuk membayar bil makanan dan beliau menghubungi isterinya supaya membawa wang untuk beliau bagi membayar bil makanan di restoran tersebut. Kejadian ini telah memalukan beliau.

3. Dari peristiwa tersebut, beliau telah mendapat idea untuk memulakan penggunaan kad kredit di mana seseorang boleh makan dan minum dengan menggunakan kad tanpa membawa wang bersama. Kemudian, beliau mencadangkan kepada beberapa buah restoran dan mereka mula dapat melihat manfaatnya. Dengan itu, bermulalah Diners' Club dengan Frank NcNamara sebagai pengasasnya. Selepas itu, mereka telah memberi kad kepada 200 pelanggan dan mereka boleh menggunakannya di 27 restoran terkemuka di New York. Kaedahnya ialah pelanggan-pelanggan akan makan di restoran dan Diners' Club akan membayar bil mereka. Kemudian, pelanggan akan membayar kepada Diners' Club dengan caj tertentu ke atas kad yang digunakan.



4. Sejak daripada itu, kad kredit American Express telah diperkenalkan pada tahun 1958 dan Bank of America memperkenalkan kad kredit Bank Amaricacard yang sekarang dikenali sebagai Visa kemudian pada tahun yang sama.

4. Kemudian, penggunaan kad kredit meletus selepas tahun 1970 dengan penggunaan jejalur magnetik di belakang kad berkenaan. Pada hari ini, penggunaan kad kredit telah meluas di seluruh dunia. Sehingga 2002, hutang kad kredit di Amerika Syarikat ialah AS$750 billion. Malah, sehingga akhir tahun 2007, Bank Negara melaporkan hutang tertunggak kad kredit ialah RM10.6 billion dan pasarannya akan terus meningkat 20% setahun di Malaysia. Anda boleh melihat kuasa kad kredit yang menjadi kegilaan orang ramai pada hari ini! Setakat ini sahaja dulu penulisan saya pada kali ini.

Sekian, terima kasih.

Sumber.
1. Jutawan Ekstream, Azizi Ali.
2. http://history1900s.about.com/od/1950s/a/firstcreditcard.htm
3. http://inventors.about.com/od/cstartinventions/a/credit_cards.htm3.
4.http://pinjaman.wordpress.com/2007/09/25/bagaimana-untuk-menguruskan-hutang-
kad-kredit-anda/