Wednesday, May 30, 2012

Insurans itu Perlindungan dan Bukannya Pelaburan


Insurans itu perlindungan dan bukannya pelaburan. Inilah topik yang sesuai untuk saya tulis pada kali ini. Saya sebelum ini ada menyatakan bahawa syarikat-syarikat insurans mengutip laba yang besar apabila melabur wang pencarum-pencarumnya ke syarikat hartanah dan kita akan mendapat sejumlah dividen atau komisen yang kecil daripada syarikat insurans atau takaful selepas tempoh tertentu. Pandangan saya memang betul tetapi silap kerana tidak mengambil kira perlindungan yang diberikan sekiranya berlaku tragedi ke atas diri kita.

Sekiranya kita mempunyai keluarga dan menjadi orang yang memegang tanggungjawab utama untuk mencari nafkah bagi keluarga kita, maka kita adalah orang yang paling utama perlu mendapatkan takaful. Kata kunci yang penting ialah kita mempunyai tanggungan dan liabiliti kewangan. Pendapatan itu digunakan bagi menyara keluarga dan tanggungan kita. Sekiranya terjadi perkara tidak baik, mereka semua berhadapan dengan risiko kewangan kerana mereka semua bergantung kepada kita.

Oleh itu, takaful diperlukan untuk kita bagi memindahkan risiko kewangan dan liabiliti itu kepada pihak ketiga. Mungkin satu kesilapan sekiranya kita memasuki takaful bagi mendapatkan pulangan kewangan. Itu bukan matlamat bagi mempunyai polisi takaful atau insurans tetapi merupakan perlindungan kepada kita sekiranya berlaku tragedi yang tidak diingi ke atas diri kita. Adalah mustahil kita mempunyai tunai sebanyak RM100,000 sekarang apabila di dalam akaun bank kita sebagai sandaran atau bekalan apabila berlaku tragedi di atas diri kita. Namun, mungkin dengan ansuran hanya RM150 sebulan, kita memperolehi tunai RM100,000 daripada syarikat takaful sekiranya berlaku tragedi ke atas diri kita bagi meneruskan kehidupan. Tetapi janganlah kita membuat caruman takaful untuk mendoakan tragedi ke atas diri supaya mendapat wang tunai sebanyak RM100,000 dalam sekelip mata sahaja.

Jumlah takaful pula bergantung ke atas komitmen bulanan dan tahunan kita. Adalah lebih baik sekiranya kita mengambil takaful yang pelbagai kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada diri kita sama ada esok, lusa atau masa hadapan. Namun perlu diingatkan janganlah kita terlalu mengejar untuk mencarum takaful sehinggakan kita lupa mengenai perkara-perkara lain.

Saya pada mulanya mempunyai tanggapan negatif mengenai takaful sehinggalah saya terbaca mengenai pentingnya takaful kepada kita. Saya pernah menerima panggilan daripada syarikat takaful yang menawarkan perlindungan sehingga RM300,000 dengan bayaran hanya RM56 sebulan. Beliau menyatakan nombor telefon bimbit saya terpilih bagi tawaran ini. Ini mungkin kerana saya membayar bil bulanan telefon pada awal bulan sebelum saya menerima penyata bil telefon tersebut pada minggu kedua setiap bulan. Namun saya menolak tawaran tersebut. Saya berharap mereka akan menghubungi saya pada masa akan datang bagi menawarkan tawaran tersebut lagi. Mudah-mudahan.

Apakah produk perlindungan yang Allah s.w.t. tawarkan kepada kita?

Tidak lain dan tidak bukan ialah bersedekah. Ini adalah kerana salah satu fadilat bersedekah ialah dapat menolak bala. Benar bukan?

Sekian, terima kasih.

Sumber.
1. Pakdi, 2010. Rancang Wang dari Sekarang. PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.


No comments: