Tuesday, June 26, 2012

Apa Itu Ekuiti Bumiputera 30%?

Apa yang anda faham mengenai pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30%? Salah satu matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah untuk mengagihkan kekayaan negara secara saksama antara kaum di Malaysia dengan ekuiti bumiputera ialah 30 peratus, bukan bumiputera – 40 peratus dan penyertaan asing ialah 30 peratus. Tempoh rancangan ini ialah dari tahun 1970 sehingga 1990 di mana ia menunjukkan ekuiti bumiputera pada tahun awal pelaksanaannya ialah 2 peratus naik kepada 20 peratus dalam tempoh masa 20 tahun melalui pelaksanaan dasar ini. Menurut Tun Daim Zainuddin yang bertanggungjawab untuk menjayakan matlamat DEB pada tahun-tahun akhir pelaksanannya semasa menjadi Menteri Kewangan, ia merupakan pelaksanaan yang boleh dibanggakan kerana walaupun ia tidak mencapai sasaran asalnya 30 peratus, ia merupakan merupakan pencapaian yang baik dalam sesebuah masyarakat majmuk. Tun Daim sendiri tidak tahu mengapa formula ekuiti bumiputera ditetapkan kepada 30 peratus dan tidak kepada 20 peratus atau 40 peratus.

Menurut Tan Sri Muhammad Ali Hashim, bekas Ketua Eksekutif Johor Corporation (Jcorp), menyatakan bahawa ekuiti bumiputera yang sepatutnya dicapai ialah 65 peratus dan bukannya 30 peratus kerana jumlah penduduk muslim di Malaysia ialah 65 peratus. Namun penulisan saya kali ini adalah berpegang kepada 30 peratus kerana ia merupakan dasar sebenar kerajaan.

Apakah yang menjadi ukuran ukuran ekuiti bumiputera ini? Sebenarnya, ukuran bumiputera ini menurut Dr. Syed Hussin Ali (2008) adalah termasuk :

i.    Individu Melayu : Meliputi institusi yang menyalurkan kepentingan persendirian Melayu seperti Amanah Saham MARA, dan Lembaga Urusan Tabung Haji.
ii.   Kepentingan Melayu : Saham yang dianggap sebagai saham amanah oleh agensi seperti MARA (tidak termasuk Amanah Saham MARA), PERNAS, UDA, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN), Bank Bmiputera dan Bank Pembangunan.

Pada tahun 1990 iaitu tahun berakhirnya tempoh pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), dianggarkan bahawa modal saham syarikat saham dalam syarikat berhad ialah RM80 billion dan jika hendak menguasai 30% ekuiti bumiputera melayu, maka orang melayu atau pemodal-pemodal melayu perlu memiliki saham sebanyak RM24 billion. Pada tahun 1970, hak milik modal saham melayu ini hanya berjumlah RM126 juta, dan pada tahun 1975 jumlah modal saham melayu ialah RM768 juta iaitu kenaikan sebanyak RM128 juta setiap tahun. Untuk mencapai RM24 billion pada tahun 1990, maka modal saham yang diperlukan ialah lebih RM23 billion yang mesti dikumpul dalam masa 15 tahun iaitu dari tahun 1975 sehingga tahun 1990. Ini bermakna orang melayu memerlukan modal saham sebanyak RM1.533 billion setiap tahun untuk mencapai matlamat DEB pada akhir tahun 1990 (Dr. Syed Husin Ali, 2008).

Untuk mencapai hasrat pemilikan ekuiti bumiputera 30% ini, cadangan yang diutarakan oleh Dr. Syed Husin Ali (2008) ialah :

i.   Mengumpul semua simpanan yang ada pada setiap orang melayu untuk dijadikan modal. Namun anggaran yang boleh dibuat melalui cara ini akan menyebabkan akan lebih tersempit dari keadaan sedia ada. Ini sudah tentunya menyekat kebebasan dari segi ekonomi bagi kehidupan seseorang.

ii.  Kerajaan mengeluarkan lebih banyak lagi pinjaman melalui bank atau badan tertentu. Akan tetapi, bagi mendapatkan pinjaman, ia memerlukan jaminan dan sandaran. Ini bermakna golongan tertentu sahaja yang boleh mendapatkan pinjaman.

iii.  Untuk menaikkan peratusan modal orang melayu, boleh dibataskan atau dihadkan sahaja jumlah pelaburan oleh golongan bukan melayu dan asing. Akan tetapi, ini boleh membunuh ekonomi negara kerana ia menyebabkan tentangan daripada golongan yang dibataskan dan ini secara tidak langsung ia akan menjejaskan kestabilan politik.

iv.  Melaksanakan dasar milik negara. Ini bukanlah konsep milik negara yang diamalkan oleh golongan orang berfahaman komunis. Apa yang dikehendaki ialah cuma sesetengah sahaja daripada perusahaan dan perkhidmatan penting milik negara ataupun diambil alih oleh negara. Dengan melaksanakan dasar milik negara, ia lebih mudah dirancang agar keuntungan daripada perusahaan negara digunakan untuk pembangunan dan lebih banyak lagi penyertaan Bumiputera digalakkan dalam bidang-bidang perniagaan serta perusahaan yang dikuasai negara.

Sudah tentu, langkah ke-iv merupakan langkah paling berkesan untuk membangunkan ekonomi orang melayu pada hari ini menurut beliau.

Sikap majoriti orang melayu adalah tidak berani untuk mengambil risiko. Ini benar menurut Tun Daim Zainuddin apabila ramai orang mengatakan beliau memperolehi banyak tanah untuk menjadi jutawan hartanah kerana disebabkan hubungan akrabnya dengan Datuk Harun Idris yang ketika itu menjadi Menteri Besar Selangor.  Sebenarnya, ramai orang melayu yang memperolehi tanah daripada beliau (Datuk Harun Idris) dan kemudian menjual tanah tersebut untuk mendapatkan wang tunai dengan segera kerana tidak mahu mengambil risiko untuk membangunkan tanah tersebut.

Sikap orang melayu ini dapat dilihat dalam pemilikan ekuiti 20 peratus bumiputera. Sebenarnya, daripada jumlah 20 peratus bumiputera, kira-kira 12 peratus daripadanya adalah dalam bentuk pegangan amanah dan beberapa institusi kerajaan. Ini sekaligus melindungi bumiputera daripada risiko sebenar perniagaan. Mereka bukanlah orang yang berdaya usaha dan sanggup mengambil risiko. Mereka merupakan pelabur pasif dalam usaha niaga yang dijalankan oleh pihak kerajaan. Sikap dan mentaliti pasif bukanlah bentuk revolusi mental yang hendak dipupuk oleh kerajaan dalam masyarakat melayu dan bumiputera melalui DEB (Tun Dr. Mahathir, 2012).

Sehingga tahun 2010, pemilikan ekuiti Bumiputera pada nilai tara meningkat kepada 23.09 peratus iaitu RM167.7 bilion berbanding 2008 iaitu 21.9 peratus bernilai RM127.4 bilion. Angka ini diperoleh berasaskan keseluruhan ekuiti berjumlah RM726.4 bilion pada 2010 berbanding RM581.8 bilion pada 2008. Ekuiti Bumiputera ini termasuk pemilikan individu, institusi kepentingan Bumiputera seperti Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Agensi Amanah seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) (Harian Metro).

Pemilikan ekuiti Bumiputera tertinggi mengikut sektor adalah industri kewangan, insurans dan takaful yang meningkat kepada 37.56 peratus bagi 2009 dan 38.97 peratus pada 2010 dengan nilai pemilikan ekuiti Bumiputera meningkat daripada RM53.35 billion kepada RM65.37 billion. Industri perdagangan borong dan runcit adalah industri yang mempunyai bilangan syarikat Bumiputera tertinggi berbanding industri lain. Bagaimanapun, bilangan syarikat Bumiputera menurun daripada 73,230 pada 2009 kepada 70,216 pada 2010 (Harian Metro).

Apa yang boleh kita buat untuk mencapai matlamat pemilikan bumiputera sebanyak 30% sebagai pekerja makan gaji? Tidak lain dan tidak bukan adalah mudah sahaja dengan membuat pelaburan melalui Amanah Saham Nasional Berhad yang pernah saya ceritakan sebelum ini (Klik di sini). Jumlah penduduk Malaysia pada hari ini ialah 28.3 juta dengan jumlah penduduk berbangsa melayu ialah 56.4% (tidak mengambil kira bumiputera lain) atau bersamaan dengan 15.96 juta orang. Sekiranya purata setiap orang menyumbang RM200 setiap bulan melalui caruman ASNB ini, jumlahnya adalah RM319 juta sebulan ataupun RM3.8 billion setahun. Ini belum mengambil kira lagi ekuiti-ekuiti bumiputera melayu yang lain. Sudah tentu ia akan memberi impak kepada ekonomi orang melayu itu sendiri walaupun dengan hanya membuat pengorbanan yang sedikit setiap bulan.

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad
 

Sumber

1.  Cheong Mei Sui dan Adibah Amin, 1996. Daim : Insan di Sebalik Enigma. Pelanduk Publications (M) Sdn. Bhd.
2.   Dr. Syed Hussin Ali, 2008. Orang Melayu : Masalah dan Masa Depan. Harakah.
3. Tun Dr. Mahathir Mohammad, 2012. Doktor Umum : Memoir Tun Dr. Mahathir Mohammad. Berita Publishing Sdn. Bhd.
4.   http://www.hmetro.com.my/articles/EkuitiBumiputeracecahRM167_7b/Article

No comments: