Friday, July 13, 2012

Sejarah Amanah Saham Nasional (ASN) Ditubuhkan

Amanah Saham Nasional (ASN) ditubuhkan adalah berkait rapat dengan sifat bangsa melayu itu sendiri. Sepertimana yang saya sebutkan sebelum ini iaitu pemilikan ekuiti bumiputera (Klik di Sini) sebanyak 30% menjadi teras untuk menjayakan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Apabila saham iaitu tawaran awam permulaan atau Initial Public Offer (IPO) dijual kepada orang ramai ketika syarikat berpindah daripada sendirian berhad kepada berhad atau syarikat berhad mahu menambah modal atau menyusun semula struktur pemilikan melalui saham baru, ia akan memperuntukkan sebanyak 30 peratus saham tersebut kepada bumiputera agar pegangan saham bumiputera meningkat mengikut peredaran masa.

Masalah Bumiputera

Apa yang menyedihkan ialah sebaik sahaja saham ini diperuntukkan kepada Bumiputera, sesetengah mereka akan menjualnya. Dan yang membelinya ialah orang cina kerana mereka bersedia membayar harga lebih tinggi daripada harga IPO. Dalam suasana pasaran saham yang baik, harga hampir semua saham IPO melonjak naik sebaik sahaja ia disenaraikan dan terus meningkat buat beberapa waktu.

Oleh kerana ingin mendapat untung mudah, golongan bumiputera menjual saham tersebut kepada spekulator cina. Tambahan pula ramai bumiputera meminjam daripada bank untuk membeli saham-saham IPO dan tidak mahu melambat-lambatkan bayaran balik pinjaman. Jadi, mereka menjual saham berkenaan dan membuat sedikit keuntungan selepas tolak pinjaman bank. Sesetengah orang cina yang inginkan saham tertentu membayar komisen atau upa kepada bumiputera untuk memohon saham IPO bagi pihak mereka. Selepas mendapat saham tersebut, tauke cina itu akan mengambil alih saham tersebut dan membayar upah kepada bumiputera atas khidmatnya.

Amalan jual janji saham IPO ini menjejaskan usaha menambah pemilikan bumiputera dalam sektor korporat. Sekiranya keadaan ini terus berlaku, matlamat DEB tidak akan tercapai. Apa yang lebih malang ia hanya akan menambah kekayaan orang bukan melayu.

Idea Badan Pengurusan Saham Amanah Ditubuhkan

Bagi mengatasi masalah orang melayu yang menjual saham-saham IPO yang diperuntukkan kepada meraka, maka sebuah badan pengurusan saham amanah perlu ditubuhkan. Badan ini boleh membeli saham-saham yang diperuntukkan kepada bumiputera di bawah DEB dan menjual unit-unit saham ini kepada individu bumiputera. Sekiranya mereka ingin menjual saham-saham ini, mereka hanya boleh menjual kepada pengurus saham amanah. Dengan cara ini, saham tidak akan dijual kepada orang bukan bumiputera.

Gabenor Bank Negara ketika itu, Tun Ismail Mohamed Ali diminta untuk menubuhkan sebuah tabung amanah bagi membeli saham-saham bumiputera. Syaratnya ialah tabung ini memberi pulangan lebih tinggi daripada simpanan tetap di dalam bank.

Lahirnya Amanah Saham Nasional (ASN)

Tun Ismail kemudian menubuhkan badan induk yang dikenali sebagai Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB). Sebanyak RM200 juta diperuntukkan oleh kerajaan kepada badan ini.  YPB kemudian menubuhkan PNB dan membiayainya bagi membeli saham-saham yang dikhaskan kepada bumiputera. Saham-saham ini akan dipindahkan ke sebuah tabung pengurusan saham yang dikenali sebagai Amanah Saham Nasional (ASN) sebelum saham ini dijual kepada bumiputera. Dengan ini, pemegang saham hanya boleh menjual balik unit-unit mereka kepada pihak PNB sahaja. Langkah ini sudah tentu dapat mencegah daripada saham-saham yang diperuntukkan kepada bumiputera jatuh ke tangan orang cina. 

Amanah Saham Nasional (ASN) dilancarkan secara rasminya pada 20 April 1981 oleh Perdana Menteri Ke-3, Tun Hussein Onn.

Kaum bumiputera khusus orang melayu diberi peluang untuk melabur di dalam Amanah Saham Nasional (ASN) ini sehinggakan saham bernilai RM10 diberikan kepada mereka untuk melabur dalam tabung amanah ini. Ini adalah untuk menimbulkan rasa bangga pada diri mereka kerana menyedari yang mereka juga mempunyai pegangan dalam kegiatan perniagaan dan syarikat-syarikat terkemuka negara.

Adakah anda sudah membuat pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN) pada hari ini (Klik di Sini) ? Jika belum, buka akaun anda sekarang pada hari ini.

Sekian, terima kasih.

Sumber.
1. Tun Dr. Mahathir Mohammad, 2012. Doktor Umum : Memoir Tun Dr. Mahathir Mohammad.  Berita Publishing Sdn. Bhd.

No comments: