Wednesday, September 19, 2012

Dilema Politik dan Ekonomi Orang Melayu


Saya terpanggil untuk menulis entri ini kerana apabila saya mengunjungi rumah terbuka di rumah kenalan, bandar-bandar besar yang dilalui sepanjang perjalanan tersebut kebanyakkannya dihuni oleh orang cina sehinggakan kita menggelar bandar-bandar tersebut sebagai ‘bandar cina’. Sekiranya kita melihat bangsa ini secara lebih mendalam, bangsa ini boleh dikatakan menguasai pelbagai bidang seperti perniagaan, pelajaran, pembangunan dan sebagainya. Sehinggakan ada yang mengatakan bahawa adakah Malaysia boleh mencapai kemajuan seperti hari ini sekiranya bangsa cina tidak tinggal di negara ini? Saya rasa boleh kerana Kerajaan Melayu Melaka boleh mencapai zaman kegemilangannya tanpa orang Cina membantu Kerajaan Kesultanan Melayu dalam bidang ekonomi melainkan sebagai pedagang asing termasuk daripada negara-negara lain ketika itu.

Adakah anda teringat dengan Laksamana Cheong Ho yang melawat ke Melaka di era Kesultanan Melayu Melaka? Beliau merupakan seorang Muslim. Sebenarnya, ketika itu Maharaja China ingin juga memeluk Islam dan ingin menjadikan Islam sebagai agama rasmi di Negara China. Jika kita melihat sesebuah negara, seseorang Maharaja atau Sultan memainkan peranan utama sebagai ketua agama. Oleh itu, apabila Maharaja China ingin menjadikan Islam agama rasmi di China, rakyat menggulingkan dinasti Maharaja China tersebut kerana ingin menyekat perkembangan Islam di China. Saya tidak akan membahaskan sejarah Islam di China secara lebih lanjut di sini.

Jika kita melihat senario perkembangan politik semasa pada hari ini, DAP akan cuba melemahkan pengaruh Sultan kerana Sultan merupakan ketua agama Islam dan pelindung hak keistimewaan Bumiputera. Cara untuk melemahkan pengaruh Sultan ini ialah memastikan orang melayu terus berpecah-belah. Formulanya mudah sahaja iaitu dengan memastikan parti terbesar Melayu iaitu UMNO dan PAS tidak bersatu. Apabila ada ura-ura yang mengatakan bahawa UMNO dan PAS ingin bersatu, maka DAP cepat-cepat memainkan peranan agar mereka tidak bersatu. Perkara ini disebut oleh pembahas rakan sosial Facebook saya suatu ketika dahulu kerana beliau sendiri bersekolah di Sekolah Aliran Cina dan mengetahui dengan lebih lanjut sejarah China. UMNO dan PAS pernah bersatu ketika dahulu pada tahun 1974 di dalam Barisan Nasional. Ketika itu, orang Cina melihat perpaduan orang Melayu dalam prospek yang sebenar. Pemimpin PAS ketika itu Dr. Asri Muda diberi jawatan menteri pusat dan bertanggungjawab menguruskan FELDA.

Bangsa Cina ini juga memang terkenal dalam bidang perniagaan. Sekiranya kita melihat di Shah Alam yang dikatakan sebagai bandar elit Melayu sekalipun, 90 peratus kedai-kedai tersebut dimiliki oleh orang Cina. Kajian ini dibuat oleh seorang pensyarah UiTM yang bernama Ismail Salleh. Sememangnya bangsa ini sinonim dengan bangsa yang suka menipu dalam urusan perniagaan. Tun Dr. Mahathir dalam memoirnya pun berasa pelik dengan sikap orang Melayu kerana suka mengatakan orang Cina suka menipu dalam perniagaan tetapi dalam masa yang sama, mereka membeli barangan keperluan mereka dengan bangsa ini.

Saya masih ingat sewaktu berada di pejabat lama tidak lama dahulu di Bukit Damansara ketika minum air di waktu petang di kedai makan dan hujan turun pada petang itu. Tidak lama selepas itu saya melihat kereta BMW berhenti di hadapan kedai. Saya melihat seorang pemandu Melayu keluar dari kereta dan mengambil payung. Lalu membuka pintu di tempat duduk belakang dan menyambut seorang wanita tua cina keluar dari kereta tersebut. Pemandu itu terus memegang payung untuk wanita tua cina tersebut dan mengiringinya sehingga masuk pejabat. Saya melihat seolah-solah orang Melayu ini hamba kepada orang Cina. Bolehkah kita mengatakan kita Tuan di Tanah Melayu ini sendiri sedangkan kita sebagai pemandu kepada orang Cina yang hanya merupakan sebagai kaum pendatang asing suatu ketika dahulu? Sepatutnya, bangsa ini merupakan pemandu kepada orang Melayu itu sendiri.

Faktor alam persekitaran juga mempengaruhi kedua-dua bangsa ini. Jika kita melihat faktor demografi antara Tanah Melayu dan Tanah Besar China, ianya memang terdapat perbezaan yang ketara. Di Tanah Besar China, bencana besar seringkali berlaku seperti gempa bumi, banjir besar dan sebagainya. Di sini, sesiapa yang berani, cekal dan berusaha akan dapat terus dapat meneruskan kehidupan mereka manakala bagi mereka yang malas tidak akan dapat meneruskan kehidupan mereka menghadapi cabaran yang bencana alam yang besar sebegitu rupa. Berlainan sekali dengan Tanah Melayu, di mana kawasan ini bebas daripada bencana alam kerana ia terletak di luar Lingkaran Api Pasifik. Di Tanah Melayu, penanaman padi merupakan penanaman ruji bagi masyarakat di sini di mana ia akan menghasilkan pengeluaran padi dua kali setahun. Masyarakat di sini akan dapat terus hidup dan beranak-pinak dengan menggunakan hasil padi yang dituai sebagai bekalan apatah lagi bebas daripada segala bencana alam. Dapat kita lihat di sini bahawa orang Melayu yang malas berusaha sekalipun akan dapat terus hidup dan beranak-pinak. Perkara ini yang menyebabkan perbezaan antara dua bangsa ini begitu ketara sekali sekiranya dilihat pada hari ini. Perkara ini disebut oleh Dr. Mahathir (Tun) dalam bukunya Dilema Melayu.

Akibat bencana alam yang sering mengancam di Tanah Besar China, orang-orang Cina lari dari tempat tinggal mereka dan berhijrah di Negara-negara Asia Tenggara. Mereka tekun berusaha dan berjaya membolot dan menguasai bidang ekonomi di negara tempat mereka menumpang termasuk Tanah Melayu. Sekiranya kita lihat di sini, orang Cina menerapan konsep hijrah yang dianjurkan oleh agama Islam itu sendiri. Hijrah itu penting bagi orang Islam kerana ia akan membawa perubahan diri kepada seseorang. Bukan orang Cina sahaja yang berjaya, malah ramai juga orang Indonesia atau dari negara-negara Asia Tenggara yang lain yang bekerja sebagai buruh kasar pada mulanya dan akhirnya berjaya membina perniagaan mereka sendiri. Saya fikir orang Melayu perlu keluar dari negara ini untuk berhijrah dan berusaha untuk hidup di tempat orang lain sekiranya untuk berjaya.

Usaha-usaha untuk membantu orang Melayu terutamanya dalam bidang ekonomi giat dilaksanakan sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1970 untuk mencapai ekuiti bumiputera supaya pemilikan mereka adalah pada tahap 30 peratus pada tahun 1990. Namun pada akhir tahun 1990, pencapaian pemilikan ekuiti bumiputera adalah pada tahap 19 peratus sahaja dan tidak mencapai matlamat sebenar. Jika kita perhalusi DEB ini, ia merupakan satu tindakan afirmatif iaitu tindakan memperlahankan bangsa lain khususnya Cina supaya orang Melayu tidak terlalu ketinggalan dalam bidang ekonomi dalam bidang ini.

Sekiranya kita melihat kepada ajaran Islam, adakah terdapat tindakan-tindakan afirmatif untuk memperlahankan kemajuan sesuatu yang lain bagi mengangkat ekonomi sesuatu bangsa yang lain pula? Sudah tentu tiada. Saya mungkin silap. Tetapi banyak instrumen-instrumen yang telah diperkenalkan oleh Islam itu sendiri gagal diaplikasikan atau kita sendiri yang terlepas pandang contohnya zakat, wakaf, dan sebagainya. Kita tidak pernah melihat orang yang tidak membayar zakat akan dihadapkan ke mahkamah. Ini menunjukkan bahawa instrumen-instrumen yang telah diperkenal oleh Islam itu sendiri bagi mengangkat ekonomi orang Melayu masih gagal dikuatkuasakan atau diaplikasikan sepenuhnya di negara ini. Sekiranya kita melihat di negara Turki, di sana terdapat Kementerian Wakaf yang bertanggungjawab untuk membantu ekonomi orang Islam sehinggakan mereka berjaya melaksanakan konsep wakaf itu sendiri. Contohnya, terdapat sebuah sekolah pengajian Islam di Bangi, Selangor yang diwujudkan hasil dana wakaf dari Turki. Sebenarnya, banyak instrumen-instrumen yang telah digariskan oleh Islam boleh membantu orang Melayu itu sendiri. Contohnya, dengan adanya institusi Wakaf, ia boleh membantu orang Melayu bagi memiliki lot-lot kedai yang tidak mampu dibeli oleh mereka secara individu dan ia boleh dibeli sekiranya bergerak secara beramai-ramai atau berjemaah. Begitu juga dengan zakat, ia boleh membantu keluarga fakir dan miskin. Saya masih ingat dengan kata-kata pensyarah saya suatu ketika dahulu, “Sekiranya zakat masih belum diagihkan secara adil, selagi itu akan ada rancangan Bersamamu.”

Tun Dr. Mahathir seringkali menyebut bahawa dia gagal dalam membantu mengangkat orang Melayu dalam bidang ekonomi. Saya fikir sebab-sebab dia gagal adalah disebabkan dua faktor. Faktor pertama ialah faktor beliau sendiri kerana beliau bukan merupakan seorang peniaga yang berjaya sekiranya kita membaca kisah hidup beliau. Kejayaan beliau dalam bidang perniagaan hanya sekadar berjaya menguruskan klinik peribadi peribadi dan tidak lebih daripada itu. Sekiranya ada pun, beliau pernah menjadi pemaju perumahan malangnya keuntungan tersebut digunakan untuk melabur dalam bidang bijih besi bersama rakannnya dan akhirnya projek bijih besi tersebut gagal. Perkara ini diceritakan sendiri oleh beliau dalam Memoirnya. Faktor kedua ialah beliau tidak melaksanakan dasar-dasar ekonomi yang telah digariskan oleh Islam itu sendiri. Sepatutnya Kerajaan di bawah pimpinan beliau ketika dahulu perlu melaksanakan perkara-perkara yang telah digariskan oleh Islam sepertimana yang saya sebutkan di atas. Ironinya, beliau gagal memajukan orang Melayu dalam bidang ekonomi. Jika kita melihat orang Cina sekalipun, mereka mempunyai pertubuhan mereka sendiri bagi membantu peniaga-peniaganya untuk berjaya. Konsepnya sama sahaja.

Jika kita melihat orang-orang Cina di universiti, mereka seolah-olah mempunyai kuasa ajaib. Ini adalah kerana kebanyakan graduan-graduan bangsa ini mendapat Kepujian Kelas Pertama. Ada yang menceritakan kepada saya bahawa mereka kadang-kadang curi masuk ke dalam bilik pensyarah dan mengubah markah ujian mereka. Mungkin ini benar dan tidak hairanlah mereka mendapat Kepujian Kelas Pertama tetapi ia mungkin kes-kes terpencil sahaja. Menurut pensyarah saya, orang Melayu dan orang Cina itu sama sahaja. Apa yang membezakan mereka ialah orang Cina akan menumpukan 100 peratus perhatian di dalam kelas. Kemudian, mereka akan mencari bahan-bahan tambahan sebagai rujukan pelajaran mereka. Di sini dapat dilihat bahawa perbezaan antara kedua-dua bangsa ini ialah orang Cina hanya memberi tumpuan kepada 2 perkara iaitu memberi perhatian 100 peratus dalam pelajaran dan mencari rujukan lain sebagai bahan rujukan mereka.

Guru saya di sekolah menengah suatu ketika dahulu pernah menceritakan bahawa orang Cina ini tidak percaya kepada guru-guru Melayu. Mereka akan pelajari semua bahan pembelajaran sebelum diajar oleh guru-guru Melayu. Mereka bukan sekadar belajar sahaja sebelum memasuki kelas, bahkan mereka akan faham sepenuhnya terlebih dahulu sebelum pembelajaran bermula. Jika dari segi pembelajaran sekalipun, seseorang pelajar perlu faham terlebih dahulu apa yang akan dipelajari sebelum memasuki kelas. Tidak ada beza antara pelajar Melayu atau Cina sekiranya mereka berusaha lebih.

Orang Melayu memang kurang memiliki syarikat-syarikat yang bertaraf dunia melainkan menguruskan syarikat-syarikat Kerajaan atau Swasta. Apa yang saya tahu syarikat Melayu yang boleh dibanggakan ialah syarikat Mustapha Kamal yang terlibat dalam bidang hartanah selain daripada syarikat yang dimiliki oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary. Jika adapun ia hanya dimiliki oleh kaum-kerabat yang memiliki hubungan dengan pemimpin-pemimpin negara.  Sekiranya kita melihat syarikat-syarikat GLC seperti Proton, Perodua, MAS, Sime Darby, Guthrie, Petronas dan sebagainya ia diuruskan oleh orang-orang Melayu. Ini menandakan bahawa orang Melayu mempunyai kemahiran intrapreneur iaitu kemahiran luar usahawan yang tinggi tetapi mempunyai kemahiran entrepreneur iaitu kemahiran dalam usahawan yang rendah. Ini dapat dilihat bahawa syarikat-syarikat individu Melayu yang terkemuka masih sedikit jika dilihat pada hari ini. Tidak hairanlah ramai peniaga Melayu yang gulung tikar apabila baru memulakan perniagaan kerana tidak mempunyai semangat juang yang tinggi.

Jika kita melihat pembinaan Menara Berkembar Petronas suatu ketika dahulu, ia merupakan projek usahawan Tan Sri Ananda Krishnan pada awalnya apabila dia ingin membina menara berkembar tersebut. Pada mulanya, ia memiliki kedua-dua menara tersebut atau memiliki sebuah bangunan pencakar langit tersebut. Oleh kerana beliau ingin mengambil hati orang Melayu, dia perlu mencari seorang pemodal Melayu yang memiliki duit yang banyak bagi membangunkan menara tersebut tetapi tiada melainkan hanya Petronas sahaja yang memiliki modal yang banyak bagi meneruskan projek usahasama tersebut di mana sebelah menara tersebut milik beliau manakala sebelah lagi milik Petronas. Akhirnya, beliau menjual sebelah menara milik beliau kepada Petronas. . Dapat kita dilihat di sini bahawa orang Melayu masih kekurangan pemodal-pemodal yang betul-betul mempunyai banyak wang secara individu. Saya fikir ada iaitu dan tidak lain dan tidak bukan ialah Tun Daim Zainuddin yang memiliki International Commercial Bank (ICB) yang beroperasi di seluruh dunia.

Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah iaitu Pengerusi Land & General pernah mengungkapkan bahawa apabila Tun Daim dilantik menjadi Menteri Kewangan pada tahun pertengahan 1980-an, beliau yakin bahawa Tun Daim akan lebih terbukti lebih berjaya daripada Lee Loy Seng, Lim Goh Tong (mendiang), dan Robert Kuok melalui projek pengswastaan. Apabila ini berjaya beliau memberi penghargaan terhadap diri mereka kerana berjaya membantu Tun Daim menjayakan projek pengswastaan. Dapat dilihat di sini bahawa Tun Daim yang merupakan seorang Melayu Islam dapat ‘bersaing’ dengan tokoh-tokoh perniagaan yang lain. Tidak ada apa yang membezakan seseorang sama ada warna kulit, agama dan sebagainya.

Dapat disimpulkan bahawa tiada yang membezakan seseorang sama ada dari segi agama dan bangsa bagi seseorang sekiranya ingin berjaya. Semuanya boleh berjaya sekiranya melaksanakan kaedah dengan betul dan mempunyai disiplin serta berusaha dengan kuat untuk berjaya. Bak kata Tun Daim, “ Mengapa anda tidak boleh buat? Mengapa anda tidak boleh jadi? Adakah cuma anda seorang Melayu?”


http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: