Monday, October 1, 2012

Mengapa Amerika Syarikat Boleh Tewas Berperang dengan Vietnam?

Mengapa Amerika Syarikat boleh tewas berperang dengan Vietnam suatu ketika dahulu? Bunyinya agak ganjil apabila Amerika Syarikat boleh tewas apabila berperang dengan negara kecil seperti Vietnam. Tetapi tidak mustahil perkara ini boleh berlaku walaupun Amerika Syarikat merupakan sebuah kuasa besar dunia.

Sebenarnya, Vietnam menewaskan Amerika Syarikat adalah bukannya melalui persenjataan hebat atau angkatan tentera yang besar. Negara ini mengalahkan Amerika dengan mengorek terowong sepanjang berates-ratus batu di tempat-tempat strategik bagi membolehkan pasukan gerilanya muncul dan lesap sesuka hati. Contohnya, terowong bawah tanah Chu Chi membolehkan askar Viet Cong bergerak dan berhubung antara mereka tanpa dikesan selain untuk menyimpan bekalan makanan dan senjata. Beberapa bahagian terowong ini juga bertindak sebagai kuarters penginapan dan hospital.

Orang Vietnam mempunyai sumber paling penting, iaitu pengetahuan dan risikan mengenai negara sendiri. Mereka juga mempunyai keazaman politik yang jitu, yang lahir daripada tuntutan keadaan dan kebanggaan diri yang sejati. Ini adalah gabungan hebat yang sukar dipatahkan.

Pada 16 Mac 1968, tentera Amerika Syarikat telah menyerang kampung My Lai di Vietnam serta membunuh beratus rakyat yang tidak bersenjata. Serangan ini dilaporkan telah dilakukan sebagai balasan apabila satu pasukan askar Amerika Syarikat terkena jerat samar. Kekejaman ini membuatkan orang Vietnam semakin marah dan berazam serta bersedia untuk membunuh dan dibunuh. Peristiwa ini sebenarnya merosakkan integriti tentera Amerika Syarikat. Askar Amerika Syarikat akhirnya berundur dari bum Vietnam pada tahun 1973 dan perang tamat secara rasminya pada 30 April 1975.

Dapat kita fahami di sini bahawa walaupun sesebuah negara itu kecil dan tidak berupaya untuk mengeluarkan belanja yang besar bagi mempertahankan diri mereka, mereka boleh membina kemahiran dan keupayaan yang secukupnya bagi melancarkan perang gerila yang berpanjangan terhadap penyerang mereka. Walaupun perlu menyediakan tenaga manusia yang banyak, mereka boleh mengekalkan pasukan bersenjata konvensional yang kecil dengan belanja yang rendah. Ini disebabkan mereka tahu mengenai muka bumi negara mereka sendiri, maka mudahlah bagi mereka untuk menyembunyikan pasukan gerila mereka dan pada masa yang sama, melatih orang awam mengenai selok-belok perang gerila.

Sumber: Tun Dr. Mahathir Mohammad, 2012, Doktor Umum: Memoir Tun Dr. Mahathir Mohamad.

No comments: