Monday, January 14, 2013

Hakikatnya PAS dan PKR Masih Memerlukan Sokongan Kerusi UMNO di Dewan Rakyat




Kedudukan Kerusi Dewan Rakyat Melayu dan Bukan Melayu Selepas PRU  Ke-11

Kedudukan Kerusi Dewan Rakyat Melayu dan Bukan Melayu Selepas PRU Ke-12
 
Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.
 
Saya teruja untuk menulis pada kali ini apabila melihat cartai pai yang tertera di atas di dalam laman sosial Facebook. Pihak Kerajaan mengatakan bahawa kuasa melayu akan terhakis apabila Pakatan Rakyat menguasai Dewan Rakyat menjelang PRU ke-13 nanti. Namun begitu, pihak Pakatan Rakyat menjawab bahawa orang Melayu tetap menguasai parlimen walaupun Pakatan Rakyat menang pilihan raya nanti. 
 
Memang benar, sekali imbas kita dapat melihat orang Melayu tetap menguasai parlimen apabila Pakatan Rakyat menang dan terdapat peningkatan kerusi orang Melayu selepas PRU ke-12 daripada kerusi PAS dan PKR sekaligus menambah peratus bilangan kerusi orang melayu di dalam parlimen. Akan tetapi, sekiranya diperhalusi cartai pai di atas, sebenarnya Parti PAS dan PKR masih mengharapkan kerusi daripada UMNO untuk memastikan orang Melayu terus menguasai parlimen. Apa yang melucukan saya bagaimana orang Melayu dalam Parti PAS dan PKR masih menentang UMNO tapi dalam masa yang sama masih mengharapkan ihsan kerusi UMNO untuk memastikan kelangsungan kerusi orang Melayu terus menjadi dominan dalam Parlimen.
 
Baiklah, sekiranya kita melihat bilangan kerusi Dewan Rakyat parti-parti politik secara tunggal di dalam Dewan Rakyat dapat dilihat bahawa Parti UMNO paling dominan dalam dewan tersebut sama selepas PRU Ke-11 dan PRU Ke-12 dengan masing-masing kerusi ialah 108 dan 77 kerusi Parlimen di dalam Dewan Rakyat. Manakala PAS dan PKR tidak boleh menjadi dominan sekiranya berdiri secara tunggal. Ini sudah tentu menyedihkan.
 
Sekiranya kerusi PKR dan PAS sahaja diambil kira dalam Parlimen tanpa mengambil kira kerusi UMNO , maka jumlah kerusi kedua-dua parti ini selepas PRU Ke-11 ialah 8 kerusi dengan 3.65 peratus dan selepas PRU Ke-12 ialah 43 kerusi dengan 19.72 peratus. Berbanding dengan UMNO selepas PRU Ke-11 ialah 108 kerusi dengan 49.32 peratus dan selepas PRU Ke-12 ialah 35.32 peratus. Walaupun peratus kerusi UMNO merudum, ia tetap dominan berbanding gabungan kerusi Parti PAS-PKR sepanjang 2 pasca-PRU berturut-turut.
 
Ini menunjukkan bahawa Parti PAS-PKR tidak dapat menunjukkan bahawa orang Melayu menguasai parlimen tanpa 'pertolongan' kerusi UMNO. Walaupun UMNO masih memegang kerusi 35.32 peratus di dalam Parlimen berbanding PAS-PKR iaitu dengan 19.72 peratus, UMNO masih lagi memegang tampuk Kerajaan berbanding dengan PAS-PKR yang berada dalam barisan pembangkang dan dalam masa yang sama mengharapkan 'pertolongan' UMNO untuk menunjukkan bahawa Parlimen masih dikuasai oleh orang Melayu. Bak kata Tun Dr. Mahathir, "Tepuk dulang paku sepih, katakan orang awak yang lebih."
 
Sekian, terima kasih.
 
http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: