Monday, April 22, 2013

Apabila Lim Kit Siang Ketakutan, Tun Dr. Mahathir Pula Disalahkan

Kemaskini :

Datuk Ghani Othman kalah kepada Lim Kit Siang dengan majoriti 14,762 undi di mana Datuk Ghani Othman memperolehi 39,522 undi dan Lim Kit Siang memperolehi 54,284 undi.

Cabaran penasihat Parti Dap iaitu Lim Kit Siang yang ingin menguji staminanya sekaligus ingin menguburkan pengaruh MCA di Johor dengan bertanding di kubu Umno di parlimen Gelang Patah disambut dengan penamaan bekas Menteri Besar Johor iaitu Datuk Ghani Othman untuk menentangnya di parlimen yang sama.

Pada awalnya, media-media pembangkang memainkan isu ini dengan mengatakan bahawa pemimpin-pemimpin atasan Umno ingin mematikan karier politik Ghani Othman dengan meletaknya bertanding menentang Lim Kit Siang. Bagi saya, pembangkang hanya melihat sudut yang lain iaitu melihat isu ini secara negatif. Adakah pemimpin-pemimpin Umno ingin menamatkan karier Ghani Othman di mana Johor pada tahun 2008 adalah tidak terkena tempias tsunami politik di mana cuma hanya satu sahaja kerusi parlimen Johor yang terlepas kepada pembangkang? Sudah tentu panglima-panglima Umno yang berjasa kepada parti tidak akan dikorbankan begitu sahaja. Saya pasti puak-puak pembangkang sebenarnya bimbang pertandingan sengit yang akan berlaku di parlimen Gelang Patah. Datuk Ghani Othman juga dalam satu kenyataan menyatakan bahawa beliau gembira tidak lagi dilantik sebagai Menteri Besar lagi. Sudah tentu ini kerana beliau telah menjadi Menteri Besar selama 4 tahun berturut-turut dan kini tiba masanya beliau berkhidmat pula di parlimen. Jika kita melihat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Sri Najib masing-masing pernah menjadi Menteri Besar di neger masing-masing.

Lain pula dengan kenyataan Lim Kit Siang bahawa penamaan Datuk Ghani Othman adalah sebagai membantu proksi Tun Dr. Mahathir untuk menamatkan karier politik beliau. Jika difikir balik kenyataan ini, adakah Tun Dr. Mahathir yang menentukan sama ada karier politik Lim Kit Siang untuk hidup ataupun mati. Sudah tentu ini tidak benar sama sekali. Apa yang menentukan karier politik seseorang ahli politik itu ialah pengundi-pengundi atau pemilih-pemilih semasa pilihanraya umum nanti. Sekiranya kita melihat bekas Presiden MIC iaitu Dato’ Seri Samy Vellu, beliau ditolak oleh pengundi-pengundi Sungai Siput pada pilihanraya umum tahun 2008. Kenapa beliau ditolak? Sudah tentu kerana beliau gagal memberi khidmat terbaik untuk kawasan parlimennya berbanding lawannya. Sekiranya kita melihat parlimen Gelang Patah, apakah khidmat yang diberikan oleh Lim Kit Siang? Lim Kit Siang yang sebelum ini merupakan ahli parlimen Ipoh Timur tiba-tiba terbang ke kubu Umno untuk menumbangkan pengaruh MCA di sana. Adakah pengundi-pengundi di sana akan memilih beliau walaupun di sana majoriti cina? Jika pengundi-pengundi Gelang Patah tidak memilih beliau, sudah tentu bukan disebabkan oleh Tun Dr. Mahathir tetapi disebabkan oleh sikap sembrono beliau untuk bertanding di sana secara membabi-buta.

Lim Kit Siang juga sepatutnya menanti segala kemungkinan apa yang akan berlaku di sana memandangkan beliau dicalonkan terlebih dahulu di kerusi parlimen Gelang Patah sebelum Datuk Ghani Othman dicalonkan di sana. Oleh itu, beliau perlu bersiap-siaga menghadapi segala kemungkinan yang akan dihadapi daripada parti lawan dan bukannya menuduh Datuk Ghani Othman itu sebagai proksi Tun Dr. Mahathir. Sekiranya beliau (Datuk Ghani Othman) proksi Mahathir sekalipun, mengapa beliau takut untuk menentang Datuk Ghani Othman secara sama satu? Tambahan pula, ada cadangan oleh Tun Dr. Mahathir untuk pilihanraya umum pada kali ini tidak dipilih seperti Dato’ Ibrahim Ali yang tidak terpilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Pasir Mas bahkan Khairy Jamaluddin (KJ) yang tidak disukai oleh Tun Dr. Mahathir sekalipun dicalonkan untuk bertanding di Rembau bagi pihak BN.

Pendek kata, Lim Kit Siang sekarang berada dalam kebimbangan kerana beliau sendiri akan ditentang oleh pemimpin utama negeri Johor iaitu Datuk Ghani Othman yang telah bersemadi sebagai Menteri Besar Johor di hati rakyat negeri Johor selama 4 penggal berturut-turut. Sebenarnya Tun Dr. Mahathir tidak menguburkan karier politik beliau tetapi beliau sendiri yang menggali kubur politiknya di parlimen Gelang Patah.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Tuesday, April 16, 2013

Cuit-cuit : Husam Musa Sahaja Menempah Kekalahan di Putrajaya

Kemaskini :
 
Husam Musa kalah kepada Tengku Adnan iaitu dengan majoriti sebanyak 5,541 undi iaitu dengan Husam Musa memperolehi 4,402 undi dan Tengku Adnan Mansor memperolehi 9,943 undi.
 
Banyak kejutan-kejutan yang dibuat oleh pembangkang dengan penamaan calon-calon mereka. Ini adalah kerana penamaan adalah dibuat di kubu-kubu kuat Umno. Apa yang paling melucukan saya ialah penamaan Husam Musa sebagai calon menentang Tengku Adnan atau Ku Nan di parlimen di Putrajaya. Dalam satu kenyataan, Ku Nan menyatakan bahawa Husam Musa akan kehilangan 2/3 undian di Putrajaya kerana beliau sudah lama berkhidmat di parlimen itu. Saya juga berasa sungguh lucu dengan penamaan ini. Seolah-olah buah duku ingin ‘membelasah’ buah durian. Saya berharap Husam Musa ‘menang besar’ dalam PRU-13 nanti.

Sekian, terima kasih. 

Apabila Buku Bertemu dengan Ruas : Lim Kit Siang VS Ghani Othman


Kemaskini :

Datuk Ghani Othman kalah kepada Lim Kit Siang dengan majoriti 14,762 undi di mana Datuk Ghani Othman memperolehi 39,522 undi dan Lim Kit Siang memperolehi 54,284 undi.

Assalmualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.
 
Saya terkejut apabila melayari internet sambil membuat kerja pagi dalam pukul 10.00 pagi tadi apabila ada laman web berita yang menyatakan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Ghani Othman akan menentang Lim Kit Siang di Parlimen Gelang Patah. Ibarat peribahasa apabila buku bertemu dengan ruas. Sudah tentu ini menjadi persaingan sengit antara Kerajaan dan Pembangkang atau lebih tepat lagi ialah perlawanan antara Umno dan Dap. Saya sengaja meletakkan tajuk “Lim Kit Siang VS Ghani Othman” kerana Lim Kit Siang dicalonkan dahulu di Gelang Patah manakala Ghani Othman baru dicalonkan pada hari ini.

Mampukah Lim Kit Siang Menerobos Negeri Johor?

Johor sebelum ini sudah sinonim dengan kubu kuat Umno. Sudah tentu kemaraan pembangkang di Negeri Johor dengan menampilkan pemimpin-pemimpin utama mereka seperti Lim Kit Siang seolah-olah ingin menamatkan riwayat Umno di Johor dan ingin memberitahu rakyat bahawa Umno kini sudah lemah. Namun, cabaran pembangkang ini disahut dengan penamaan Datuk Ghani Othman bertanding menentang Lim Kit Siang di parlimen Gelang Patah.

Tahniah diucapkan kepada Umno dengan menamakan pemimpin utama menentang penasihat DAP itu. Sekurang-kurangnya Umno dapat juga ‘mengajar’ lawan mereka awal-awal lagi supaya tidak ‘membuat kacau’ di kawasan mereka lebih-lebih lagi kubu kuat mereka dan juga tidak memberi laluan mudah kepada lawan mereka dengan menampilkan calon-calon yang tidak berapa dikenali. Sekiranya Umno berbuat demikian, seolah-olah Umno telah mengaku kalah kepada Dap awal-awal lagi dan memberitahu kepada rakyat bahawa peluangnya untuk memenangi menentang penasihat Dap itu adalah tipis. Sekurang-kurangnya Umno telah memenangi ‘peperangan moral’ pada peringkat ini.

Sekiranya dilihat statistik  di Parlimen Gelang Patah, ia terdiri daripada 78,676 pemilih. Daripada jumlah ini, pemilih daripada kaum cina adalah terbesar iaitu 54 peratus, diikuti dengan pemilih bangsa melayu (33 peratus) dan india (12 peratus). Sekiranya ingin memenangi parlimen ini, salah satu calon perlu mendapatkan undi popular sebanyak 39,339 undi iaitu 50.001 peratus daripada jumlah pemilih (50 peratus adalah 39,338 undi). Apakah strategi yang digunakan oleh kedua-dua calon? Adakah Lim Kit Siang yakin 54 peratus daripada pemilih cina akan memihak kepadanya? Adakah Datuk Ghani Othman yakin boleh memenangi undi yang besar daripada pengundi cina di samping pengundi melayu dan india?

Ghani Othman sebelum ini menyatakan bahawa beliau bertekad untuk mempertahankan semua 26 kerusi parlimen di Johor. Ini memang menguji stamina dan keupayaan beliau apabila pembangkang cuba ingin ‘menceroboh’ kubu beliau. Jika dilihat PRU-12 pada tahun 2008, kerusi parlimen Gelang Patah dimenangi oleh calon MCA iaitu Tan Ah Eng dengan majoriti 8,851 menentang calon dari PKR iaitu Dr. Zaliha Mustafa. Ini menunjukkan bahawa pengundi-pengundi cina masih setia kepada BN di Johor walaupun dapat menyaksikan peralihan sokongan cina di negeri-negeri lain kepada pembangkang pada tahun yang sama.

Johor sebelum ini menyaksikan kehilangan 2 kerusi parlimen kepada pembangkang iaitu Kluang pada tahun 1978 dan Bakri pada tahun 2008. Jika dilihat pada tahun 2008 sekalipun, Johor hanya kehilangan 1 kerusi sahaja walhal tsunami politik berlaku ketika itu di mana BN kehilangan 5 buah negeri ketika itu. Mungkin BN masih boleh mengekalkan sokongan rakyat kepada mereka buat masa ini di Johor termasuk di Gelang Patah kerana mood tengah baik buat masa ini walaupun ada ramalan yang mengatakan Johor akan kehilangan beberapa kerusi Dun dan Parlimen pada PRU akan datang.

Terdapat 2 keadaan yang terjadi apabila salah satu pihak kalah. Sekiranya Lim Kit Siang kalah pada kali ini, ini akan membawa kepada :

1.    Riwayat Lim Kit Siang dalam arena politik akan berakhir apabila sudah dimalukan di
     ‘kampung orang'.
2.   Pembangkang tidak akan berani memasuki kawasan kubu Umno yakni Johor pada
      pilihan raya umum akan datang.
3.  Dap dimalukan di seluruh Malaysia kerana pemimpin utama mereka kalah kepada calon
     Umno apatah lagi penasihat mereka sengaja menguji kekuatan di kubu kuat Umno.
4.   Umno masih mempunyai sokongan daripada pengundi-pengundi cina khususnya di
     Johor.
5.  Datuk Ghani Othman akan dilantik ke kabinet dengan memegang portfolio Kementerian
     berpengaruh seperti Menteri Kewangan atau Menteri Kewangan II, Menteri   
      Keselamatan Dalam Negeri, Menteri Pertahanan, dan sebagainya.

Manakala sekiranya Datuk Ghani Othman kalah, ini membawa kepada :

1.     Status quo Umno sebagai imej parti pemerintah sudah mula pudar.
2.     Pengaruh Umno sudah mula pudar kerana kubu kuat mereka sudah pun ditembusi.
3.     Maruah orang melayu secara tidak langsungnya jatuh kerana menyaksikan kekalahan   
      parti Umno kepada sebuah parti cina di negerinya sendiri.
4.     Datuk Ghani Othman sebagai pemimpin utama gagal mempertahankan negerinya.
5.    Orang cina sudah menolak kepimpinan Umno kerana Ghani Othman sudah lama     
      menjadi Menteri Besar Johor.

Walauapapun terjadi, kita perlu menunggu dan melihat keputusan PRU-13 nanti. Semoga Allah s.w.t. memberi kemenangan kepada Datuk Ghani Othman menentang Lim Kit Siang. Wallahua’lam.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Saturday, April 13, 2013

Ekuiti Kaum Melayu, Cina dan India.


Secara keseluruhannya, ekuiti kaum melayu, cina dan india telah meningkat daripada tahun 1970 sehingga tahun 2008.

Pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat telah meningkat kepada 21.9% berbanding tahun 1970 iaitu sebanyak 2.4%. Selain itu, nilai pegangan juga meingkat kepada RM127.4 bilion daripada RM125.6 juta dalam tempoh yang sama.

Pemilikan cina adalah bertambah sebanyak 7.7% iaitu pemilikan sebanyak 34.9% pada tahun 2008 berbanding 27.2% pada tahun 1970. Nilai pegangan pula adalah meningkat kepada RM203.09 bilion daripada RM1.45 bilion dalam tempoh yang sama.

Manakala pemilikan ekuiti kaum india adalah mengalami peningkatan iaitu 1.6% pada tahun 2008 berbanding tahun 1970 iaitu 1.1%. Nilai pegangan adalah meningkat kepada RM9.56 bilion RM55.9 juta dalam tempoh yang sama.

Sumber :
Pertanyaan Dewan Rakyat, Puan Teo Nie Ching (Serdang) kepada Perdana Menteri.


http://wankamarul701.blogspot.com

3 Perkataan Melayu Asli


Assalamulaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Sebenarnya  bahasa melayu merupakan bahawa yang banyak menerima daripada pengaruh bahasa-bahasa lain khususnya bahasa arab di mana ia telah dimelayukan. Tanah melayu sebenarnya terletak antara timur dan barat di mana ia menjadi tempat persinggahan kapal-kapal dagang suatu ketika dahulu. Ptolemy iaitu ahli geografi Mesir telah melawat tanah melayu pada abad ke-2 dan beliau menggelar tanah melayu “Golden Chersonese” yang bermaksud Semenanjung Emas. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka sebenarnya terdapat 3 perkataan sahaja perkataan melayu asli. Perkataan – perkataan tersebut ialah : 

1. Paku 
2. Padi
3. Babi

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Ulama-ulama Kerajaan Perlu Berani Menegur Kesilapan Pemerintah Negara


Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera selalu dan sentiasa dirahmati Allah s.w.t. Pada kali ini saya ingin berbicara mengenai ulama-ulama yang berada di dalam Kerajaan. Sudah tentu di negara Malaysia yang mengamalkan demokrasi pada hari ini, akan wujud 2 golongan iaitu pihak kerajaan dan pembangkang di mana masing-masing menggunakan pelbagai taktik kotor bagi menjatuhkan lawan masing-masing. Cerita terbaru menjelang PRU-13 ini adalah cerita video seks oleh seorang pemimpin daripada Parti PAS. Ini sudah tentu mendukacitakan kita kerana menggambarkan betapa teruknya masyarakat kita pada hari ini.

Isu video seks di Malaysia bermula pada tahun 2011 lagi apabila ia membabitkan pemimpin daripada parti pembangkang iaitu serentak dengan pembubaran DUN Negeri Sarawak bagi menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) bagi negeri tersebut. Pemimpin-pemimpin Pas menempelak ulama’-ulama’ kerajaan kerana mendiamkan diri mengenai isu tersebut. Sesungguhnya usaha-usaha pemimpin Pas ini merupakan usaha yang baik bagi menegur ulama-ulama kerajaan yang berdiam diri mengenai isu ini supaya kemungkaran video seks ini tidak berleluasa di dalam masyarakat kerana ia merupakan fitnah yang besar dan mengaibkan seseorang.

Apa yang lebih buruk lagi, penerbit-penerbit drama video seks tersebut sanggup bersumpah dengan al-Quran apatah lagi di dalam masjid. Inilah yang dikatakan tanda-tanda kecil hari kiamat iaitu banyak sumpah palsu dan pembohongan. Perkara ini sudah pun berlaku secara terang-terangan pada hari ini.

Kee Thuan Chye dalam bukunya No More Bullshit, We’re All Malaysians, beliau bertanyakan apa sudah jadi dengan Malaysia yang agama rasminya adalah Islam. Adakah kita ingin menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah tempat pementasan drama video seks? Kita sebagai orang Islam sudah tentu patut malu dengan orang bukan Islam kerana perkara-perkara buruk ini datangnya daripada orang Islam itu sendiri. Oleh itu, ulama-ulama perlu lantang menegur pemimpin-pemimpin parti pemerintah supaya mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang membuat perkara buruk ini.

Ulama-ulama kerajaan hari ini perlu mencontohi bekas Mufti Selangor iaitu Allahyarham Dato’ Ishak Baharom yang dipecat pada akhir Oktober 1997 rentetan daripada isu pertandingan ratu cantik dan penangkapan 3 gadis melayu Islam pada 13 Jun 1997 di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya, Selangor. Allahyarham dengan tegas menyatakan bahawa pertandingan ratu cantik itu adalah haram. Ulama seperti ini patut dicontohi oleh ulama-ulama lain khususnya yang berada dalam kerajaan.

Selain itu, banyak lagi kemungkaran-kemungkaran yang terus berlaku dan suara-suara ulama tidak didengari bagi mencegah kemungkaran ini seperti program realiti TV, tayangan filem tahyul dan sebagainya. Oleh itu, tidak hairanlah apabila bala Allah s.w.t. datang seperti kenaikan harga-harga barang yang mana menyusahkan kita semua. Ini mungkin hanya peringatan kecil daripada Allah s.w.t. Apabila disebut bala, semua orang akan terkena tempiasnya tidak kira sama orang yang membuat maksiat ataupun tidak seperti kenaikan harga-harga barang di mana semua orang akan terkena tempiasnya.

Jika kita melihat keagungan Khilafah Uthamaniah yang memayungi umat Islam lebih daripada 600 tahun berakhir disebabkan oleh ulama-ulamanya sendiri yang menjadi pengampu-pengampu Khalifah dinasti-dinasti terakhir dan tidak berani menegur pemerintah yang membuat maksiat. Akhirnya, ulama-ulama yang menjadi pegawai-pegawai kerajaan ini hanya dibenarkan menjaga masjid-masjid dan gajinya hanyalah bergantung kepada sedekah orang ramai setelah sistem pemerintahan berkhalifah dimansuhkan pada 1924.

Pendek kata, ulama-ulama pada hari ini perlu berani memainkan peranannya dengan lebih aktif bagi mencegah kemungkaran daripada berlaku dengan menegur pemerintah negara. Ini adalah benar seperti mana kata-kata Imam al-Ghazali iaitu, “ Rosak rakyat adalah kerana rosak pemimpin. Rosak pemimpin adalah kerana rosak ulama. Rosak ulama adalah kerana cintakan dunia.” Wallahua’lam.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Saturday, April 6, 2013

Cuit-cuit Lim Guan Eng : Jumaat - Penghulu Segala Hari


Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Parlimen telah dibubarkan pada 3 April 2013 iaitu pada hari Rabu bertepatan dengan ulang tahun ke-4 pentadbiran Perdana Malaysia, Datuk Seri Najib  Tun Razak. Akan tetapi, suatu cerita lawak dikeluarkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu Lim Guan Eng yang mengisytiharkan bahawa pembubaran dun bagi Negeri Pulau Pinang dibuat pada 5 April 2013 iaitu pada hari Jumaat. Menurut beliau, hari Jumaat dipilih kerana ia merupakan penghulu segala hari.

Betulkah hari Jumaat dipilih kerana ia merupakan penghulu segala hari? Jika kita membaca laporan www.roketkini.com iaitu lidah rasmi web DAP berbahasa Malaysia pada 3 April 2013 menyatakan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi negeri-negeri Pakatan Rakyat termasuk Pulau Pinang akan membubarkan Dun masing-masing pada 3 dan 4 April 2013. Namun akhirnya ia dibubarkan pada 5 April 2013. Tarikh itu dipilih kerana ia jatuh pada hari Jumaat kerana hari tersebut merupakan penghulu segala hari.

Penyokong-penyokong Pas sudah tentu gembira kerana kenyataan Lim Guan Eng kerana ia menunjukkan bahawa pemimpin Dap sudah berjaya ditarbiah oleh Pas dan sudah mengenal Islam. Saya berharap anda semua tidak tertipu kerana orang-orang melayu sebenarnya suka apabila dipuja apabila orang-orang cina mengikut budaya dan agama mereka. Mujur Lim Guan Eng tidak memakai serban dan jubah apabila membuat kenyataan tersebut bersama pemimpin Pas.

Bagi saya ia hanyalah sekadar untuk meraih undi dan sokongan orang melayu sahaja. Bagi hari Khamis tidak dipilih kerana ia jatuh pada 4 April 2013 atau 4/4/2013. Ia dibaca mati/mati/2013. Umum mengetahui bahawa orang-orang cina takut kepada nombor 4 kerana ia membawa nasib malang kepada mereka. Oleh itu, pembubaran Dun dibuat pada 5 April 2013 iaitu pada hari Jumaat. Itu sahaja persepsi saya.

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary Dicerca, Taukeh-taukeh Besar Bukan Melayu Pula Dipuja


Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Parlimen sudah dibubarkan dan kini rakyat Malaysia menunggu pula bila tarikh PRU-13 akan diumumkan. Seperti biasa pihak-pihak kerajaan dan pembangkang akan bersaing untuk merebut Putrajaya dalam pilihanraya pada kali ini. Masing-masing mencari modal untuk meraih undi daripada rakyat. Akan tetapi, apa yang mengecewakan saya ialah Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary dijadikan sasaran mereka. Ini adalah kerana beliau merupakan jutawan yang banyak menerima kontrak-kontrak kerajaan. Menurut pemimpin-pemimpin pembangkang ini sudah tentu tidak adil kerana kekayaan hanya berputar kepada beliau seorang dan ramai lagi orang melayu yang miskin di luar sana.

Akan tetapi, mengapa taukeh-taukeh cina yang duduk 10 tangga teratas yang lain tidak dijadikan sasaran mereka. Adakah mereka betul-betul pandai berniaga tanpa mengharapkan kontrak-kontrak kerajaan?

Sekiranya kita melihat orang terkaya di Malaysia iaitu Robert Kuok beliau sebenarnya kaya-raya kerana francais gula iaitu sejak zaman bapanya lagi iaitu Kuok Keng Kang. Kuok Keng Kang mula berniaga beras, gula dan tepung gandum di Johor Bharu dengan pertolongan pembesar melayu. Robert Kuok mula menjadi raja gula dengan bantuan kerajaan apabila pada 1968 beliau tubuhkan syarikat Perlis Plantation Berhad (PPB) apabila beliau menyahut seruan kerajaan mewujudkan industri gula tempatan. Syarikat tersebut memonopli industri gula tempatan sehinggalah tahun 2009 apabila beliau menjual saham perniagaan gula kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). Daripada perniagaan gula inilah perniagaan Kuok berkembang ke seluruh dunia.

Ananda Krishnan pula menjadi kaya-raya kerana lesen judi dan lumba kuda (Tanjung PLC), telekomunikasi (Maxis), pengswastaan padang lumba kuda Jalan Ampang yang kini menjadi tapak KLCC dan caruman modal kerajaan seperti Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Beliau juga memperolehi  lesen satelit di bawah Measat Global, lesen televisyen dab radio satelit (Astro All Asia PLC), lesen penjana bebas eletktrik (Powetek), Perkapalan (Bumi Armada), dan lain-lain lagi.

Tida kurang juga dengan mendiang Lim Goh Tong menjadi kaya kerana lesen kasino dan tanah Genting Highlands.

Tan Sri Tiong Hiew King taukeh surat khabar Sin Chew pula kaya kerana konsensi balak di Lembah Baram, Sarawak.

Tan Sri Vincent Tan kaya kerana penswastaan Sports Toto, tanah di Bukit Kiara dan Bukit Tinggi.

Datuk Tan Chim Nam iaitu pemaju Mid Valley kaya kerana kontrak rumah murah zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman dan pajakan tanah Bandaraya Kuala Lumpur.

Tan Sri Francis Yeoh pula menjadi kaya-raya kerana kontrak bina sekolah dan hospital, konsensi loji penjana elektrik , perkongsian dengan Syarikat Perumahan Negara dan tanah Keretapi Tanah Melayu di Sentul.

Malangnya, Tan Sri Mokhar al-Bukhary menjadi mangsa sasaran politik daripada pemimpin parti pembangkang yang seagama dan sebangsanya sendiri. Begitulah sikap orang melayu, dengan bangsa sendiri mereka cuba cantaskan semata-mata ingin meraih sokongan politik murahan. Syarikat Mokhtar al-Bukhary kini menguasai daripada perniagaan gula, pelabuhan, kereta sehinggalah syarikat komposit. Memanglah sekiranya jika dilihat sekali imbas kekayaan itu berputar kepadanya sahaja. Tetapi janganlah kita lupa bahawa sumbangan beliau kepada orang ramai melalui Yayasan al-Bukhary. Apa salahnya kekayaan itu datang kepada orang Islam dan kemudian ia pula diagih-agihkan kepada orang-orang Islam yang lain supaya kekayaan itu hanya berputar dalam kitaran orang-orang Islam itu sahaja.

Pendek kata, semua orang-orang kaya di Malaysia khususnya 10 orang terkaya di Malaysia sebenarnya mendapat sokongan dan bantuan daripada Kerajaan dan ia tidaklah perlu dipolitikkan tidak kira sama ada orang melayu ataupun bukan melayu. Itulah hakikat ekonomi kapitalis pada hari ini iaitu yang kaya terus kaya dan yang miskin terus miskin sekiranya mereka tidak berusaha. Bagi saya, alangkah baiknya bilangan orang melayu Islam diberi bantuan Kerajaan lebih banyak lagi supaya bilangan 10 terkaya di Malaysia semakin banyak diisi oleh muka-muka orang melayu Islam. Walaupun ekonomi itu sistem ekonomi kapitalis sekalipun adalah lebih baik duit itu berkitar di dalam tangan-tangan orang melayu Islam sahaja. Wallahua’lam.

Sekian, terima kasih.


Diadaptasi dari :
A Kadir Jasin, 2012, Kunta Kinte Original ; Catatan Kopitiam A Kadir Jasin.

http://wankamarul701.blogspot.com

Friday, April 5, 2013

Ramai yang Sudah Terkeliru dengan Perkataan Bacon dan Ham

"Kenapa la ramai yang macam nak mempertahankan sangat perkataan bacon dan ham tu. Saya faham apa yang penulis cuba sampaikan sebenarnya. Faham tak perkataan original bacon and ham tu adalah untuk babi. OK mungkinla sesetengah kata, bacon tu ada yang halal, tapi tak takut ke kalau ada sesetengah pihak yang tak bertanggungjawab memanipulasikan perkataan tu? "Alah, beef bacon tu maksudnya daging lembu yg disalai, halal la tu." What IF kalau ada pihak yg cuba manipulate cakap benda yang haram tu halal, disebabkan sikap kita yangg tak ambik berat dan nak guna sangat perkataan bacon dan ham tu. Negara lain mungkin guna, tapi negara kita biarlah guna bahasa sendiri. Benda ni buat orang keliru je. Wallahualam" Nur Emylia

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Buat pengunjung-pengunjung blog saya yang setia bersama saya dan sentiasa mengunjungi selalu semoga anda sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera sentiasa. Baru-baru ini saya menghadiri sebuah kursus di Port Dickson, Negeri Sembilan. Sewaktu makan tengah hari di hotel itu, tertera perkataan yang ditanda di dalam sebuah buffet yang bertulis “Bacon”. Rakan saya bertanya kepada saya, “Boleh ke makan daging ini?” Apa saya melihat, ianya cuma daging lembu.

Apa yang hendak saya katakan di sini ialah ramai yang sudah bercelaru dengan perkataan-perkataan bahasa inggeris sehingga makanan yang halal pun ingin dinamakan dengan perkataan yang haram. Al-maklumlah supaya makanan tersebut kelihatan ala-ala barat dan restoran tersebut biar kelihatan ada class.

Bacon Sebenar

Apakah sebenarnya makna bacon itu sendiri? Maksud bacon di dalam bahasa inggeris ialah salted and smoked meat from the back and side of pig atau dalam bahasa melayu ialah daging bahagian belakang dan rusuk babi yang digaramkan dan disalai. Pendek kata, ia adalah nama untuk daging babi. Jika kita melihat makanan di hotel-hotel, mereka tersilap menamakan beef bacon atau bacon daging lembu. Ini sudah tersilap kerana bacon itu sendiri bermakna daging babi dan ia tidak boleh ditulis dengan digadingkan dengan perkataan daging lembu. Jika daging lembu salai, ia dipanggil sebagai beef jerky dalam bahasa inggeris Amerika. Oleh itu, tidak sepatutnya timbul perkataan beef bacon atau bacon daging lembu untuk menunjukkan ianya halal dan boleh dimakan kerana ia boleh mengelirukan orang ramai.

Ham Sebenar

Perkataan satu lagi yang masyarakat keliru pada hari ini ialah perkataan ham. Ham dalam bahasa inggeris bermaksud a cut of meat from the thigh of a hog atau dalam bahasa melayu bermaksud potongan daging paha babi. Pendek kata, ia adalah daging babi. Tetapi, ada makanan yang ditulis berbunyi chicken ham atau ham ayam. Ini sudah tentu tidak sesuai kerana ham itu sendiri adalah merujuk daging paha babi dan haram dimakan dan ia tidak boleh ditulis untuk menunjukkan ia halal dan boleh untuk dimakan.

Boleh disimpulkan bahawa masyarakat hari ini sudah terkeliru dengan beef bacon dan chicken ham kerana beranggapan bacon diperbuat daripada daging lembu dan ham diperbuat daripada ayam. Apabila kita sudah pergi negara bukan Islam, sudah tentu ia adalah diperbuat daripada daging babi. Semoga kita tidak terkeliru dengan perkara ini. Saya berharap agar anda yang membaca artikel ini dapat sebarkan kepada orang lain dan pihak-pihak hotel boleh mengambil tindakan mengenai perkara ini. Usahlah kerana ingin meniru restoran-restoran barat, nama-nama makanan menjadi bercelaru dan boleh mengelirukan orang ramai. Wallua’alam.

[Adakah anda sudah memiliki buku 'Biar Sedikit, Asal Diberkati' Jika belum, klik di sini]
 
Sekian, terima kasih.

Diadaptasi dari :
A Kadir Jasin, 2012, Kunta Kinte Original ; Catatan Kopitiam A Kadir Jasin.

http://wankamarul701.blogspot.com

Tuesday, April 2, 2013

UMNO-BN Tetap Mempunyai Peluang Lebih Cerah Dalam PRU-13


Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

8 Mac 2008 merupakan satu detik yang menjadi kebanggaan kepada orang-orang cina kerana mereka berjaya meraih kuasa politik untuk mentadbir negara sejak sekian lama apabila mereka berjaya menawan 5 buah negeri. Saya menggunakan sahaja orang cina kerana perkataan ‘Parti DAP’ hanya merupakan eufemisme bagi bangsa cina. Walaupun Parti DAP merupakan parti yang disertai oleh pelbagai kaum, tetapi majoritinya adalah cina dan bangsa-bangsa lain hanya kosmetik sahaja untuk menampakkan ia terdiri daripada pelbagai kaum. Apa yang lebih penting lagi Parti DAP sebenarnya yang mendominasi parti pembangkang.

Mungkin tarikh 8 Mac 2008 membawa tuah kepada orang cina kerana orang cina amat sukakan nombor 8 kerana ia dianggap sebagai nombor kaya. Nombor yang paling ditakuti oleh bangsa ini ialah nombor 4 kerana ia akan membawa nasib malang. Mungkin tahun 2008 membawa tuah kepada bangsa ini. Sekiranya diikutkan pilihanraya umum 1969 dan 2008, ia sebenarnya sama sahaja di mana kuasa politik ini telah jatuh ke tangan orang cina. Perkara yang membezakan pilihanraya antara tahun 1969 dan 2008 ialah pada tahun 1969 isu kemiskinan masih melarat di kalangan orang-orang melayu apatah lagi mereka kehilangan kuasa politik kepada orang cina walhal Tanah Melayu ketika itu baru 12 tahun mendapat kemerdekaan daripada British. Lain pula dengan tahun 2008 di mana orang-orang melayu telah pun kaya-raya walaupun kuasa politik telah berpindah tangan kepada orang cina, rusuhan tidak berlaku tetapi apa yang pasti ialah orang-orang melayu sebenarnya menangis dalam diam apabila 5 negeri telah jatuh ke tangan orang cina.

Kita harus ingat bahawa kemenangan pihak pembangkang pada tahun 2008 bukanlah disebabkan oleh barisan pembangkang yang kuat tetapi disebabkan oleh penentangan oleh rakyat terhadap kepimpinan (Tun) Abdullah Ahmad Badawi ketika itu yang melepasi sempadan agama dan kaum di mana orang-orang melayu mengundi Parti DAP dan orang-orang cina pula mengundi Parti PAS. Ada juga orang yang tidak sanggup untuk mengundi parti pembangkang dan oleh itu mereka merosakkan undi mereka untuk menunjukkan protes terhadap Kerajaan. Oleh itu, tidak hairanlah apabila jumlah undi rosak dalam PRU-12 adalah berjumlah 322,461 undi di mana undi rosak kerusi Parlimen adalah berjumlah 175,680 undi manakala kerusi Dun berjumlah 146,781 undi (Norhayati Mohd. Salleh (2008), PRU-12 : Tsunami Politik Melayu?)

Orang melayu sebenarnya berada dalam 2 keadaan di mana satu hendak dipilih. Sekiranya mereka memilih pembangkang, kuasa politik mereka akan hilang kepada orang Cina melalui Parti DAP dan sekiranya mereka memilih Kerajaan, rasuah akan terus berlaku di mana ia akan menyebabkan harga barang naik dari semasa ke semasa yang menekan hidup rakyat. Namun mengikut para penganalisis politik menyatakan bahawa dengan trend sokongan orang-orang cina kepada pembangkang menyebabkan orang melayu ingin kembali kepada Kerajaan kerana mereka takut hilang kuasa politik kepada orang cina. Oleh itu, ini juga memberi laba yang baik kepada UMNO-BN untuk memenangi PRU-13 nanti.

Namun, sejak Datuk Seri Najib mengambilalih kepimpinan negara pada tahun 2009, rakyat dapat merasakan bahawa terdapat keyakinan pemulihan ekonomi di bawah Najib. Tambahan pula, pembangkang sekarang ketandusan isu untuk dijadikan modal bagi meraih sokongan politik murahan daripada rakyat seperti Altantuya,rasuah dan sebagainya yang dikitar daripada isu-isu tahun 2008 dahulu. Berbanding dengan Abdullah, rakyat dapat merasakan bahawa wang negara sampai ke tangan mereka di bawah kepimpinan Najib. Ini dapat dilihat melalui Program Transformasi Negara yang dilancarkan oleh beliau mula menunjukkan hasil.

Pendek kata, ekonomi negara terkawal di bawah pengurusan beliau dan rakyat dapat menikmatinya. Dengan kenaikan harga barang terkawal sejak kebelakangan ini, rakyat tidak mungkin untuk protes terhadap kerajaan apatah lagi wang negara sampai terus ke tangan mereka melalui skim-skim yang diperkenalkan di bawah agenda transformasi seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA), dan sebagainya. Berbanding dengan Abdullah ketika dahulu yang mengutamakan projek-projek mega sehinggakan rakyat tidak dapat memahami hasil daripada projek tersebut. Dengan pemberian bantuan secara terus ini juga menyebabkan rakyat seakan-akan tidak menghiraukan janji-janji manis pembangkang yang tidak dibina di atas dasar yang kukuh seperti dari mana sumber kewangan tersebut ingin diambil bagi memenuhi janji-janji tersebut. Walaupun pembangkang mendakwa ini hanyalah untuk memancing undi, ia benar tetapi pembangkang harus ingat bahawa dengan cara ini undi mereka boleh hilang kepada Kerajaan.

Sehingga 20 Mac 2013, daripada 221 kerusi Dewan Rakyat, ia adalah terdiri daripada 9 daripada kerusi Parti Bebas, 75 daripada kerusi Pembangkang, dan 137 daripada Kerusi Kerajaan. Untuk memenangi majoriti 2/3 kerusi parlimen, Umno-Bn memerlukan 10 lagi Kerusi iaitu 147 Kerusi bagi memenangi semula majoriti 2/3 kerusi parlimen. Ini tidak mustahil untuk dimenangi kerana kerana hanya ketinggalan 10 kerusi sahaja lagi dan menurut Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan Umno-Bn berpeluang untuk memenangi kerusi Parlimen sebanyak 160 kerusi. Sekiranya dilihat strategi Umno sekarang, mereka mendaftar pemilih-pemilih mereka di mana mereka mempunyai harapan untuk merampas kembali daripada pihak pembangkang. Sekiranya dilihat pada hari ini, kerusi 70 peratus kerusi Parlimen adalah terdiri daripada kawasan majoriti melayu. Ini mungkin menjadi sasaran Umno-Bn untuk meraih sokongan mereka dengan cara yang berkesan.

Saya tidak ingin mengulas daripada ramalan-ramalan pihak lain mengenai PRU-13. Pendek kata, faktor utama Umno-Bn untuk memenangi pilihanraya umum pada kali ini adalah disebabkan oleh faktor ekonomi yang terkawal sejak peralihan kuasa kepimpinan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib dan juga oleh faktor kuasa politik untuk didominasi oleh orang melayu. Sememangnya politik itu permainan kotor tetapi kita janganlah menambah lagi kekotoran tersebut. Wallahua’lam.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com