Wednesday, June 19, 2013

Apa Lagi Cina Mahu?

 
 
Keratan Akhbar Utusan Malaysia pada 7 Mei 2013

 Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

“Apa Lagi Cina Mahu?” merupakan tajuk utama Utusan Malaysia pada 7 Mei 2013 disebabkan oleh berlakunya ‘tsunami cina’ semasa PRU-13. Jawapannya mudah sahaja iaitu orang cina sekarang inginkan kuasa politik. Selagi mana mereka bernaung di bawah Barisan Nasional, mereka tidak akan mendapat kuasa politik kerana Umno sebagai parti teras akan memegang kuasa politik. Tidak kira menang 2/3 ataupun menang secara majoriti mudah, Umno tetap memegang kuasa atau lebih tepat lagi orang melayu masih memegang kuasa pemerintahan negara.

Oleh itu, setelah lebih 50 tahun merdeka, mereka sudah memegang kuasa ekonomi semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional. Oleh itu, mereka perlu ‘lari’ kepada Dap yang berada dalam barisan pembangkang untuk mendapatkan kuasa politik. Namun, nasib bagi Umno kerana orang-orang melayu terutamanya di luar banda beralih kepada BN kerana takut kehilangan kuasa politik kepada orang cina.

Sebenarnya, ada perkara lain lagi apa yang dimahukan oleh orang cina selain daripada kuasa politik. Pemikiran mereka ialah mereka tidak berhutang kepada orang lain satu kehidupan. Apa yang mereka capai sebelum ini adalah hasil daripada usaha mereka sendiri dan bukannya atas sebab dasar ataupun bantuan kerajaan.

Mereka juga inginkan anugerah Sasterawan Negara sepertimana di Singapura di mana kesusasteraan semua bahasa-bahasa utama diberi pengiktirafan dan penghormatan dengan Cultural Medallion, dan lain-lain. Di Malaysia, anugerah ini sememangnya tiada diberikan selain daripada diberikan kepada kesusasteraan yang berbahasa melayu sahaja. Oleh itu, kerajaan perlu berfikir untuk memberi anugerah kesusasteraan selain daripada sastera berbahasa melayu khususnya untuk orang bukan melayu.

Biasiswa yang diberikan oleh kerajaan juga adalah terhad kepada kaum ini. Mereka perlu bekerja keras untuk memberi pendidikan yang terbaik kepada anak-anak mereka. Ini menyebabkan mereka mengalami tekanan harian untuk mencapai matlamat ini. Oleh itu, mereka terpaksa berhijrah demi pendidikan lanjutan anak-anak mereka dan menerima biasiswa daripada luar negara khususnya dari Singapura yang menyebabkan pengaliran keluar tenaga pakar atau apa yang dikenali sebagai ‘brain drain’.

Sudah tentu sekiranya biasiswa-biasiswa ini diberikan kepada kaum cina dengan lebih meluas, ini akan menimbulkan kemarahan orang melayu kerana biasiswa merupakan Hak Keistimewaan Orang Melayu sepertimana yang termaktub dalam Perkara 153. Tetapi kita harus ingat bahawa mereka juga merupakan pembayar-pembayar cukai untuk pembangunan negara kepada Kerajaan.

Mereka juga menentang parti yang korup atau lebih tepat lagi Kerajaan Barisan Nasional yang sudah terkenal dengan amalan rasuah. Mereka tidak tertipu dengan hadiah-hadiah wang tunai melalui produk 1Malaysia untuk menyokong kerajaan Barisan Nasional. Apa gunanya menabur wang kepada mereka sedangkan mereka sudah hidup mewah. Ibarat memberi RM1 kepada seorang yang mempunyai RM1,000.

Walaupun mereka ini adalah kaum penghijrah dari Tanah Besar Cina. Gelombang kemasukan orang-orang cina ke Tanah Melayu bermula penghijrahan secara besar-besaran yang pertama pada tahun-tahun 1400-an. Ia bermula apabila Maharaja Yonle daripada Dinasti Ming menghantar Laksamana Zheng He untuk meluaskan pengaruh China ke seluruh dunia di mana beliau mengetuai 7 ekspedisi mengelilingi dunia dan enam daripadanya singgah di Melaka. Sultan Melaka iaitu Parameswara mengalu-alukan kedatangan kaum cina untuk berdagang di pelabuhan Selat Melaka di samping mendapat perlindungan daripada China menghadapi serangan Kerajaan Majapahit dan Siam.

Gelombang kedua kemasukan orang-orang cina adalah terjadi semasa era penjajahan British iaitu pada tahun 1786-1957. Selepas penghapusan amalan penghambaan dalam Empayar British, pejabat tenaga buruh terpaksa menggunakan buruh kontrak dari negara-negara komanvel. Salah satu tenaga buruh ialah China terutama dari negeri-negeri selatan seperti Fujian dan Guangzhou. Mereka dibawa berhijrah di bawah sistem tiket-kredit. Mereka tidak menerima sebarang gaji pada tahun pertama atau kedua untuk bekerja. Walaupun keadaan ini amat sukar bagi mereka, mereka berjimat-cermat untuk membebaskan diri daripada segala bentuk penghambaan. Mereka dapat mengubah nasib mereka apabila berjaya menguasai ekonomi negara pada hari ini walaupun mereka sebenarnya hanyalah dibawa untuk bekerja pada mulanya.

Kini walaupun mereka dikenali sebagai kaum imigran melalui sejarah asal-usul meraka, mereka tidak mahu dipanggil pendatang atau diberitahu untuk mengenang budi kerakyatan mereka. Mereka juga bertanggungjawab untuk membayar cukai, menghormati perlembagaan negara dan institusi-institusi di dalamnya. Nenek moyang mereka datang ke negara ini dan membantu kepada kemajuan negara ini. Pendek kata, mereka mahukan maruah dan merasakan Malaysia ini negara mereka jua.

Inilah apa yang dimahukan oleh kaum cina.

Sekian, terima kasih.

Rujukan.
1. A Kadir Jasin, 2012, Kunta Kinte Original : Catatan Kopitiam A Kadir Jasin.
2. Kee Thuan Chye, 2012, Jangan Kelentong Lagi, Kita Semua Orang Malaysia.
3. Premilla Mohanlall, 2012, Biografi Syed Mokhtar al-Bukhary.
 
 

No comments: