Thursday, December 19, 2013

Menunaikan Zakat : Benchmark Tanda Solat Kita Diterima

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Salah satu tanda solat kita diterima ialah diri kita akan sentiasa melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan kerana solat itu mencegah daripada melakukan amalan keji dan mungkar. Selain itu, cara kita untuk melihat solat kita diterima atau tidak ialah kita melihat sama ada kita menunaikan zakat ataupun tidak. Inilah yang dikatakan oleh Dr. Zaharuddin Abdul Rahman.

Banyak ayat-ayat di dalam al-Quran yang menggabungkan perintah solat dan zakat dalam satu ayat. Ini diibaratkan perintah solat dan zakat ini adalah adik-beradik kembar yang melengkapkan antara satu sama lain. Contohnya surah-surah berikut yang berbunyi :

“Dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat.”al-Baqarah : 43

“Tidakkah kamu memperhatikan orang-orang yang dikatakan kepada mereka, "Tahanlah tanganmu (dari berperang), dirikanlah shalat dan tunaikanlah zakat!" ...” an-Nisa’ : 77

“Jika mereka bertaubat, mendirikan sholat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-saudaramu seagama. Dan Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang mengetahui. at-Taubah : 11

“Dan Kami menjadikan mereka itu sebagai pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka agar berbuat kebaikan, melaksanakan shalat, menunaikan zakat, dan hanya kepada Kami mereka menyembah.” al-Anbiya : 73

Dapat dilihat daripada contoh-contoh ayat di atas bahawa perintah menunaikan solat diiringi dengan perintah menunaikan zakat. Oleh itu, untuk melihat sama ada solat kita diterima ataupun tidak kita perlu melihat sama ada kita menunaikan zakat ataupun tidak. Sekiranya kita berasa selalu ingin menunaikan zakat, mudah-mudahan itu petandanya solat kita sempurna dan diterima oleh Allah s.w.t. Jika sebaliknya, maka kita perlu memeriksa solat kita balik dimanakah perkara-perkara yang tidak disempurnakan seperti wuduk, suci dari najis,  atau hadas dan sebagainya.

Wallhua’lam.


No comments: