Wednesday, January 29, 2014

Krisis di Selangor Membuktikan Bahawa PKR Gagal Menangani Krisis Dalaman Parti


Jika era 1990-an dahulu, langsung tidak terlintas di hati saya bahawa pembangkang dapat menawan Selangor. Selangor merupakan negeri terkaya di Malaysia. Apabila disebut negeri-negeri yang kaya sudah tentu ianya merupakan kubu kuat UMNO. Manakala negeri-negeri yang ‘miskin’ dari segi ekonominya secara mudahnya dapat ditawan oleh pembangkang yakni Pas.

Masa berlalu. Zaman pun berlalu. Tahun 2008 merupakan tahun keramat yang amat pahit buat Umno kerana buat pertama kalinya selepas tahun 1969 Umno kehilangan 2/3 majoriti parlimen sekaligus kehilangan 5 negeri termasuk Selangor. Namun apabila masuk penggal kedua mentadbir negeri-negeri ini didapati bahawa bibit-bibit perpecahan mula berlaku dalam pakatan pembangkang pada kali ini. Ini baru mentadbir negeri sudah berlaku huru-hara dalam mentadbir negeri yang kaya. Ini belum lagi mentadbir sebuah negara dalam masyarakat majmuk.

Seburuk-buruk Umno dengan rasuah sekalipun tidak pernah lagi dalam sejarah Umno menukar Menteri Besarnya apabila berlaku krisis dalaman parti. Berlainan pula dengan PKR, walaupun penuh dengan retorik-retorik kononnya pentadbiran bersih dan cekap namun masalah timbul melalui sudut yang lain iaitu perbalahan sesama ahli di dalam parti yang sama. Mujurlah pertelingkahan tidak berlaku antara PKR dan DAP.

Nasib Khalid Ibrahim yang Tidak Menentu

Tiba-tiba sahaja tanpa angin dan ribut ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang meletak jawatan. Ini terlebih dahulu diikuti dengan berita berlaku pertelingkahan antara Khalid Ibrahim dan Azmin Ali. Desas-desus mengatakan bahawa apa yang sebenarnya berlaku ialah Khalid Ibrahim mentadbir Selangor seperti mentadbir syarikat. Beliau tidak mengutamakan kroni-kroni dalam pemberian projek yang menjadi survival kepada mereka di dalam politik untuk terus bernafas pada masa hadapan. Masakan boleh bergiat dalam politik sekiranya seseorang itu tidak mempunyai wang dengan mendapatkan melalui projek-projek kerajaan negeri. Ini yang menimbulkan perasaan tidak puas hati kepada Khalid Ibrahim. Sejauh mana kebenaran ini tidak dapat dipastikan.

Sememangnya Anwar Ibrahim merupakan perantara yang terbaik apabila berlakunya krisis dalam parti. Contoh yang mudah ialah Anwar Ibrahim dapat menyatukan Pas dan Dap untuk semeja walaupun kedua-dua parti ini mempunyai ideologi yang bertentangan antara satu sama lain. Namun dalam krisis Pkr pada kali ini Anwar dikatakan ingin menjadi MB Selangor untuk menyelesaikan krisis dalaman Pkr. Dengan kata lain Khalid Ibrahim disingkirkan menjadi MB Selangor untuk diberikan kepada Anwar Ibrahim.

Jika dilihat dari satu sudut, pakatan pembangkang sebenarnya hanya mengharapkan Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan krisis dalaman pembangkang yang wujud. Katakan Anwar sudah tiada dalam Pakatan. Apakah yang akan terjadi kepada Pas dan Dap? Oleh itu, mengharapkan Anwar semata-mata dalam menangani krisis yang timbul adalah tidak baik bagi jangka panjang kerana krisis ataupun masalah yang timbul dalam Pakatan akan memberi kelebihan kepada BN untuk dijadikan modal politik sekiranya sesuatu isu tidak ditangani dengan baik.

Jika Anwar Ibrahim menang dalam PRK Kajang nanti dan seterusnya diangkat menjadi Menteri Besar sudah tentu lawan Anwar ialah Mohd. Najib selaku Pengerusi Perhubungan Umno Selangor. Sudah tentu lawan Najib adalah bukan sembarangan orang untuk merampas Selangor semula dalam PRU akan datang. Laluan BN untuk merampas Selangor semakin sukar dengan adanya Anwar Ibrahim. Apatah dengan keadaan sedia ada pun BN sudah berada dalam keadaan hidup segan mati tak mahu.

Timbul juga persoalan di fikiran adakah Anwar Ibrahim boleh menjadi MB Selangor sekiranya menang PRK Kajang sekalipun nanti? Bagaimana sekiranya Sultan Selangor inginkan Khalid Ibrahim sahaja kekal menjadi MB Selangor? Sudah tentu usaha ini hanya sia-sia sahaja. Tambahan pula Anwar Ibrahim bukan anak negeri Selangor. Elok kita tunggu sahaja episod seterusnya dalam sandiriwara PKR ini.

Mangsa politik dalam yang paling boleh dikasihankan ialah MB Selangor iaitu Khalid Ibrahim sendiri. Adakah beliau sanggup melepaskan jawatan MB Selangor? Bagaimana pula dengan team-team Khalid apabila bos mereka dipecat daripada menjadi MB? Adakah team-team ini akan mensabotajkan parti PKR dari dalam? Sekiranya ini berlaku ini akan memberikan nafas baru kepada BN untuk merampas Selangor dalam PRU akan datang.

Pendek kata, isu ini adalah menarik untuk kita ikuti selepas munculnya isu kangkung Mohd. Najib. Politik Malaysia ini memang mempunyai keunikan tersendiri. Mula-mula kenaikan harga barang. Timbul pula isu kalimah Allah. Kemudian isu kangkung Mohd. Najib. Selepas itu, isu MB Selangor yang mungkin akan ditukarkan. Unik bukan? Tak gitu?

Wassalam.

http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: