Friday, February 28, 2014

Terima Kasih PTPTN

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Lambang Jiwa Merdeka...

Terima kasih PTPTN. Itulah yang mampu saya katakan kepada PTPTN setelah berjaya melangsaikan hutang-hutang saya dengan izin Allah s.w.t. Hari ini saya pergi terus ke Ibu Pejabat PTPTN di Wisma Chase Perdana untuk memohon Surat Pelepasan Hutang PTPTN setelah selesai semua urusan dengan PTPTN iaitu mendapat pulangan wang tunai selepas diskaun 20 peratus dengan membayar sekaligus tahun lepas dan telah memberhentikan potongan gaji. Surat pelepasan hutang ini bagi saya sebagai tanda saya telah membayar semua hutang PTPTN saya. Bagi jangka panjang, surat ini adalah penting kepada saya untuk mendapat tajaan daripada pihak lain untuk melanjutkan pelajaran pada masa hadapan sebagai tanda kontrak saya dengan PTPTN telah selesai. Hari ini merupakan hari terakhir saya berurusan dengan PTPTN. Oleh itu, saya mengambil bergambar di bangunan PTPTN di Wisma Chase Perdana untuk dijadikan kenang-kenangan.

“Berhati-hatilah kamu dalam berhutang kerana hutang itu mendatangkan kerisauan di malam dan kehinaan di waktu siang.” Maksud Hadis

Alhamdulillah.

Pasca PRU-13 : Bilangan MP Melayu Islam dalam Pakatan Rakyat Semakin Menguncup

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Bibit-bibit perpecahan pemimpin Pakatan Rakyat semakin meruncing sekarang. Terbaru Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menandatangani perjanjian persefahaman (Mou) dengan Kerajaan Pusat tanpa pengetahuan Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku penasihat ekonomi Selangor dan Rafizi Ramli selaku pemimpin utama PKR. Ini sudah tentu memberi laba modal yang besar kepada Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi PRK Kajang pada penghujung Mac 2014 nanti.
Manakala Pengerusi Dap, Karpal Singh menghadapi tuduhan di bawah Akta Hasutan berhubung isu krisis di Perak pada tahun 2009. Apa yang lebih meruncingkan lagi sekarang ialah pemimpin utama Pas diperintah membayar saman berjumlah RM2 juta kepada ahli PKR berhubung saman fitnah pengedaran pil kuda terhadap ahli PKR tersebut.
Dapat dilihat bahawa masalah besar sedang berlaku di kalangan Pakatan Rakyat sama ada PAS, PKR, dan DAP. Sampai bila Pakatan longgar ini mampu bertahan? Jika BN dapat memainkan isu yang melanda ketiga-tiga parti ini, maka Pakatan ini tidak akan kekal lama. Ini memberikan modal yang besar kepada BN untuk menghadapi PRU-14 nanti.
Jika dilihat sejarah Pakatan Rakyat ditubuhkan, Pakatan ini ditubuhkan atas dasar tidak puas hati iaitu ingin menentang Barisan Nasional. Jika inginkan kuasa, mana-mana parti pun sanggup bersatu walaupun bertentangan ideologi antara satu sama lain.
Baiklah, berbalik tajuk di atas iaitu ‘Pasca PRU-13 : Kedudukan MP Melayu Islam dalam Pakatan Rakyat Membimbangkan’. Saya ingin membuat analisis kedudukan MP (Member of Parliament) atau ahli parlimen dalam Pakatan Rakyat (Barisan Alternatif) dari tahun 2004 sehingga 2013.
 
Kedudukan MP Barisan Alternatif Pasca PRU-11 2004
 
Pada tahun 2004, bilangan MP Barisan Alternatif amat sedikit dalam Dewan Rakyat amat sedikit iaitu seramai 21 orang. Saat ini Barisan Nasional (BN) adalah amat kuat di mana ketika ini rakyat menyambut Perdana Menteri baru dengan perlantikan Dato’ Seri Abdullah sebagai Perdana Menteri ke-5 menggantikan Tun Dr. Mahathir. Walaupun bilangan bukan melayu ketika ini lebih ramai daripada melayu tetapi secara keseluruhannya bilangan MP pembangkang amat sedikit dan tuntutan melampau kaum minoriti pada masa ini tidak berlaku.

 

Kedudukan MP Pakatan Rakyat Pasca PRU-12 2008
Dalam dunia ini, jika mudah dapat sesuatu maka ia akan mudah hilang. Isu dalam negara yang berlaku sepanjang kepimpinan Abdullah amat menjerut kehidupan rakyat. Harga barang utama khususnya minyak dan tol naik melambung-lambung apatah lagi ditambah dengan kritikan lantang Dr. Mahathir terhadap kepimpinan Abdullah yang lemah dengan membatalkan projek-projek mega yang direncanakan di akhir pemerintahan beliau.
Kesannya BN hilang 2/3 majoriti parlimen pada PRU-12 pada tahun 2008. Bilangan ahli parlimen pembangkang dari naik mendadak 21 orang kepada 85 orang. Walaupun bilangan MP Melayu Islam lebih ramai daripada MP bukan Islam dalam PR iaitu seramai 44 orang (51.8%) berbanding 41 orang (48.2%), namun jurang ini amat rapat iaitu boleh dikatakan 50-50.
Walaupun bilangan MP melayu Islam lebih ramai daripada MP bukan Islam dalam PR ketika ini, mereka tidak dapat menyelesaikan masalah ketidakseimbangan antara kaum. Bagi mereka tidak mengapa jika masalah ini berlaku jika pentadbiran mereka adalah bersih daripada rasuah. Namun dari satu segi, ia akan membawa masalah tidak puas hati bagi kaum yang ketinggalan jika satu kaum lagi meninggalkan jauh mereka di belakang bagi kesan jangka panjang dalam pembahagian kekayaan ekonomi negara.
 

Kedudukan MP Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat Pasca PRU-13 2013
 
Pasca PRU-13 menunjukkan jurang bilangan MP dalam Pakatan Rakyat antara Islam dan bukan Islam yang rapat sebelum ini (tahun 2008) kini berbeza di mana bilangan MP bukan Islam lebih ramai daripada bukan Islam iaitu sebanyak 52 (58.4%) kerusi berbanding 37 kerusi (41.6%) iaitu berbeza sebanyak 15 kerusi. Walaupun PR berjaya menambah bilangan kerusi daripada 85 kerusi kepada 89 kerusi iaitu peningkatan sebanyak 4 kerusi, namun hakikatnya bilangan MP bukan Islam semakin bertambah dalam PR.
Berbanding dengan MP Islam dalam Barisan Nasional di mana bilangan mereka ialah 112 kerusi (84.2%) berbanding MP bukan Islam iaitu sebanyak 21 kerusi (15.8%) di mana jurangnya adalah sangat besar iaitu sebanyak 91 kerusi.
Pembangkang sering menguar-uarkan bahawa mereka dapat menafikan undi popular BN dalam sejarah PRU Malaysia di mana Mohd. Najib merupakan Perdana Menteri minoriti dalam sejarah Malaysia di mana undi popular BN ialah 46.53% berbanding PR yang lebih banyak iaitu sebanyak 49.96% dan selebihnya pergi kepada calon bebas.
Jika kita perhalusi undi popular Pakatan Rakyat berjumlah 49.96% adalah majoritinya datang daripada pengundi bukan Islam iaitu sebanyak 60.21% berbanding pengundi Islam iaitu sebanyak 39.79%. Manakala undi popular BN sebanyak 46.53% banyak disumbang oleh pengundi Islam iaitu sebanyak 68.45% dan pengundi bukan Islam sebanyak 31.55%.
PAS Perlu Kekal Sebagai Parti Tunggal
Dapat dilihat bahawa walaupun Pakatan Rakyat boleh menambah kerusi mereka dari semasa ke semasa sepanjang PRU-11 sehingga PRU-13 tetapi yang menguntungkannya ialah orang-orang bukan Islam. Ini sudah tentu menyedihkan. Orang-orang melayu dalam Pakatan kuat berkempen dari semasa ke semasa dengan harapan dapat menguatkan PKR dan PAS khususnya tetapi yang untungnya ialah orang-orang bukan Islam. Ini sudah tentu menyedihkan. Ibarat menang sorak kampung tergadai.
Daripada 89 kerusi parlimen Pakatan, DAP muncul parti terkuat dengan 38 kerusi diikuti PKR sebanyak 30 kerusi dan PAS sebanyak 21 kerusi. Akan tetapi, penyokong-penyokong taksub PAS tetap mengatakan bahawa PAS tetap beristiqamah dengan perjuangannya untuk menegakkan negara Islam  walaupun tinggal 1 kerusi parlimen dalam PR kerana kita perlu berusaha walaupun dengan usaha sebesar zarah.
Menurut Datuk A Kadir Jasin, PAS merupakan parti paling malang sekali dalam PR di mana ia bukan sahaja ditolak oleh penyokong-penyokongnya sendiri malah ditolak oleh DAP serta kehilangan negeri Kedah. Telahan ini mungkin benar kerana majoriti undi popular Barisan Nasional adalah daripada undi orang-orang Islam.
Malah isu-isu semasa yang berlaku menunjukkan bahawa PAS berada dalam keadaan lemah dalam PR. Contohnya isu terbaru iaitu saman yang melibatkan pemimpin utama Pas oleh orang Pakatan sendiri. Penyertaan PAS dalam Pakatan juga hanya menguntungkan DAP dan terus melemahkan BN. Dengan ini, kaum minoriti berani bersuara menyatakan kehendak yang sebelum ini tidak pernah disuarakan ketika BN masih kuat.
Walauapapun terjadi, tiada lagi pakatan politik yang boleh menggantikan Barisan Nasional untuk mentadbir negara mempunyai masyarakat majmuk ini apatah lagi menyentuh isu-isu agama. Selemah-lemah Umno sekalipun kerana terpalit dengan rasuah, tiada yang berani untuk mencabar kesucian agama Islam sebelum PRU-12 tahun 2008 dalam negara mahupun dalam negeri-negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional pada hari ini.
Sekian, terima kasih.
http://wankamarul701.blogspot.com

Monday, February 17, 2014

Nak Buat Hutang RM300,000 Ke atau Nak Solat Tahajud 30 Minit Sehari?

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Nak buat hutang RM300,000 ke atau nak solat tahajud 30 Minit sehari? Inilah tajuk yang saya fikirkan sesuai untuk kali ini setelah habis membaca buku Mudahnya Menjemput Rezeki tulisan Ustaz Fathuri Salleh. Bagi diri saya yang lemah ini, saya tidak mengira diri saya habis membaca sesebuah buku sekiranya saya masih belum menulis sesuatu idea yang menarik dari buku tersebut dalam catatan blog ini.
 
 

Buku yang saya baru habis baca ini ialah Mudahnya Menjemput Rezeki sudah merupakan cetakan yang ke-13 pada tahun 2013 di mana cetakan pertama pada tahun 2012. Malah buku ini telah dicetak sebanyak 110,000 di mana sasaran penulis ialah buku ini ialah sebanyak 1,000,000 (Satu juta) untuk dicetak supaya orang ramai dapat mengamalkan ilmu yang disampaikan. Diharap agar catatan artikel di blog ini sedikit-sebanyak dapat membantu penulis untuk mencapai hasrat tersebut.

Apa yang menarik buku ini  ialah ia menekankan keseimbangan rohani dalam menarik rezeki. Penulis berjaya mengubah pemikiran mengenai konsep rezeki. Rezeki perlu dijemput dan bukannya perlu dicari. Rezeki ibarat magnet yang akan datang kepada kita. Ibarat kutub utara dan kutub selatan. Jika rezeki itu kutub selatan maka kita perlu menjadi kutub utara. Untuk menjadikan diri kita kutub utara, kita perlu mengamalkan kerohanian. Amalan kerohanian ini meliputi, menunaikan solat-solat sunat selain yang wajib, berzikir, membaca al-Quran, dan sebagainya untuk menjadikan rezeki itu datang kepada kita. Untuk menjadikan rezeki itu tidak datang kepada kita ialah kita perlu menjadi kutub selatan iaitu dengan melakukan larangan-larangan Allah s.w.t. dan meninggalkan segala suruhannya.

Apa yang saya tertarik isi kandungan buku ini ialah tentang kepentingan menunaikan solat di awal waktu secara berjemaah dan menunaikan solat sunat tasbih selain amalan-amalan lain sepertimana yang kita sedia maklum seperti mengamalkan solat sunat dhuha, bersedekah, dan sebagainya.

Ini merupakan pengalaman penulis buku itu sendiri apabila beliau menceritakan sewaktu bekerja di kilang. Beliau hanya mendapat gaji RM3 sejam walaupun sebelum itu beliau bekerja di pejabat. Sewaktu bekerja di kilang beliau terpaksa berkongsi bilik dan kadang-kadang terpaksa tidur di masjid. Sejak daripada itu, beliau bertekad untuk mengutamakan solat walaupun rakan-rakan serumah dengannya tidak menunaikan solat.

Dalam tempoh kurang daripada setahun penulis telah dipindahkan ke sebuah hostel yang ala-ala hotel iaitu sebuah apartmen yang lengkap dengan kemudahan termasuk kereta dan petrolnya sekali. Ketika itu, penulis diberi peranan untuk menguruskan projek khas syarikat.

Berbanding dengan rakannya walaupun setelah 3 tahun berlalu, keadaan rakannya masih belum berubah bahkan semakin teruk keadaannya dari bekerja di dapur kilang hingga bekerja di bawah panas terik matahari. Penulis turut tertanya-tanya adakah rakannya itu tidak menunaikan solat kerana sewaktu masuk waktu solat Zohor rakannya itu masih leka dengan kerjanya ketika berjumpa.

Begitu juga seorang lagi kenalan penulis yang berhenti kerja dan menjadi penjual madu yang tinggal berhampiran hostelnya. Beliau melihat perniagaan rakannya itu terus berkembang dari semasa ke semasa. Dari bermula berniaga dari rumah berkembang ke pasar malam. Bahkan rakannya itu kemudian memiliki van dan perniagaan di pasar malam pula semakin besar.  Apa yang pasti menurut penulis ialah rakannya ini sering ke masjid.

Terdapat juga seorang hamba Allah yang diceritakan oleh penulis. Daripada hanya tinggal di rumah setinggan kini menjadi pengusaha hartanah yang kaya-raya. Jawapannya sahaja iaitu mengamalkan solat sunat tasbih. Sebenarnya apa yang menghalang seseorang itu mendapat rezeki ialah kerana membuat dosa. Sudah tentu tiada siapa di dunia ini yang bebas daripada membuat dosa hatta Nabi Muhammad s.a.w. yang maksum sekalipun beristighfar sebanyak 70 kali sehari. Inikan pula kita yang sering terdedah dan melakukan dosa setiap hari. Cara untuk mendapat keampunan dosa secara berkesan daripada Allah s.w.t. ialah mengamalkan solat tasbih kerana rezeki itu akan mudah datang kepada kita setelah dosa itu diampunkan oleh Allah s.w.t.

Solat tasbih ini perlu diamalkan sebanyak 4 rakaat tidak sampai 30 minit bagi satu-satu masa ia diaksanakan dengan 75 kali tasbih setiap rakaat. Adakah anda sanggup ke hulu ke hilir semata-mata membuat pinjaman sebanyak RM300,000 yang kononnya untuk membuat pelaburan atau mengamalkan solat sunat tasbih yang mempunyai fadilat yang besar untuk diamalkan? Sesungguhnya menjemput rezeki itu lebih mudah daripada mencari rezeki.

Tepuk dada tanya selera. Wallahua’lam.

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

Tuesday, February 11, 2014

Fakta Menarik Mengenai Hudud


·        PAS sejak dahulu menyebut tentang perlaksanaan hudud sehingga kelihatan pada mata umum PAS dan hudud bagaikan isi dan kulit. Seolah-olah matlamat utama kenegaraan PAS ialah menegakkan hudud. Ini agak menarik, di kala kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia tidak lagi memperkatakan tentang undang-undang jenayah hudud, PAS masih. Gerakan-gerakan Islam yang mendapat kerajaan di Mesir, HAMAS di Palestin, di Libya dan Tunisia meninggalkan tajuk hudud buat masa ini, tetapi PAS terus dengan slogannya.

·        Tokoh ilmuwan muslim yang terkenal Dr Mohamed Salim el-Awa dalam bukunya Punishment in Islamic Law menyatakan bahawa dari penelitian beliau bahawa belum sempat dua kurun selepas kewafatan Nabi s.a.w hudud sudah tidak dilaksanakan dalam dunia muslim. Sejak zaman Abbasiyah lagi penekanan perlaksanaan hudud sudah tiada. Ini disebabkan kerangka masyarakat seperti mana waktu hudud dilaksana pada awal sudah tiada lagi.

·        Ada pendapat menyebut bahawa penulisan para pengembara silam yang melawat pelbagai wilayah Islam tidak pernah melaporkan perlaksanaan hudud, ini seakan menunjukkan semacam ia terhenti. Sementara itu tokoh seperti Prof Tariq Ramadan dalam artikelnya ‘An International Call for Moratorium on Corporal Punishment’ pula menyeru kepada moratorium (penangguhan) hudud disebabkan keadaan dunia yang berubah. Demikian juga tokoh fekah yang terkenal as-Syeikh Mustafa al-Zarqa dalam Fatawa Mustafa al-Zarq meminta agar hukuman rejam tidak dilaksanakan di zaman kini kerana itu akan menjadi fitnah kepada Islam.
Sumber : www.drmaza.com

Sunday, February 2, 2014

Menerima Maklumbalas daripada Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin

Terkejut apabila mendapat maklumbalas daripada bekas Menteri Penerangan iaitu Tan Sri Zainuddin Maidin apabila beliau memberi maklum balas mengenai komen saya di blog beliau iaitu Zamkata mengenai peristiwa Natrah dalam buku tulisan beliau iaitu Di Belakang Api Di Depan Duri. Saya memberi komen bahawa ibu angkat Natrah iaitu Che Aminah sebenarnya ialah orang Terengganu dan bukannya orang Singapura. 


Beliau memberi maklumbalas bahawa beliau merujuk kepada kepada akhbar inggeris dan melayu ketika tahun kejadian itu berlaku. Malah menurut Tan Sri Zainuddin Maidin lagi Allahyarham Tan Sri Mazlan Nordin tidak pernah memberitahu beliau bahawa ibu angkat Natrah merupakan orang Terengganu dan lebih dikenali sebagai orang Singapura kerana beliau menetap lebih lama di Singapura. Tambah beliau lagi, bukunya itu sebenarnya ingin menceritakan bahawa Utusan Melayu mendahului akhbar-akhbar lain dalam memberi laporan peristiwa Natrah dan bukannya ingin menceritakan sejarah Natrah.

Sekian, terima kasih.