Friday, February 28, 2014

Pasca PRU-13 : Bilangan MP Melayu Islam dalam Pakatan Rakyat Semakin Menguncup

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Bibit-bibit perpecahan pemimpin Pakatan Rakyat semakin meruncing sekarang. Terbaru Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menandatangani perjanjian persefahaman (Mou) dengan Kerajaan Pusat tanpa pengetahuan Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku penasihat ekonomi Selangor dan Rafizi Ramli selaku pemimpin utama PKR. Ini sudah tentu memberi laba modal yang besar kepada Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi PRK Kajang pada penghujung Mac 2014 nanti.
Manakala Pengerusi Dap, Karpal Singh menghadapi tuduhan di bawah Akta Hasutan berhubung isu krisis di Perak pada tahun 2009. Apa yang lebih meruncingkan lagi sekarang ialah pemimpin utama Pas diperintah membayar saman berjumlah RM2 juta kepada ahli PKR berhubung saman fitnah pengedaran pil kuda terhadap ahli PKR tersebut.
Dapat dilihat bahawa masalah besar sedang berlaku di kalangan Pakatan Rakyat sama ada PAS, PKR, dan DAP. Sampai bila Pakatan longgar ini mampu bertahan? Jika BN dapat memainkan isu yang melanda ketiga-tiga parti ini, maka Pakatan ini tidak akan kekal lama. Ini memberikan modal yang besar kepada BN untuk menghadapi PRU-14 nanti.
Jika dilihat sejarah Pakatan Rakyat ditubuhkan, Pakatan ini ditubuhkan atas dasar tidak puas hati iaitu ingin menentang Barisan Nasional. Jika inginkan kuasa, mana-mana parti pun sanggup bersatu walaupun bertentangan ideologi antara satu sama lain.
Baiklah, berbalik tajuk di atas iaitu ‘Pasca PRU-13 : Kedudukan MP Melayu Islam dalam Pakatan Rakyat Membimbangkan’. Saya ingin membuat analisis kedudukan MP (Member of Parliament) atau ahli parlimen dalam Pakatan Rakyat (Barisan Alternatif) dari tahun 2004 sehingga 2013.
 
Kedudukan MP Barisan Alternatif Pasca PRU-11 2004
 
Pada tahun 2004, bilangan MP Barisan Alternatif amat sedikit dalam Dewan Rakyat amat sedikit iaitu seramai 21 orang. Saat ini Barisan Nasional (BN) adalah amat kuat di mana ketika ini rakyat menyambut Perdana Menteri baru dengan perlantikan Dato’ Seri Abdullah sebagai Perdana Menteri ke-5 menggantikan Tun Dr. Mahathir. Walaupun bilangan bukan melayu ketika ini lebih ramai daripada melayu tetapi secara keseluruhannya bilangan MP pembangkang amat sedikit dan tuntutan melampau kaum minoriti pada masa ini tidak berlaku.

 

Kedudukan MP Pakatan Rakyat Pasca PRU-12 2008
Dalam dunia ini, jika mudah dapat sesuatu maka ia akan mudah hilang. Isu dalam negara yang berlaku sepanjang kepimpinan Abdullah amat menjerut kehidupan rakyat. Harga barang utama khususnya minyak dan tol naik melambung-lambung apatah lagi ditambah dengan kritikan lantang Dr. Mahathir terhadap kepimpinan Abdullah yang lemah dengan membatalkan projek-projek mega yang direncanakan di akhir pemerintahan beliau.
Kesannya BN hilang 2/3 majoriti parlimen pada PRU-12 pada tahun 2008. Bilangan ahli parlimen pembangkang dari naik mendadak 21 orang kepada 85 orang. Walaupun bilangan MP Melayu Islam lebih ramai daripada MP bukan Islam dalam PR iaitu seramai 44 orang (51.8%) berbanding 41 orang (48.2%), namun jurang ini amat rapat iaitu boleh dikatakan 50-50.
Walaupun bilangan MP melayu Islam lebih ramai daripada MP bukan Islam dalam PR ketika ini, mereka tidak dapat menyelesaikan masalah ketidakseimbangan antara kaum. Bagi mereka tidak mengapa jika masalah ini berlaku jika pentadbiran mereka adalah bersih daripada rasuah. Namun dari satu segi, ia akan membawa masalah tidak puas hati bagi kaum yang ketinggalan jika satu kaum lagi meninggalkan jauh mereka di belakang bagi kesan jangka panjang dalam pembahagian kekayaan ekonomi negara.
 

Kedudukan MP Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat Pasca PRU-13 2013
 
Pasca PRU-13 menunjukkan jurang bilangan MP dalam Pakatan Rakyat antara Islam dan bukan Islam yang rapat sebelum ini (tahun 2008) kini berbeza di mana bilangan MP bukan Islam lebih ramai daripada bukan Islam iaitu sebanyak 52 (58.4%) kerusi berbanding 37 kerusi (41.6%) iaitu berbeza sebanyak 15 kerusi. Walaupun PR berjaya menambah bilangan kerusi daripada 85 kerusi kepada 89 kerusi iaitu peningkatan sebanyak 4 kerusi, namun hakikatnya bilangan MP bukan Islam semakin bertambah dalam PR.
Berbanding dengan MP Islam dalam Barisan Nasional di mana bilangan mereka ialah 112 kerusi (84.2%) berbanding MP bukan Islam iaitu sebanyak 21 kerusi (15.8%) di mana jurangnya adalah sangat besar iaitu sebanyak 91 kerusi.
Pembangkang sering menguar-uarkan bahawa mereka dapat menafikan undi popular BN dalam sejarah PRU Malaysia di mana Mohd. Najib merupakan Perdana Menteri minoriti dalam sejarah Malaysia di mana undi popular BN ialah 46.53% berbanding PR yang lebih banyak iaitu sebanyak 49.96% dan selebihnya pergi kepada calon bebas.
Jika kita perhalusi undi popular Pakatan Rakyat berjumlah 49.96% adalah majoritinya datang daripada pengundi bukan Islam iaitu sebanyak 60.21% berbanding pengundi Islam iaitu sebanyak 39.79%. Manakala undi popular BN sebanyak 46.53% banyak disumbang oleh pengundi Islam iaitu sebanyak 68.45% dan pengundi bukan Islam sebanyak 31.55%.
PAS Perlu Kekal Sebagai Parti Tunggal
Dapat dilihat bahawa walaupun Pakatan Rakyat boleh menambah kerusi mereka dari semasa ke semasa sepanjang PRU-11 sehingga PRU-13 tetapi yang menguntungkannya ialah orang-orang bukan Islam. Ini sudah tentu menyedihkan. Orang-orang melayu dalam Pakatan kuat berkempen dari semasa ke semasa dengan harapan dapat menguatkan PKR dan PAS khususnya tetapi yang untungnya ialah orang-orang bukan Islam. Ini sudah tentu menyedihkan. Ibarat menang sorak kampung tergadai.
Daripada 89 kerusi parlimen Pakatan, DAP muncul parti terkuat dengan 38 kerusi diikuti PKR sebanyak 30 kerusi dan PAS sebanyak 21 kerusi. Akan tetapi, penyokong-penyokong taksub PAS tetap mengatakan bahawa PAS tetap beristiqamah dengan perjuangannya untuk menegakkan negara Islam  walaupun tinggal 1 kerusi parlimen dalam PR kerana kita perlu berusaha walaupun dengan usaha sebesar zarah.
Menurut Datuk A Kadir Jasin, PAS merupakan parti paling malang sekali dalam PR di mana ia bukan sahaja ditolak oleh penyokong-penyokongnya sendiri malah ditolak oleh DAP serta kehilangan negeri Kedah. Telahan ini mungkin benar kerana majoriti undi popular Barisan Nasional adalah daripada undi orang-orang Islam.
Malah isu-isu semasa yang berlaku menunjukkan bahawa PAS berada dalam keadaan lemah dalam PR. Contohnya isu terbaru iaitu saman yang melibatkan pemimpin utama Pas oleh orang Pakatan sendiri. Penyertaan PAS dalam Pakatan juga hanya menguntungkan DAP dan terus melemahkan BN. Dengan ini, kaum minoriti berani bersuara menyatakan kehendak yang sebelum ini tidak pernah disuarakan ketika BN masih kuat.
Walauapapun terjadi, tiada lagi pakatan politik yang boleh menggantikan Barisan Nasional untuk mentadbir negara mempunyai masyarakat majmuk ini apatah lagi menyentuh isu-isu agama. Selemah-lemah Umno sekalipun kerana terpalit dengan rasuah, tiada yang berani untuk mencabar kesucian agama Islam sebelum PRU-12 tahun 2008 dalam negara mahupun dalam negeri-negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional pada hari ini.
Sekian, terima kasih.
http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: