Monday, March 31, 2014

Harga Barang Naik Mempercepat Kejatuhan Khilafah Uthmaniyah

http://wankamarul701.blogpsot.com

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.
 
Memang benar setiap Kerajaan di dunia ini akan jatuh dan tiada kekal abadi. Apa yang membezakan sesuatu kerajaan dengan kerajaan yang lain ialah tempoh ia berkuasa. Ada yang lama dan ada yang pendek. Salah satu Kerajaan yang antara paling lama kekal di dunia ialah Kerajaan Uthmaniyah di mana ia kekal selama 625 tahun iaitu dari tahun 1299 sehingga 1924.
 
Namun begitu, banyak faktor-faktor yang membawa kepada kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyah yang menaungi 3 benua iaitu Eropah, Timur Tengah, dan Afrika. Salah faktor kejatuhannya ialah kenaikan harga barang-barang yang menyusahkan rakyat. Kerajaan Uthmaniyah tidak mengalami kenaikan harga barang selama 400 tahun berturut-turut sebelum bermula era kejatuhannya.
 
Faktor ini dapat dijadikan pengajaran kepada pemimpin negara hari ini yang sentiasa menaikkan harga barang ekoran pemotongan subsidi dari semasa ke semasa. Akhirnya ia menjerut kehidupan rakyat yang menyebabkan rakyat semakin sengsara. Semoga pemimpin negara perlu mencontohi kejatuhan Khilafah Uthmaniyah dalam mentadbir negara.
 
Wallhua'lam.
 
 

Friday, March 28, 2014

Surah Nuh Menunjukkan Cara Kita Menghadapi Kemarau dan Dimurahkan Rezeki



Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Saya mula menghafal Surah Nuh ketika saya belajar di Tingkatan 2. Memang sewaktu di sekolah dahulu setiap pelajar diwajibkan untuk menghafal surah-surah tertentu mengikut tingkatan masing-masing. Surah Nuh adalah surah yang menceritakan kisah Nabi Nuh yang mengajak kaumnya supaya mengEsakan Allah s.w.t. selama 950 tahun.

Saya hanya menghafal surah tersebut sekadar menghafal sehinggalah saya mendengar kuliah di masjid baru-baru ini mengenai petunjuk yang terdapat di dalam Surah Nuh apabila kita menghadapi musim kemarau. Selain itu, surah ini juga mengajar untuk dimurahkan rezeki olehNya. Ini disebutkan dalam Surah Nuh dalam ayat 10-12 yang berbunyi seperti berikut :

“Maka aku katakan kepada mereka: Mohonlah keampunan kepada Rab (Tuhan)mu, sesungguhnya Dia (Allah) adalah al-Ghafar (Maha Pengampun).”

 “Nescaya Dia (Allah) akan mengirimkan hujan kepada kamu dengan lebat.” 

“Dan membanyakkan harta dan anak-anak kamu, dan mengadakan untuk kamu kebun-kebun dan mengadakan untuk kamu sungai-sungai.”


Pengajaran daripada ayat-ayat ini ialah surah ini menyeru kita supaya kita sentiasa beristighfar atau sentiasa memohon keampunan kepada Allah s.w.t. supaya hujan diturunkan apabila menghadapi musim kemarau dan dimurahkan rezeki oleh-Nya.

Oleh itu, kita perlulah memperbanyakkan istighfar untuk memohon keampunan Allah s.w.t. supaya sentiasa dimurahkan rezeki olehNya.


Banyak hadis yang dianjurkan cara kita untuk memohon keampunan Allah s.w.t. Salah satunya ialah kita perlu beristighfar sekurang-kurangnya 70 kali sehari kerana Nabi Muhammad s.a.w. sendiri beristighfar 70 kali sehari walaupun baginda sendiri adalah maksum yakni bebas daripada melakukan sebarang dosa. Selain itu, cara lain yang dianjurkan untuk beristigfar ialah dengan mendirikan solat tasbih kerana dosa-dosa kita akan diampunkan oleh Allah s.w.t. Semoga ayat-ayat dari Surah Nuh  serta Hud ini dapat dijadikan pengajaran dan amalan kita untuk kita amalkan sentiasa. Mudah-mudahan.

Wallahua'lam.



Thursday, March 27, 2014

Kehilangan MH370 : Implikasi dari Sudut Fekah

 
 

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.
 
Apa yang dapat disimpulkan daripada kenyataan pemimpin Kerajaan mengenai isu kehilangan MH370 adalah keadaan yang tidak yakin. Perdana Menteri mengatakan bahawa kehilangan MH370 berakhir di Lautan Hindi walaupun ia hanya berasaskan kepada imej satelit semata-mata dan tiada bukti nyata untuk melihat bahawa penumpang-penumpang MH370 sudah meninggal dunia. Dari satu sudut, kita perlu melihatnya dari sudut fekah mengenai status keluarga kepada penumpang MH370. Apa yang boleh kita lihat dari segi 2 sudut ialah :
 
1. Status isteri penumpang.
 
Bagaimana status isteri penumpang pesawat MH370 yang telah hilang? Bolehkah kita mengisytiharkan suami mereka sudah meninggal dunia? Di sini, apa yang boleh kita katakan suami mereka dikategori sebagai hilang. Dari sudut fekah, apabila seseorang suami hilang maka seorang isteri perlu menunggu dengan tempoh tertentu. Di sini, terdapat 3 pendapat fuqaha' mengenai tempoh seseorang isteri perlu menunggu supaya dia boleh berkahwin semula dengan lelaki lain.
 
a. 4 tahun
 
Ini adalah mengikut pendapat Imam Syafie. Tempoh 4 tahun ini adalah berdasarkan kepada amalan pemerintahan Saidina Umar r.a. dan Saidina Umar al-Khattab apabila seseorang isteri kehilangan suami.
 
b. 6 bulan
 
Ini adalah pendapat Imam Ahmad bin Hambal. Diriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab melalui sebuah rumah di mana si isteri kehilangan suaminya, Saidina Umar mendengar si isteri meratap, "Jikalau tidak kerana aku tidak takutkan Allah s.w.t. maka sudah lama aku berzina dengan lelaki lain." Seterusnya setelah pulang ke rumah Saidina Umar r.a. bertanyakan anaknya Habsah, " Berapakah tempoh yang kamu sanggup tunggu sekiranya suamimu hilang?" Lalu Habsah menjawab, "Sekiranya engkau hanya merupakan seorang ayah dan tidak merupakan seorang Khalifah sudah tentu aku tidak akan menjawabnya. Oleh kerana engkau seorang Khalifah, aku perlu menjawabnya. Tempoh yang sanggup ku tunggu sekiranya suamiku hilang ialah 4-6 bulan."
 
Ada dasar ini, Imam Ahmad bin Hambal menetapkan bahawa sekiranya seorang isteri kehilangan suami, maka ia boleh menunggu sehingga 6 bulan sebelum berkahwin lain.
 
c. 1 tahun
 
Ini adalah pendapat Imam Maliki. Jika seorang isteri kehilangan suami, maka ia boleh menunggu sehingga 1 tahun sebelum berkahwin lain.
 
Sebagai pengikut mazhab Imam Syafie sudah tentu kita akan memakai tempoh 4 tahun sebelum seseorang isteri itu boleh berkahwin lain. Jika sudah melebihi tempoh yang dibenarkan dan si isteri sudah berkahwin dan jika ditakdirkan suami pertama kembali semula maka terdapat perkara yang timbul dalam isu ini. Jika si isteri belum bersetubuh dengan suami barunya itu, maka perkahwinan baru tersebut secara automatiknya terbatal. Jika si isteri sudah bersetubuh dengan suami barunya bahkan sudah mempunyai anak, maka si isteri boleh memilih sama ada untuk memilih suami barunya ataupun yang lama.
 
2. Harta Faraid
 
Sudah tentu jika seseorang itu meninggal, maka hartanya akan dibahagikan antara ahli-ahli keluarganya. Berlainan pula jika seseorang itu hilang, di mana ahli keluarganya perlu menunggu sehingga umurnya 90 tahun supaya harta ahli keluarga yang hilang itu boleh dibahagikan mengikut kaedah faraid.
 
Jika si polan itu hilang ketika berusia 40 tahun, maka ahli keluarganya perlu menunggu sehingga usianya 90 tahun atau 50 tahun lagi supaya harta si polan boleh dibahagikan antara ahli keluarganya mengikut faraid.
 
Secara keseluruhannya, kehilangan MH370 ini memberi implikasi dari sudut fekah kepada ahli keluarga penumpang tersebut. Semoga ada bukti sahih akan ditemui oleh pihak berkuasa supaya semua urusan ini dapat dipermudahkan. Muda-mudahan.
 
Wallahua'lam
 
Sumber gambar : Malaysiakini
 
 
 

Tuesday, March 25, 2014

Kehilangan MH370 : Di Sebalik Filem Do Re Mi

Filem Do Re Mi Dimainkan Semula di KLIA
 
Kejadian khidmat bomoh digunakan di KLIA untuk mencari kapal terbang MH370 banyak mendapat liputan media antarabangsa. Apa yang lebih memalukan ialah ia menggambarkan tahap mentaliti orang melayu itu sendiri. Lebih menarik ialah perbuatan bomoh duduk di atas tikar menyamai lakonan dalam filem Do Re Mi yang dimainkan pada tahun 1966 yang lalu atau hampir setengah abad yang lalu. Seolah-olah filem ini dimainkan semula setelah Tanah Melayu sudah mempunyai lapangan terbang antarabangsa antara yang tercanggih di dunia.
 
Apa yang saya ingin timbulkan di sini ialah dari manakah P. Ramlee mengambil idea untuk membuat lakonan filem Do Re Mi ini? Jika dilihat gambar di atas, apa yang dilakukan oleh Tok Bomoh adalah sama dengan lakonan filem Do Re Mi - 3 orang bomoh duduk di atas tikar, dan ada teropong . Bezanya ialah tiada sangkar, 2 biji buah kelapa  dan tidak boleh terbang seperti dalam filem Do Re Mi.
 
Dari manakah seniman P. Ramlee ini menggunakan idea membuat lakonan filem Do Re Mi ini? Saya timbulkan persoalan ini adalah kerana filem-filem beliau sebenarnya banyak mengambil idea daripada sastera lama arab. Contohnya ialah fileh P. Ramlee berjudul Ahmad Albab di mana ideanya ialah daripada sastera lama arab. Ini diberitahu sendiri oleh pensyarah saya ketika belajar bahasa Arab di universiti dahulu.
 
Idea Filem Ahmad Albab Sudah Lama Berada Dalam Sastera Lama Arab
 
Adakah P. Ramlee juga menggunakan idea dari kitab bomoh untuk menjayakan filem Do Re Mi ini? Ini adalah kerana banyak persamaan apa yang dilakukan oleh Tok Bomoh di KLIA dengan filem Do Re Mi.
 
Wallhua'lam.
 
 

Cuit-cuit : Tidak Terkejar untuk Membeli dan Membaca Buku-buku Baru di Pasaran

 
Buku-buku yang Terdapat di Pasaran pada Tahun 2010

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.
 
Di Malaysia sebanyak 16,000 judul buku setiap tahun dengan industri jualan buku ialah sebanyak RM400 juta setahun. Rata-ratanya rakyat Malaysia suka membaca buku agama, sastera, dan novel. Sepanjang tahun 2009 sebanyak 2,788 buah buku novel dan sastera diterbitkan dan 1,409 buku judul agama diterbitkan. Pada tahun 2008, sebanyak 16,044 judul buku diterbitkan di Malaysia. (Baca sini)
 
Kita sebagai insan biasa mempunyai 24 jam sehari. Ada 2 mata dan 2 tangan. Memang agak terbatas dan mustahil untuk membaca buku dengan jumlah yang amat banyak. Jika kita secara puratanya membaca sebuah buku setiap bulan, maka kita hanya mampu untuk mampu untuk membaca 12 buah buku setiap bulan. Apatah lagi jika dibandingkan dengan 16,000 buah buku diterbitkan setiap tahun.
 
Jika saya lalu sahaja kedai buku pasti ada sahaja buku-buku terbaru yang berada di pasaran. Bagaimana hendak membeli buku baru sekiranya masih ada buku belum habis dibaca di rumah? Sememangnya lautan ilmu itu sangat luas. Pendek kata, kita tidak akan terkejar untuk menguasai ilmu di dunia ini sehingga ke akhir hayat.
 
Wallhua'lam.
 


Wednesday, March 19, 2014

ASNB Harus : Hujah yang Digunakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Apabila tiba sahaja musim tahun baru maka muncul pula isu status halal haram Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) walaupun isu ini selalu timbul setiap tahun. Mengapa kita masih memperdebatkan hukum ASNB ini walhal ia telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Negeri masing-masing. Majlis Fatwa Kebangsaan mengatakan ianya harus manakala Majlis Fatwa Negeri Selangor mengatakan ianya haram.
Bergantung kepada kita ingin ikut fatwa yang mana satu. Tidak perlu bergaduh satu sama lain. Jika ingin mengatakan bahawa ASNB haram, maka melabur sahaja dalam Tabung Haji. Habis cerita.
Namun begitu, timbul pula tohmahan oleh sesetengah pihak bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan menjustifikasikan bahawa pelaburan ASNB adalah harus kerana tekanan faktor politik oleh parti pemerintah. Apa yang peliknya tohmahan ini hanya dibuat oleh golongan yang tidak terlibat secara langsung dalam mengeluarkan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan.
Saya lebih tertarik dengan hujah Dr. Asri Zainal Abidin di mana beliau terlibat sendiri secara langsung dalam mengeluarkan hukum ASNB. Apa yang menyebabkan ASNB haram ialah ia terlibat dalam perbankan konvensional di mana dana yang besar ini diletakkan di sini. Hujah Majlis Fatwa Kebangsaan ialah sekiranya ASNB ingin betul-betul halal maka sebanyak 40 buah Bank Islam diperlukan untuk meletakkan dana ASNB ini. Oleh kerana bilangan Bank Islam tidak cukup maka bank yang sanggup menerima dana ASNB ini ialah pihak Maybank.
Selain itu, Pemodalan Nasional Berhad (PNB) ASNB bertanggungjawab untuk membangunkan ekonomi umat Islam di Malaysia. Maka jika difatwakan haram hukum pelaburan ASNB ini, maka ia akan membawa keruntuhan ekonomi umat Islam di Malaysia kerana dana ASNB ini adalah terlalu besar.
Selain itu, walaupun dana ASNB ini diletakkan di bawah perbankan konvensional namun jumlah pelaburan di tempat yang tidak patuh syariah adalah kurang daripada tempat yang patuh syariah. Ini berdasarkan kepada dalil firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Baqarah ayat 219 iaitu :
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: ada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…”
Dalam ayat di atas, arak dan judi diharamkan kerana keburukannya adalah lebih banyak daripada kebaikannya. Ini dapat dilihat bahawa kebaikan arak ialah dapat meningkatkan kadar metabolisme seseorang. Di sebuah perkampungan di Mexico, tiada seorangpun yang diserang penyakit jantung kerana semua penduduk minum arak.
Atas dasar ini, tempat pelaburan ASNB yang patuh syariah adalah lebih banyak daripada tidak patut syariah di mana nisbahnya ialah 80 : 20. Oleh itu, pelaburan dalam ASNB difatwakan sebagai harus.
Terpulanglah kepada kita sama ada ingin mengikut fatwa pelaburan ASNB itu adalah harus ataupun sebaliknya kerana para ulama’ mengeluarkan fatwa mengikut hujah masing-masing. Apa yang penting ialah janganlah kerana benda-benda khilaf ini kita tidak dapat bergerak maju ke hadapan.
Wallahua’lam.

Sunday, March 16, 2014

Ramai Manusia Meninggalkan Tuhan tetapi Tuhan Tidak Pernah Meninggalkan Mereka...

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Ini sebuah kisah benar yang saya dengar dari sebuah kuliah di masjid.

Ada seorang pemuda yang sering bertukar-tukar agamanya kerana ingin mencari agama yang sesuai untuk kehidupannya. Pendek kata, pemuda ini meloncat dari satu agama ke satu agama yang lain untuk 'testing' suatu agama terlebih dahulu.

Pada mulanya beliau menganut agama Islam. Akan tetapi, beliau tidak boleh pergi dengan agama Islam kerana banyak perkara-perkara ibadat yang dipaksakan ke atas beliau yang perlu dilakukan seperti sembahyang, puasa, dan lain-lain lagi.

Oleh kerana tidak tahan dengan agama Islam, beliau cuba pula menganut ateis iaitu ajaran tidak bertuhan. Akan tetapi, ajaran ateis tidak dibenarkan di Malaysia kerana seseorang itu perlu mempunyai agama supaya ia boleh didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara. 

Lalu ia pula mencuba agama Kristian. Dalam agama Kristian pula wujud konsep triniti iaitu konsep tuhan itu tiga dan tiga itu dalam satu. Ironinya, beliau pening dengan konsep triniti dalam agama Kristian.

Beliau cuba pula agama Hindu. Malangnya, beliau pening dengan agama Hindu dengan konsep dewa dan dewi dalam agama tersebut.


Ramai manusia meninggalkan Tuhan, tetapi 
Tuhan tidak pernah meninggalkan mereka...

Akhir sekali, beliau cuba pula menganut agama Buddha. Ketika beliau sembahyang di tokong Buddha, kebetulan ada rombongan sami dari Tibet yang bersembahyang bersama beliau. Ketika sembahyang, ada seorang sami tua yang berumur sekitar 60-an yang menyapa beliau, 

" Bukankah anda dahulu seorang penganut agama Islam?" tanya sami.

"Ya saya menganut agama Islam dahulu." jawab pemuda tersebut.

Lalu sami itu membalas, 

"Ramai manusia meninggalkan Tuhan tetapi Tuhan tidak pernah meninggalkan mereka."

Pada keesokan harinya, ketika rombongan sami-sami tersebut ingin pulang semula ke Tibet pemuda tersebut minta senarai nama rombongan tersebut daripada penjaga tokong tersebut untuk mencari sami yang menyapanya semalam.

Apa yang menakjubkan ialah dalam senarai nama sami-sami tersebut yang paling tua ialah sami yang berumur 28 tahun. Beliau terkejut kerana sami yang menyapanya sehari sebelum itu ialah sami tua yang berusia lngkungan 60-an.

Setelah peristiwa itu berlaku kepada pemuda tersebut, pemuda tersebut memeluk semula agama Islam. Bayangkan bahawa Allah s.w.t. masih sayangkan pemuda tersebut dengan memberi hidayah melalui peristiwa ajaib kepadanya. 

Wallhua'lam.



http://wankamarul701.blogspot.com

Wednesday, March 12, 2014

Pesawat Hilang - Satu Peringatan daripada Allah s.w.t.




Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.
 
Apabila disebut bala maka tidak kira sama ada manusia baik ataupun sebaliknya. Semua akan ditimpa bala tersebut. Setelah kita dikejutkan dengan kenaikan harga barang pada awal tahun, kita ditimpa pula dengan jerebu dan kemudian kemarau. Kemarau yang menyebabkan air kita dicatu walaupun Negara kita mempunyai sungai dan dikelilingi lautan. Berbanding dengan Singapura, walaupun mereka membeli air dari Singapura, mereka langsung tidak ditimpa masalah air. Apakah kesilapan kita sebenarnya? 
 
Apa yang menggemparkan pada Jumaat lepas ialah apabila Anwar Ibrahim dihukum penjara selama 5 tahun. Sehari selepas hukuman tersebut, bukan sahaja negara bahkan seluruh dunia matanya tertumpu kepada Malaysia setelah digegarkan dengan berita pesawat hilang. Siapa yang mampu menandingi kuasa Allah s.w.t. apa sistem teknologi canggih sekalipun gagal mengesan pesawat tersebut sehingga hari ini. Hikmahnya ialah media massa tidak menumpukan serangan kepada Anwar Ibrahim. Jika tidak, sudah tentu Anwar Ibrahim teruk diganyang oleh media massa.
 
Kita saling bercakaran sesama agama dan bangsa. Irononinya maksiat yang berleluasa dalam masyarakat tidak dihiraukan. Inilah penyebab bala turun kepada kita. Tidak cukupkah lagi bala diturunkan kepada kita atau kita perlu tunggu bala yang lebih besar menimpa kita supaya kita tidak lagi bercakaran sesama sendiri?
 
Wallahua'lam.
 

Tuesday, March 4, 2014

Bagaimana Saya Menghabiskan Bacaan Sesebuah Buku?


Mengikut kajian yang pernah dibuat di Amerika Syarikat, kebanyakan orang hanya membaca 10 peratus sahaja kandungan daripada sesebuah buku. Saya juga mendapati ramai rakan-rakan saya yang tidak menghabiskan bacaan sesebuah buku yang diperolehi oleh mereka sama ada dibeli ataupun dipinjam. Pendek kata, anda telah membazir wang anda sekiranya anda membeli buku tetapi tidak membelinya.

Sudah semestinya kita akan menjadi ghairah apabila terjumpa buku terbaru yang tersusun rapi di kedai-kedai buku sama ada di Popular, MPH, dan sebagainya. Rasa-rasanya ingin membeli semua buku yang terdapat di sesebuah kedai buku. Benar sabda Nabi Muhammad s.a.w. iaitu :

“2 perkara yang tidak akan kenyang apabila dituntut iaitu harta dan ilmu.”

Baiklah, saya akan berkongsikan bagaimana saya menghabiskan bacaan sesebuah buku. Jika saya membeli sesebuah buku, saya akan membacanya daripada kulit depan sehingga kulit belakang. Ini juga bermakna saya akan membaca glosari di bahagian belakang buku. Saya tidak mahu membazirkan setiap sen wang saya kerana setiap sen wang saya adalah bernilai apabila membeli sesuatu. Berikut adalah tip yang boleh dikongsi bersama bagaimana saya membaca sesebuah buku :

1. Membaca 10 muka surat sehari

Ini adalah perkara asas yang dilakukan oleh saya apabila membaca sesebuah buku. Setiap hari saya akan membaca sebuah buku sebanyak 10 muka surat sehari – tidak kira sama ada sibuk ataupun tidak. Tidak kira sama ada hari bekerja ataupun hari hujung minggu saya tetap akan membaca 10 muka surat sehari. Terbaru saya baru selesai membaca buku Zainuddin Maidin iaitu Di Belakang Api, Di Depan Duri : Kisah Sejarah Utusan Melayu yang mempunyai muka surat sebanyak 512 muka. Ini bermakna saya mengambil masa selama 51 hari untuk menghabiskan membaca buku ini.



Saya akan membaca buku mengikut disiplin dan tidak membaca mengikut mood. Bayangkan sekiranya kita membaca sesebuah buku dengan mengikut mood. Hari ini kita membaca 40 muka surat sekiranya rajin. Esok pula membaca 10 muka surat sekiranya malas. Seterusnya lusa pula langsung tidak membaca buku kerana terlalu malas. Oleh sebab itu saya membaca sesebuah buku 10 muka surat sehari supaya terus maintain sehingga selesai membaca sesebuah buku tidak kira sama ada diri kita ini rajin ataupun malas. Prinsip yang saya gunakan dalam kes ini ialah :

“Amalan yang dilakukan secara sedikit tetapi berterusan disukai oleh Allah s.w.t. berbanding dengan amalan yang dilakukan secara banyak tetapi tidak berterusan.” Maksud hadis

2. Sibuk bukannya alasan utama

Ramai yang mengatakan bahawa mereka tidak dapat membaca buku kerana terlalu sibuk. Hendak buat kerja. Hendak menjaga anak. Hendak menjaga suami dan sebagainya. Oleh itu, saya mencadangkan anda supaya kita membaca buku 10 muka surat sahaja sehari kerana ia akan mengambil tempoh masa yang sekejap sahaja dalam sehari untuk membaca buku.

Orang yang berjaya ialah orang yang mentaati masa. Jika kita tengok tokoh-tokoh yang berjaya, mereka berjaya kerana mentaati masa. Tun Daim sewaktu menemui kebuntuan dalam perniagaan garamnya berjumpa Robert Kuok untuk meminta nasihat beliau. Robert Kuok meletakkan jam di atas meja dan memberikan masa sebanyak 1/2 jam kepada Daim untuk berbincang mengenai masalah perniagaan beliau. Setelah masa berlalu, Robert Kuok memberitahu Daim bahawa masa perbincangan telah tamat dan beliau terpaksa melayan tetamu lain yang sedang menunggu sehingga Daim mengatakan bahawa, “Saya tidak pernah berjumpa dengan seorang yang baik as suave as Robert Kuok.”

Dr. Mahathir juga sewaktu dalam penerbangan yang jauh, beliau selalunya bersekang mata merentasi zon masa dengan mentelaah buku notanya, menulis ucapan, kertas kerja, artikel untuk surat khabar dan majalah.

Begitu juga mendiang Steven Jobs yang merupakan pemilik syarikat Apple. Sewaktu beliau naik dari tingkat bawah untuk ke tingkat 40 di dalam lif, beliau masih sempat membuat mesyuarat bersama pelanggannya di dalam lif melalui presentation Power Point yang telah diringkaskan. Inilah contoh tokoh-tokoh yang menghargai masa mereka.

Oleh itu, kita juga perlu menghargai masa kita dalam sehari dan memperuntukkan membaca hanya 10 muka surat sehari. Rasanya masih banyak masa terluang untuk kita membaca. Jika kita memberi alasan tiada masa itu tidak dapat diterima kerana setiap manusia di muka bumi ini tidak kira sama ada rakyat biasa ataupun raja, mereka tetap mempunyai masa 24 jam sehari. Tidak lebih ataupun kurang walaupun seminit.

3. Paksa Diri Sendiri

Tiada orang dapat memaksa diri kita sendiri untuk membaca melainkan diri sendiri sahaja. Mahu tidak mahu kita perlu disiplinkan untuk membaca. Sepertimana yang disebut sebelum ini iaitu kita perlu membaca hanya 10 mukasurat sehari. Pegang prinsip ini mengikut kata-kata imam al-Ghazali :

“Amalan yang dilakukan secara berterusan akan menimbulkan keikhlasan di hati.”

Dengan memaksa diri kita sendiri, kita akan memaksa diri kita tidak kira sama ada diri kita letih ataupun tidak dan sebagainya. Pendek kata, kita akan berusaha untuk membaca 10 muka sehari untuk sebuah buku.

4. Setiap Sesuatu Ada Awal dan Akhirnya

Kita perlu meyakini bahawa buku yang telah dibeli akan tetap habis dibaca walaupun cepat ataupun lambat kerana salah satu tanda kewujudan Tuhan ialah setiap sesuatu ada awal dan akhirnya. Kita hanya perlu kekalkan sahaja membaca 10 muka surat sehari dan kita tetap akan habis membaca buku tersebut pada suatu hari nanti. Insya-Allah.

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com