Sunday, March 16, 2014

Ramai Manusia Meninggalkan Tuhan tetapi Tuhan Tidak Pernah Meninggalkan Mereka...

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Ini sebuah kisah benar yang saya dengar dari sebuah kuliah di masjid.

Ada seorang pemuda yang sering bertukar-tukar agamanya kerana ingin mencari agama yang sesuai untuk kehidupannya. Pendek kata, pemuda ini meloncat dari satu agama ke satu agama yang lain untuk 'testing' suatu agama terlebih dahulu.

Pada mulanya beliau menganut agama Islam. Akan tetapi, beliau tidak boleh pergi dengan agama Islam kerana banyak perkara-perkara ibadat yang dipaksakan ke atas beliau yang perlu dilakukan seperti sembahyang, puasa, dan lain-lain lagi.

Oleh kerana tidak tahan dengan agama Islam, beliau cuba pula menganut ateis iaitu ajaran tidak bertuhan. Akan tetapi, ajaran ateis tidak dibenarkan di Malaysia kerana seseorang itu perlu mempunyai agama supaya ia boleh didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara. 

Lalu ia pula mencuba agama Kristian. Dalam agama Kristian pula wujud konsep triniti iaitu konsep tuhan itu tiga dan tiga itu dalam satu. Ironinya, beliau pening dengan konsep triniti dalam agama Kristian.

Beliau cuba pula agama Hindu. Malangnya, beliau pening dengan agama Hindu dengan konsep dewa dan dewi dalam agama tersebut.


Ramai manusia meninggalkan Tuhan, tetapi 
Tuhan tidak pernah meninggalkan mereka...

Akhir sekali, beliau cuba pula menganut agama Buddha. Ketika beliau sembahyang di tokong Buddha, kebetulan ada rombongan sami dari Tibet yang bersembahyang bersama beliau. Ketika sembahyang, ada seorang sami tua yang berumur sekitar 60-an yang menyapa beliau, 

" Bukankah anda dahulu seorang penganut agama Islam?" tanya sami.

"Ya saya menganut agama Islam dahulu." jawab pemuda tersebut.

Lalu sami itu membalas, 

"Ramai manusia meninggalkan Tuhan tetapi Tuhan tidak pernah meninggalkan mereka."

Pada keesokan harinya, ketika rombongan sami-sami tersebut ingin pulang semula ke Tibet pemuda tersebut minta senarai nama rombongan tersebut daripada penjaga tokong tersebut untuk mencari sami yang menyapanya semalam.

Apa yang menakjubkan ialah dalam senarai nama sami-sami tersebut yang paling tua ialah sami yang berumur 28 tahun. Beliau terkejut kerana sami yang menyapanya sehari sebelum itu ialah sami tua yang berusia lngkungan 60-an.

Setelah peristiwa itu berlaku kepada pemuda tersebut, pemuda tersebut memeluk semula agama Islam. Bayangkan bahawa Allah s.w.t. masih sayangkan pemuda tersebut dengan memberi hidayah melalui peristiwa ajaib kepadanya. 

Wallhua'lam.



http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: