Wednesday, June 18, 2014

Penulisan Boleh Menggegarkan Kerajaan yang Berkuasa


 
Sewaktu Khilafah Uthmaniyah dihapuskan secara rasminya pada 3 Mac 1924, gerakan parti-parti yang memperjuangkan agama Islam adalah dilarang sama sekali oleh Mustafa Kamal Attaturk. Ketika umat Islam berada dalam kegelapan ini, muncullah seorang mujadid Islam iaitu Badiuzzaman Said Nursi yang ingin membawa semua orang Islam kembali kepada agamanya. Kekuatan Nursi ini adalah berpaksikan kepada penulisan dan penyebaran karangannya yang terkenal iaitu Rasa’il al-Nur.

Rasa’il al-Nur sebenarnya merupakan tafsiran al-Quran yang berfokuskan kepada keimanan. Ia disusun melebihi 130 tajuk dalam buku-buku seperti al-Kalimat, al-Maktubat, al-Mathnawi, dan sebagainya. Matlamat Rasa’il al-Nur sebenarnya ialah untuk menjelaskan hakikat dan intipati iman dan menolak tuduhan liar musuh-musuh Islam dengan mengemukan hujah-hujah mantap. Ia ditulis ketika Nursi berada di dalam buangan dan penjara dari tahun 1926-1949 iaitu ketika Turki di bawah pemerintahan Parti Republikan Rakyat. Apa yang menarik ialah karangan beliau ini menembusi kota-kota dan desa-desa untuk menyeru masyarakat kembali kepada Islam secara syumul.

Apa yang menarik risalah ini ialah ratusan banduan di penjara Dinizli telah berubah akhlaknya setelah membaca Risalah al-Thamarah. Sehinggakan orang yang dihukum kerana kesalahan membunuh tidak lagi membunuh walaupun seekor kupu-kupu. Hal ini turut diakui oleh Pengarah Penjara bahawa penjara Dinizli tersebut telah bertukar menjadi pusat pengajian disebabkan oleh Rasa’il al-Nur. Risalah ini juga dibaca oleh 20,000 orang dalam masa 20 tahun. 

Selain itu, Nursi juga bergerak dengan Gerakan al-Nur yang berjaya memberi kemenangan kepada Parti Demokratik Turki dalam pilihan raya pada tahun 1949. Sehingga Ismet Inonu yang kalah dalam pilihan raya berkata, “Kita telah dijatuhkan oleh Gerakan al-Nur.”

Begitu juga dengan negara kita di mana politiknya sentiasa bergelora dari semasa ke semasa. Ini dapat dilihat melalui Tun. Dr. Mahathir sewaktu pilihan raya umum pada tahun 1969 yang menyaksikan beliau dan Kerajaan Perikatan kalah dalam pilihan raya tersebut (Hilang 2/3 majoriti parlimen) disebabkan oleh pengundi Cina belot kepada parti Perikatan.

Ini membawa kepada Dr. Mahathir menulis surat kepada Tunku serta penerbitan buku The Malay Dilemma di Singapura yang menjadi pemangkin penentangan terhadap Tunku oleh UMNO dan orang melayu itu sendiri. Sokongan kepada Dr. Mahathir menyemarakkan lagi bantahan terhadap Tunku dan menggesa beliau meletak jawatan. Dr. Mahathir akhirnya dipecat daripada UMNO kerana tindakanya itu dan apa yang menarik ialah Tunku meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 22 September 1970 iaitu kurang 4 hari genap setahun selepas beliau dipecat.

Tunku bukan seorang sahaja yang menjadi sasaran Dr. Mahathir supaya bertanggungjawab dengan apa yang berlaku natijah daripada kekalahan dalam mengemudi pilihan raya umum supaya meletak jawatan. Apa yang terjadi kepada Perdana Menteri Pertama juga berlaku berlaku kepada Perdana Menteri Kelima iaitu Abdullah Ahmad Badawi supaya meletak jawatan ekoran prestasi buruk beliau dalam pilihan raya umum pada tahun 2008. Akhirnya, Abdullah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri tidak lama selepas PRU tahun 2008.

Jika pada tahun 1969, Dr. Mahathir menerbitkan buku The Malay Dilemma bagi mengkritik kepimpinan Tunku manakala pada tahun 2008 Dr. Mahathir menulis blog peribadinya iaitu chedet.cc dalam usahanya mengkritik kepimpinan Abdullah yang lemah ekoran Barisan Nasional (Perikatan) sekali lagi hilang majoriti 2/3 parlimen. Apa yang pasti kedua-dua pemimpin tersebut meletak jawatan ekoran daripada penulisan Dr. Mahathir.

Dapat dilihat di sini bahawa walaupun Dr. Mahathir tiada apa-apa kuasa, beliau boleh mempengaruhi pendapat umum melalui penulisannya yang membawa kepada perletakan jawatan kedua-dua Perdana Menteri negara ini. Inilah kuasa penulisan – boleh mempengaruhi pendapat umum dalam menyatakan sesuatu yang tidak betul ataupun perlu diperbaiki.

Jika dilihat susur galur sejarah, dalam kepimpinan negara di Turki iaitu pasca kejatuhan Turki Uthmaniyyah mahupun kepimpinan negara ini, penulisan boleh menggegarkan Kerajaan yang berkuasa. Di Turki, kita boleh melihat usaha Badiuzzaman Said Nursi yang membawa kepada kekalahan kerajaan Parti Republikan Rakyat melalui Rasa’il al-Nur dalam pilihan raya umum pada tahun 1949. Manakala di Malaysia pula kita menyaksikan perletakan 2 orang Perdana Menteri hasil disebabkan oleh pengaruh penulisan Dr. Mahathir dalam mempengaruhi pendapat umum. Apa yang membezakan bentuk penulisan tersebut sama ada ia berbentuk tradisional (kertas atau buku) atau atas talian (online) mengikut peredaran zaman.

Jika kita renungi sabda Nabi Muhammad s.a.w. iaitu :

“Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran, maka cegahlah ia dengan tangan. Jika tidak tidak mampu, maka cegahlah ia dengan lisan. Jika itu juga di luar kemampuannya, maka cegahlah dengan hati Sesungguhnya (mencegah dengan hati) selemah-lemah iman.” Riwayat Muslim

Jika kita melihat frasa pertama iaitu jika kita melihat kemungkaran, hendaklah kita mencegah dengan tangan. Ayat ini sebenarnya ditujukan kepada pemimpin-pemimpin yang mempunyai kuasa untuk mencegah kemungkaran dengan tangannya.

Ada juga sebahagian ulama’ yang berpendapat bahawa menulis juga adalah termasuk mencegah kemungkaran dengan tangan. Pendapat ini juga sebenarnya relevan dengan melihat 2 peristiwa yang berlaku ini dalam menegur Kerajaan melalui penulisan yakni dengan mempengaruhi masyarakat atau orang awam supaya menentang Kerajaan yang melakukan kemungkaran ataupun kesilapan.

Apa yang penting penulisan perlu mempunyai hujah ataupun idea bernas untuk disampaikan kepada masyarakat bukannya secara membuta-tuli. Jika penulisan hanya secara membuta-tuli kelak tiada sesiapa yang ingin membaca penulisan kita apatah lagi untuk mengikut idea yang diutarakan oleh kita sendiri.

Wallhua’lam.                          

No comments: