Wednesday, July 9, 2014

Adakah Golongan Bumiputera Lebih Cenderung Menyimpan Tabung Haji Berbanding ASB?

 
 
Golongan bumiputera khususnya orang-orang melayu bukannya golongan peniaga. Oleh itu, mereka lebih menumpukan kepada amanah-amanah saham yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dan ekuiti mereka dalam ekonomi Negara. Pada kali ini, saya ingin memfokuskan kepada penyertaan golongan bumiputera dalam Tabung Haji (TH) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) kerana tahap penyertaan golongan bumiputera ini adalah berbeza.
 
Jika kita melihat kepada Amanah Saham Bumiputera (ASB), didapati bahawa tidak sampai 50 peratus golongan bumiputera menyertai skim ini dengan puratanya adalah menyimpan kurang daripada RM700. Berbanding dengan Tabung Haji (TH) yang saya petik gambar rajah di atas daripada laman web rasmi Tabung Haji didapati bahawa bilangan pendeposit adalah seramai 8.3 juta orang dengan jumlah simpanan adalah sebanyak RM45.7 billion. Manakala purata seorang pendeposit adalah sebanyak RM5,503 seorang.
 
Adakah Disebabkan kerana ASB Difatwakan Haram?
 
Dapat dilihat bahawa purata simpanan TH lebih tinggi berbanding ASB iaitu sebanyak RM5,503 berbanding kurang RM700. Adakah ini disebabkan oleh fatwa sesetengah negeri yang mengatakan bahawa pelaburan dalam produk ASNB adalah haram?
 
Saya pernah mendengar kuliah Maghrib yang disampaikan oleh seorang guru. Beliau menceritakan bahawa pada tahun 1980-an, Kerajaan mewajibkan semua guru-guru Bumiputera mendaftar dan melabur dalam ASNB. Malangnya, beliau hanya mendaftar sahaja akaun ASB sebanyak RM10 kerana hanya untuk lepas syarat. Kemudian, beliau tidak lagi mencarum akaun ASNB tersebut. Ini adalah kerana dana ASNB disimpan di bank konvensional yang mengamalkan riba'.

Terpulanglah kepada pegangan masing-masing sama ada untuk memegang fatwa harus atau haram dalam pelaburan ASNB. Jika berpegang pelaburan ASNB adalah haram kerana dananya disimpan di bank konvensional, adakah rumah, kereta, kad kredit, dan sebagainya kita adalah betul-betul bebas daripada riba'?
 
Jika purata simpanan ASB setiap individu adalah kurang daripada RM700, ini bermakna bahawa simpanan golongan bumiputera adalah masih rendah. Adakah kita kurang wang atau kurang kesedaran? Walaupun ASB 2 ditubuhkan, namun ia sebenarnya adalah untuk golongan bumiputera kelas menengah yang telah mempunyai simpanan yang maksimum dalam ASB 1.
 
Ironinya, ia terpulang kepada sikap golongan bumiputera khususnya orang melayu sendiri untuk memperbaiki taraf sosiekonomi mereka. Tongkatnya telah diberi oleh Kerajaan kepada kita. Hakikatnya, ia terpulang kepada kita sendiri untuk menggunakan tongkat tersebut dengan sebaik-baiknya untuk memberi manfaat kepada kita semua.
 
Sekian, terima kasih.
 
 

No comments: