Thursday, July 17, 2014

Pemikiran Orang Melayu Semenanjung Pasca PRU-2008 Sama Seperti Orang Melayu Singapura 1950-an

Tidak dinafikan faktor geografi dan pengaruh pentadbiran sesuatu Kerajaan sama ada penjajah ataupun Kerajaan yang diperintah sendiri oleh orang Melayu mempengaruhi pemikiran orang Melayu yang tinggal di Tanah Melayu. Selain itu, peperangan di seluruh dunia yang berlaku pada abad awal ke-20 seperti Perang Balkan serta Perang Dunia Pertama yang melibatkan Kerajaan Turki Uthmaniyah turut mempengaruhi pemikiran orang Melayu ketika itu. Ini adalah kerana perang ini melibatkan maruah umat Islam di seluruh dunia termasuk umat Islam di Tanah Melayu.

Pada kali ini, saya ingin membawa anda semua mengenai cara pemikiran orang melayu pada tahun 1950-an di Singapura dan pasca PRU-2008 di Semenanjung Tanah Melayu. Ini adalah kerana kita dapat melihat reaksi orang melayu ke sesuatu yang mungkin menelan masa berdekad-dekad untuk mengubah paradigma pemikiran orang melayu. 

Apa yang saya cuba bawa ialah pemikiran orang melayu di Singapura yang menerima konsep pelbagai kaum pada tahun 1950-an. Contoh yang saya ingin bawakan ialah sikap pemimpin-pemimpin Utusan Melayu yang telah menubuhkan Utusan Melayu pada tahun 1939. Selepas 10 tahun ditubuhkan, pemimpin Utusan Melayu lebih condong kepada sosialisme, antifeudalisme, dan menerima konsep pelbagai kaum. Proses ini sebenarnya berlaku amat cepat iaitu dalam tempoh 10 tahun sahaja. 

Ini adalah disebabkan oleh pendukung-pendukung Utusan Melayu ketika itu yang terdedah kepada suasana metropolitan Singapura dengan masyarakat Cina yang lebih besar dan interaksi dengan manusia asing yang sering datang ke pulau ini. Selain itu, pendukung-pendukung Utusan ini juga mempunyai latar belakang pendidikan Inggeris yang menyebabkan mereka bersikap lebih terbuka dengan politik antarabangsa seperti Perang Dunia Kedua.

Sesungguhnya faktor geografi Singapura merupakan faktor utama yang mempengaruhi perkembangan pemikiran dan daya intelek orang melayu di sana. Di Singapura, berlakunya pemusatan daya intelek di kalangan orang-orang melayu disebabkan oleh suasana yang kondusif yang secara tidak langsung merancakkan lagi perkembangan idea untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang menolong mengangkat martabat masyarat melayu sewaktu era pemerintahan kolonial British. 

Berlainan dengan orang-orang Melayu yang tinggal di Semenanjung yang tidak menerima konsep kepelbagaian kaum sehinggalah Pilihanraya Umum pada tahun 2008. Ini dapat dilihat melalui undi yang ditunjukkan melalui Pilihanraya Umum bermula tahun 1955 sehinggalah sebelum tahun 2008. Undi orang-orang melayu sebelum itu iaitu sebelum tahun 2008 hanya tertumpu kepada Barisan Nasional (BN) kerana sekiranya BN menang, bermakna orang melayu yang memerintah kerana Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) merupakan tulang belakang  BN. 

Namun begitu, dogma ini berakhir pada tahun 2008 apabila orang-orang Melayu mengundi calon-calon DAP yang sinonim dengan parti cina kerana menentang kepimpinan Kerajaan ketika itu. Sesungguhnya sikap yang ditunjukkan oleh orang melayu ketika ini melepasi sempadan agama dan kaum apabila mereka mengundi calon-calon bukan melayu dan dengan kata lain ketika ini menunjukkan ianya adalah lebih 'Malaysian'. Dapat dilihat di sini bahawa orang-orang melayu telah menerima konsep kepelbagaian kaum apabila menyokong DAP bahkan ada calon-calon DAP yang terdiri daripada bangsa melayu menang bertanding di kawasan melayu dalam PRU tahun 2013.

Contohnya, calon melayu dari Parti DAP memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan juga parlimen seperti Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (DUN Mentakab), Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz (Parlimen Raub), dan Zairil Khir Johari (Parlimen Bukit Bendera) yang masing-masing semuanya dapat menewaskan calon-calon cina dari Barisan Nasional (BN) pada PRU-13. 

Sebenarnya, keadaan ini bukanlah sesuatu yang pelik jika untuk dibandingkan dengan keadaan orang-orang melayu yang menyertai politik di Singapura pada suatu ketika dahulu. Contohnya, Samad Ismail yang merupakan seorang intelek melayu dan juga wartawan Utusan Melayu mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan kaum cina Singapura dan kesatuan-kesatuan Sekerja di Singapura yang didokong oleh orang-orang komunis telah diperlukan oleh Lee Kuan Yew bagi menubuhkan parti People's Action Party (PAP) yang merupakan parti induk Democratic Action Party (DAP)  di Malaysia pada hari ini pada tahun 1959.

Di sini, kita dapat melihat bahawa orang-orang melayu Singapura boleh bekerjasama dengan orang-orang cina dalam satu parti sejak tahun 1950-an lagi manakala orang-orang melayu semenanjung boleh bekerjasama dengan bangsa cina bermula tahun 2013. Dapat dibuat penilaian di sini orang melayu Singapura telah bergerak ke hadapan dalam kerjasama politik dengan bangsa lain sejak 50 tahun dahulu. Ini bermakna mereka telah bergerak 50 tahun ke hadapan berbanding dengan orang-orang melayu Semenanjung dalam kerjasama politik dengan bangsa lain.

Melayu Singapura Tidak Perlukan Tongkat

Jika kita melihat pendukung-pendukung Utusan Melayu yang bertunjangkan kepada ras melayu dalam memperjuangkan akhbar mereka pada tahun 1939, pemikiran mereka boleh berubah dalam masa yang singkat iaitu dalam masa 10 tahun sahaja kerana faktor geografi Singapura terbuka kepada bangsa asing yang tinggal di Singapura. Selain itu, mereka juga terdedah untuk berinteraksi dengan masyarakat Cina di Singapura. Ini menunjukkan bahawa pemikiran orang melayu untuk menerima konsep kepelbagaian kaum di Singapura berlaku dengan cepat.

Berlainan dengan masyarakat melayu Semenanjung yang tidak menerima konsep kepelbagaian kaum dari tahun 1955 (Piliharaya Pertama Tanah Melayu) sehinggalah tahun 2008 (PRU-2008). Tempoh ini sudah tentu memakan masa yang lama untuk masyarakat melayu menerima konsep kepelbagaian kaum iaitu selama 50 tahun! Berbanding orang melayu Singapura yang telah menerima konsep kepelbagaian kaum sejak tahun 1950-an lagi.

Adakah orang-orang melayu memang bersedia dengan konsep kepelbagaian kaum pada hari ini? Bersedia untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain dari setiap lapangan seperti ekonomi, pendidikan, dan sebagainya jika mereka betul-betul bersedia untuk menerima konsep kepelbagaian kaum?

Jika kita melihat sejarah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang ditubuhkan pada awal 1970-an, ia adalah manifestasi sebagai usaha untuk memperbaiki kedudukan bangsa melayu yang ketinggalan dalam ekonomi akibat daripada peristiwa rusuhan kaum yang meletus pada 13 Mei 1969. Secara kasarnya, dasar ini memperuntukkan dengan memberi hak-hak keistimewaan tertentu kepada kepada orang-orang melayu supaya mereka tidak ketinggalan jauh ke belakang berbanding bangsa-bangsa lain khususnya dalam bidang ekonomi dan pendidikan.

Berbanding dengan orang-orang melayu di Singapura pada awal abad ke-20, tiada peruntukan undang-undang atau keistimewaan yang diberikan kepada mereka untuk membantu diri mereka untuk berjaya dalam bidang yang diceburi. Ini dapat dilihat melalui kebangkita tokoh-tokoh melayu di Singapura pada tahun 1920-an seperti Yusof Ishak, Mohd. Eunos Abdullah, dan sebagainya.

Yusof Ishak yang merupakan pengasas Utusan Melayu telah dilantik oleh Lee Kuan Yew sebagai Yang Dipertuan Singapura dan Presiden Singapura yang pertama selepas merdeka kerana mempunyai sifat kualiti dan jati diri yang tinggi pada dirinya. Beliau  memahami sifat dan kualiti yang perlu ada pada orang melayu ketika itu yang ingin hidup di kota kosmopolitan Singapura ketika itu. 

Begitu juga dengan Mohd Eunos Abdullah yang mempunyai semangat keusahawan yang tinggi telah dilantik sebagai Ketua Pengawas Pelabuhan Singapura dan Ketua Pengawas Pelabuhan Kecil Muar pada tahun 1894. Kemudian, pada tahun 1907, beliau dilantik oleh William Makepeace, pemilik akhbar Free Press sebagai pengarang edisi melayu akhbar itu yang dinamakan sebagai Utusan Melayu. Harus diingatkan di sini bahawa Utusan Melayu ini bukanlah Utusan Melayu yang ditubuhkan pada tahun 1939 yang dimodali sepenuhnya oleh orang-orang melayu. Selain itu, Eunos juga dilantik sebagai Jaksa Pendamai dan dilantik sebagai orang melayu pertama sebagai anggota Majlis Undangan Negeri-negeri Selat 

Selain itu, Mohd. Eunos juga bersama Dr. Abdul Samad yang merupakan doktor melayu pertama bersama Tengku Abdul Kadir dari Istana Kampung Gelam telah menubuhkan Malay Institute untuk menyediakan tempat tinggal dan bantuan-bantuan lain kepada orang-orang melayu yang berhijrah ke Singapura. 

Golongan intelek melayu Singapura pada waktu tersebut bukannya hanya terhad kepada 2 orang tokoh ini sahaja malah ada yang terlibat dalam bidang-bidang lain seperti dalam bidang sosialis dan nasionalis di Universiti Singapura seperti Ahmad Mustaffa, Dr. Ungku Omar, dan Abdullah Majid. Apa yang boleh dibanggakan usaha tokoh-tokoh ini ialah mereka berjaya meyakinkan orang bukan melayu untuk menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam konteks Malaya merdeka.

Dapat dilihat di sini bahawa orang-orang melayu di Singapura telah jauh bergerak ke hadapan dalam apa-apa bidang yang diterokai sejak tahun 1920-an berbanding dengan orang-orang melayu Semenanjung ketika itu. Seolah-olah jika dilihat timbal terbalik dengan apa yang berlaku sekarang, sikap orang-orang melayu Singapura telah mahu lebih 100 tahun ke hadapan berbanding dengan orang-orang melayu Semenanjung sekarang. Mereka tidak memerlukan apa perlindungan undang-undang, hak keistimewaan, apatah kuota-kuota tertentu untuk maju dalam apa jua bidang yang diterokai. 

Mungkin orang-orang melayu perlu banyak bergaul dan berinteraksi dengan bangsa-bangsa lain jika ingin maju ke hadapan supaya berlakunya proses asimilasi iaitu pertembungan dan penyerapan nilai-nilai budaya antara bangsa melayu dan bangsa-bangsa lain. Ini merupakan salah satu cara untuk memajukan bangsa melayu tanpa mereka perlu berharap mana-mana tongkat yang disediakan oleh Kerajaan untuk meningkatkan kualiti dan sifat mereka untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain.

Wallahua'lam. 


http://wankamarul701.blogspot.com


Rujukan

1. Zainuddin Maidin. 2013. Di Depan Api Di Belakang Duri : Kisah Sejarah Utusan Melayu. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. 

2. Zainuddin Maidin. "Runtuhnya Melayu Singapura". Mingguan Malaysia. Ahad, 7 November 2010.

No comments: