Thursday, August 7, 2014

Pertanyaan : Bisnes Membuka Stesen Minyak


Saya berminat hendak membuka stesen minyak. Lokasinya adalah terletak di jalan utama iaitu Jalan Alor Setar – Kangar di tepi masjid dan ianya amat strategik. Stesen minyak masih belum banyak di situ dan stesen minyak paling dekat sekalipun terletak lebih 3 km. Saya merupakan graduan dalam perakaunan dan mempunyai pengetahuan mengenai akaun dan bisnes. Mungkin saya boleh dapatkan pinjaman dari MARA ataupun TEKUN. Saya bercadang ingin membuka Caltex. Masalah sekarang ialah tanah lapang itu terletak di tepi rumah. Mungkin tapak rumah itu perlu dialihkan sedikit. Oleh itu, saya bertanyakan pendapat encik mengenai kes saya.

- Azuan

Jawapan :

Terima kasih kerana sudi melayari dan membaca blog ini. Semoga ia dapat memberi ilmu manfaat kepada Saudara Azuan. Mengenai pertanyaan saudara, saya hanya boleh memberi beberapa pendapat mengenai apa yang saya tahu seperti berikut :

1. Lokasi Tapak Stesen Minyak

Sebelum sesebuah stesen minyak dibuka, pihak stesen minyak akan terlebih dahulu melihat keadaan trafik di sesuatu tapak yang ingin dibina stesen minyak tersebut. Mungkin faktor yang dilihat ialah bagaimanakah keadaan jalan tersebut, berapakah purata kenderaan melalui jalan tersebut setiap hari, kedudukan di luar bandar atau di bandar dan sebagainya.

Ada seorang rakan saya yang mempunyai tanah pusaka yang telah bercadang untuk membuka stesen minyak di tanah tersebut. Apabila beliau berjumpa dengan pihak syarikat minyak, faktor utama yang dipertimbangkan ialah keadaan trafik di kawasan tersebut.

Bagi kes saudara, saya percaya peluang untuk membuka stesen minyak adalah cerah kerana terletak di jalan utama. Tambahan pula banyak lagi stesen minyak belum dibuka di kawasan tersebut.

2. Ijazah Tidak Dapat Menjamin Kejayaan Anda dalam Perniagaan

Mungkin dengan kelebihan Saudara yang merupakan graduan perakaunan memberi kelebihan saudara dalam menguruskan aliran tunai. Perniagaan merupakan entrepreneurship dan bukannya intrapreneurship. Entrepreneurship bermaksud saudara perlu membuka dan menjalankan perniagaan sendiri manakala intrapreneurship bermaksud saudara hanya bekerja dengan orang lain dan menjalankan perniagaan mereka. Contohnya ialah bekerja dengan syarikat swasta, GLC, dan sebagainya. Ini bukan racist. Orang-orang melayu kebiasaannya mempunyai daya intrapreneurship yang tinggi berbanding daya entrepreneurship.

Sebenarnya, perniagaan adalah lebih daripada itu. Saudara perlu bersedia dengan 1,001 risiko untuk berjaya dalam perniagaan. Contohnya, dalam perniagaan stesen minyak, saudara perlu mengawasi stok-stok simpanan barangan runcit khususnya rokok supaya ia tidak diambil oleh kakitangan. Kenalan saya pun yang hanya bekerja di 7-Eleven sekalipun bekerja sehingga tidak ‘kenal’ rumah dek kerana perlu menjaga operasi kedai tersebut selama 24 jam. Ini kerana masa banyak dihabiskan untuk mengawasi kedai tersebut seperti stok, kakitangan, kebersihan, dan sebagainya. Ini baru sahaja 7-Eleven dan bukannya stesen minyak yang memerlukan konsentrasi, komitmen, tenaga, dan kesungguhan untuk mengawasinya selama 24 jam apatah lagi dengan operasinya dengan lebih besar.

3. Pinjaman Untuk Membuka Stesen Minyak

Sebenarnya, pinjaman TEKUN adalah tidak mencukupi untuk membuka stesen minyak kerana pinjamannya adalah sehingga RM100,000 sahaja sedangkan modal untuk membuka stesen minyak ialah antara RM300,000 sehingga RM400,000.

Pihak yang boleh memberikan pinjaman sehingga RM400,000 ialah Pemodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB). Ini adalah pengalaman saya bertemu dengan kakitangan PUNB dan saya ada bertanyakan modal untuk membuka stesen minyak. Beliau menyatakan bahawa modal untuk membuka stesen minyak ialah antara RM300,000 sehingga RM400,000.

4. Masalah Kedudukan Rumah Saudara

Saudara ingin membuka stesen minyak dan tapak tersebut terletak di tepi rumah saudara.  Saya tidak mendapat gambaran ukuran sebenar dan persekitaran tanah saudara. Begitu juga dengan rumah saudara. Mungkin rumah Saudara merupakan rumah papan kerana ia perlu dialihkan.

Jika betul-betul stesen minyak tersebut terletak di tepi rumah Saudara, adakah Saudara betul-betul bersedia untuk menghadapi keadaan trafik setelah stesen minyak akan beroperasi kelak? Adakah berbaloi sekiranya rumah tersebut dialih dan semasa dalam pembinaan stesen minyak ataupun selepas ianya beroperasi, ada masalah yang timbul dan keuntungan tidak dapat dibuat daripada stesen minyak tersebut? Bagaimana dengan pinjaman yang telah dibuat untuk membayarnya pada setiap bulan kelak?

Perkara-perkara ini perlulah dipertimbangkan dalam mengusahakan stesen minyak. Apa yang penting ialah Saudara memikirkan segala risiko bisnes saudara kelak jika Saudara betul-betul ingin membuka stesen minyak.

Ini sahaja mengenai pandangan saya. Terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: