Saturday, August 23, 2014

Sedekah dan Nilai Satu Sen : Satu Pertentangan Antara Nilai Islam dan Pengurusan Kewangan

“RM8 pun nak claim jugak ke?” ujar seorang kakitangan di pejabat saya apabila saya membuat tuntutan perubatan sebanyak RM8 di pejabat. Saya menjawab, “RM8 pun boleh buat makan tengah hari.” Lantas saya dikatakan kedekut oleh kakitangan tersebut.

Pernah juga saya mendengar kuliah maghrib di mana penceramah memberikan ceramah berkisar mengenai zakat fitrah. Penceramah mengatakan bahawa tidak mengapa jika kita meminta resit untuk zakat fitrah yang bernilai RM7.00 untuk mendapat perlepasan cukai tetapi ini dah kira sangat kedekut.

Inilah sebenarnya hakikat dalam pengurusan kewangan di mana kita perlu memberikan nilai yang tinggi terhadap wang walaupun sebanyak 1 sen. Saya telah banyak kali memberi penekanan bahawa kita perlu memberi nilai yang tinggi walaupun 1 sen dalam pengurusan kewangan kita kerana inilah sifat orang kaya yang dikatakan kedekut. Padahal mereka sebenarnya bukanlah kedekut tetapi mereka sebenarnya pandai menguruskan kewangan mereka.

Tun Daim Zainuddin yang merupakan merupakan seorang jutawan hartanah melalui Syarikat Malurinya sebelum dilantik menjadi Menteri Kewangan kali pertama pada tahun 1984. Beliau memberikan nilai wang yang tinggi terhadap wang walaupun 5 sen sebelum bergelar jutawan. Sifat ini dipengaruhi oleh idola beliau iaitu John Paul Getty yang merupakan jutawan minyak yang memberikan nilai yang tinggi terhadap setiap sen wangnya. Inilah yang diceritakan oleh Fatini Yaacob dalam bukunya Daim yang Diam

Akan tetapi, bagaimana pula dengan nilai-nilai Islam yang menganjurkan umatnya supaya bersedekah? Bukankah sedekah menyuburkan harta? Bahkan Saidina Abu Bakar sendiri menyedekahkan semua hartanya apabila diminta untuk bersedekah. Apabila ditanya apakah harta yang beliau tinggal selepas menyedekahkan semua hartanya? Beliau menjawab, “Allah s.w.t. dan Rasul.” Tidak hairanlah apabila ditimbang iman seluruh penduduk Madinah dan Saidina Abu Bakar, nescaya timbangan iman Abu Bakar lebih berat daripada sekali penduduk Madinah.

Baiklah, daripada contoh ini dapat kita lihat antara pertentangan nilai Islam yakni bersedekah dan memberi nilai yang tinggi terhadap 1 sen dalam pengurusan kewangan.

Dalam pengurusan kedai runcit terdapat kelemahan bagi kedai-kedai runcit melayu. Contohnya ialah apabila ahli-ahli keluarga mengambil barangan kedai di mana barangan kedai ini tidak direkodkan sebagai barang keluar apatah lagi ahli keluarga tersebut tidak membayar bagi barangan yang diambil. Ini sudah tentu menyebabkan kerugian jangka panjang bagi sesebuah perniagaan kedai runcit.

Dalam perniagaan kedai runcit juga pembekal akan membekal barangan yang lebih (barang percuma) bagi setiap barangan yang dipesan. Akan tetapi, barangan percuma ini (juga dikenali sebagai FOC – Free of Charge) akan diambil oleh kakitangan kedai kerana ia tidak dikira sebagai modal. Barang-barang kedai ataupun stok yang berada sesuatu kedai biasanya tidak akan kekal lama kerana mudah rosak. Contohnya ialah beras di mana barang-barang ini mudah rosak kerana dimakan tikus. Semasa inilah pentingnya barang FOC tadi sebagai pengimbang modal supaya sesebuah kedai runcit itu tidak mengalami kerugian apabila sesuatu barang itu mengalami kerosakan.

Daripada kes perniagaan kedai runcit ini, adakah ia dikira sebagai ‘sedekah’ apabila kita sebagai tuan kedai contohnya memberi secara sewenang-wenangnya stok barangan kedai kepada ahli keluarga ataupun kakitangan kedai kita? Apakah kesan ‘sedekah’ ini bagi tempoh jangka panjang bagi perniagaan kita? Sudah tentu ‘sedekah’ dengan cara ini akan melingkupkan perniagaan kita.

Bersedekah dan Kedekut Itu Biar Kena Pada Tempatnya

Sebenarnya, apabila kita hendak bersedekah, kita hendaklah bersedekah pada tempatnya. Kita perlu memperuntukkan berapakah jumlah wang yang hendak dikeluarkan pada setiap bulan untuk bersedekah. Jika kita langsung tidak bersedekah, sudah tentu ini dinamakan kedekut.

Contohnya ialah berapakah jumlah sedekah yang kita peruntukkan pada setiap bulan daripada gaji bulanan kita? Adakah RM100, RM200, atau RM300 sebulan? Jika kita sudah memperuntukkan RM100 sebulan, kita sedekahkan sahaja RM100 sebulan. Kita tidak akan lebih dan tidak akan kurang bersedekah daripada jumlah ini.

Begitu juga dengan zakat. Kita perlu mengeluarkan zakat mengikut haul dan nisab yang telah ditentukan. Contohnya ialah zakat pendapatan di mana jumlah zakat yang dikenakan zakat ialah 2.5% daripada jumlah pendapatan yang kita terima. Katakan gaji kita sebanyak RM2000 sebulan, maka 2.5% daripada gaji kita adalah sebanyak RM50. Maka RM50 ini akan kita keluarkan pada setiap bulan untuk membayar zakat. RM50 – tidak lebih dan tidak kurang daripada jumlah ini. 

RM50 dicampur dengan RM100 tadi, maka kita sudah berinfaq sebanyak RM150 sebulan. Tidak lebih dan tidak kurang kerana kita perlu menghargai setiap sen wang kita. Mudah bukan? Maknanya setiap bulan kita RM150 untuk beramal. Ini sudah tidak dikatakan kedekut. Tidak mengapa jika ada orang masih ada orang mengatakan anda kedekut. Usah pedulikan kata-kata orang.

Bagaimana dengan penggunaan telefon bimbit? Katakan ada orang berpendapatan RM5,000 sebulan tetapi dia hanya menggunakan telefon berharga RM70. Mesti ramai mengatakan ianya kedekut walhal dia mampu menggunakan telefon berharga RM2,000 kerana dia menghargai setiap sen wangnya. Pendek kata, takrifan kedekut itu tidak kena pada tempatnya untuk dilabelkan kepada diri seseorang.

Dengan kata lain, kita perlu menghargai setiap sen wang kita dan perlu bersedekah sebagai amalan kita. Jika kita perhalusi dengan apa yang kita katakan ini, bersedekah dan memberi nilai yang tinggi terhadap 1 sen sebenarnya tidak dapat pertentangan antara satu sama lain. Cuma kita yang tidak pandai meletakkan sesuatu pada tempatnya. Apa yang penting ialah kita perlu seimbangkan wang kita untuk melakukan sesuatu kerana dalam prinsip pengurusan kewangan, setiap orang perlu menghargai setiap sen wangnya.
                                                                                           
http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: