Tuesday, September 23, 2014

Bacaan al-Fatihah dalam Solat Berjemaah : Perbezaan Antara Mazhab Shafie dengan Mazhab Maliki, Hambali, dan Hanafi

1. Terdapat perbezaan antara mazhab Shafie dengan mazhab Maliki, Hambali, dan Hanafi mengenai bacaan al-Fatihah apabila solat berjemaah.

2. Mengikut mazhab Shafie seseorang makmun itu wajib membaca al-Fatihah apabila imam selesai membaca al-Fatihah. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad s.a.w. iaitu :
“Tidak ada solat bagi seorang yang tidak membaca ummul-Quran (yakni surah al-Fatihah)” Riwayat Imam Muslim 

3. Manakala bagi mazhab Maliki, Hambali, dan Hanafi seseorang makmun adalah tidak perlu membaca al-Fatihah apabila solat berjemaah dan apabila dia membaca al-Fatihah ia akan dikira sebagai makruh. Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah s.w.t. dalam Surah al-A’raf ayat 204 yang berbunyi:

“Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” al-A’raf : 204

Daripada ayat ini, dapat difahami bahawa seseorang itu perlu mendengar dan memahami apabila ayat-ayat al-Quran dibacakan. Atas dasar ini, seseorang makmun itu perlu mendengar dan menghayati surah-surah yang dibaca oleh imam apabila imam selesai membaca surah al-Fatihah. Bacaan al-Fatihah adalah ditanggung oleh imam mengikut mazhab Maliki, Hambali, dan Hanafi.

4. Begitulah perbezaan antara mazhab Shafie dengan ketiga-tiga mazhab yang lain. Ini adalah penting bagi kepada kita sebagai pengetahuan am kepada kita apabila bertemu atau berjumpa dengan umat Islam lain dari seluruh dunia khususnya sewaktu menunaikan ibadat haji kerana kita akan pelbagai ramai manusia dalam melakukan sesesuatu ibadat. Wallahua’lam.

No comments: