Monday, September 22, 2014

Menjatuhkan Kerajaan yang Zalim : Adakah Ini Merupakan Tuntutan yang Dianjurkan oleh Islam?

Minggu lepas kita digemparkan dengan hukuman yang dijatuhkan ke atas Adam Adli iaitu penjara selama 12 bulan di bawah Akta Hasutan kerana membuat kenyataan dalam satu perhimpunan supaya Kerajaan yang sah sekarang perlu digulingkan. Bagaimanakah dengan nasib Adam Adli kelak selepas dia keluar penjara? Amat menyedihkan apabila seseorang itu digelar bekas banduan. Bagaimana pula apabila dia memohon kerjaya pada masa hadapan? Bukankah setiap kali memohon sesuatu pekerjaan, kita perlu membuat pengakuan bahawa kita adalah bukan bekas banduan dan tidak pernah mengambil dadah? Semoga kita dijauhkan semua daripada perkara ini.

Mengapa kita perlu beria-ria untuk menjatuhkan kerajaan sekarang? Adakah kita ingin menumbangkan kerajaan yang zalim ataupun kita ingin sekadar merebut kuasa? Lihat sahaja dengan krisis Menteri Besar Selangor yang berlaku di kalangan pemimpin-pemimpin pembangkang. Mereka sering mendakwa bahawa mereka merupakan pemimpin yang bersih dan cekap. Namun apa yang berlaku pula ialah terdapat krisis kepimpinan di antara mereka. Ku sangka cerah sehingga ke petang namun hujan pula waktu tengah hari. Krisis yang berlaku di kalangan mereka juga menyebabkan Kedah terlepas kepada BN semula. Walhasil balik asal, walhasil balik hasil. Walhasil cari pasal, itu pasal tak jadi. Pendek kata, timbal terbalik yang berlaku antara pemimpin kerajaan dan pembangkang sama sahaja apabila mereka berkuasa.
Kononnya pemimpin Malaysia hari ini adalah zalim dan menindas rakyat. Adakah kita perlu menjatuhkan Kerajaan pemimpin yang dikatakan zalim ini melalui pilihan raya? Adakah Islam menuntut kita supaya menjatuhkan pemimpin yang zalim.
Sejarah telah menunjukkan bahawa apabila seseorang pemimpin sesebuah kerajaan yang zalim digulingkan atau dijatuhkan, akan muncul pula pemimpin  yang lebih zalim daripada pemimpin sebelumnya. Mustafa Kamal Attaturk pemimpin republik Turki jauh lebih kejam daripada Sultan-sultan Dinasti Uthmaniyah yang terakhir. Kerajaan Lenin menggantikan pemerintahan Tsar di Russia dengan pemerintahan komunis ternyata jauh lebih kejam daripada kerajaan sebelumnya. Kerajaan Iraq yang baru selepas Kerajaan Saddam Hussein digulingkan oleh tentera bersekutu pada tahun 2003 jauh lebih kejam daripada pemerintahan Saddam Hussein.
Sebenarnya, yang memberi kuasa kepada seseorang itu untuk berkuasa adalah Allah s.w.t. Allah s.w.t. berkuasa untuk menaikkan dan menjatuhkan sesuatu kerajaan. Siapakah kita sebenarnya untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan yang dikatakan zalim? Islam sebenarnya menganjurkan kita berdoa supaya kita memperbaiki diri sendiri dan berdoa kepada Allah s.w.t. supaya didatangkan segera pemimpin yang dijanjikan Allah s.w.t. apabila berdepan dengan pemimpin yang zalim.
Islam tidak mengajar kita merampas kuasa atau menjatuhkan pemimpin kerana menurut Islam, pemimpin adalah cermin masyarakat. Apa yang dilakukan oleh pemimpin sebenarnya merupakan cerminan sesebuah masyarakat. Baik masyarakat, baiklah pemimpinnya. Rosak masyarakat, rosaklah pemimpinnya. Corak pemerintahan dan pentadbiran, sikap dan akhlak pemimpin, dan segala yang berkaitan dengan pemimpin ada kaitan langsung dengan masyarakat. Ini selari dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud :
“Bagaimana keadaan kamu dengan amalan-amalan kamu maka begitulah keadaan pemerintah yang diletakkan ke atas kamu.”

Dalam sebuah hadis qudsi, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda lagi :
“Allah s.w.t. telah berfirman : Aku adalah Allah s.w.t. Tiada Tuhan selain aku. Akulah Tuan dan Raja segala Raja. Aku memegang hati-hati raja di dalam tanganKu. Apabila orang ramai (rakyat) mentaatiKu, Aku akan menukar hati raja-raja menjadi belas kasihan serta sayang ke atas mereka.
Apaila orang ramai (rakyat) mengingkariKu, Aku akan mengarahkan hati raja-raja ke arah kemarahan dan dendam ke atas mereka. Dengan demikian raja-raja akan meletakkan mereka dalam kesusahan dan penderitaan. Maka daripada kamu mengutuk mereka (pemimpin yang zalim), adalah lebih baik kembali mengingatiKu dan merayu kepadaKu supaya Aku dapat melindungimu daripada kekejaman mereka.”
Daripada hadis qudsi ini, dapat kita fahami bahawa apabila kita mentaati perintah Allah s.w.t., maka Allah s.w.t. akan anugerahkan kepada kita rahmat melalui pemimpin yang mempunyai sifat belas kasihan serta sayang kepada kita. Pendek kata, kita yang hidup dalam konteks bermasyarakat dalam sesebuah negara perlu melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran supaya Allah s.w.t. anugerahkan kepada kita pemimpin yang adil.
Oleh kerana Malaysia pada hari ini mengamalkan konteks demokrasi, kerajaan yang dikatakan zalim dan menindas rakyat dapat dijatuhkan melalui pilihanraya. Pun begitu, pihak pembangkang masih menunjukkan rasa tidak puas hati melalui demonstrasi jalanan apabila masih belum memenagi pilihanraya. Ini sudah tentu menimbulkan suasana yang tidak tentera di dalam negara.
Sejarah di seluruh dunia termasuk negara Islam dan bukan Islam telah menunjukkan bahawa apabila sesebuah kerajaan yang dikatakan zalim itu digulingkan, akan muncul pula kerajaan yang ternyata lebih zalim daripada pemerintah sebelumnya. Sebenarnya, apa yang perlu kita lakukan ialah mengharapkan rahmat Allah s.w.t. untuk mendapatkan pemimpin yang adil. Ini dilakukan dengan mentaati perintah Allah s.w.t. dan bukannnya secara membuta-tuli menjatuhkan kerajaan yang dikatakan zalim tersebut.

No comments: