Wednesday, November 26, 2014

Bilangan Talak Sebelum dan Selepas Zaman Pemerintahan Saidina Umar al-Khattab

Bilangan talak adalah berbeza sebelum dan selepas pemerintahan khalifah Saidina Umar al-Khattab yakni pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. dan Saidina Abu Bakar as-Siddiq.

Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. dan Saidina Abu Bakar as-Siddiq, status talak adalah  mengikut kepada bilangan talak tersebut dilafazkan dan bukannya jumlah talak tersebut dilafazkan.

Contohnya seseorang melafazkan talak pada kali pertama pada isterinya dengan melafazkan, "Aku menceraikan kau dengan talak tiga." Maka lafaz tersebut jatuh kepada talak satu kerana ia bergantung kepada bilangan lafaz tersebut dilafazkan yakni kali pertama ianya disebut.

Namun lafaz ini disalahguna oleh kaum suami ketika itu sehingga zaman Saidina Abu Bakar as-Siddiq kerana ia akan menganiaya kaum wanita disebabkan bilangan talak tersebut dipermainkan. Contohnya seseorang wanita itu dipermain-mainkan dengan dijatuhkan talak tiga walhal ia masih dikira talak pertama ketika itu.

Namun pada zaman Saidina Umar al-Khattab, beliau menetapkan bahawa status talak yang jatuh ialah bergantung kepada jumlah talak dijatuhkan dan bukannya bilangan kali keberapa talak tersebut dijatuhkan.

Contohnya seseorang itu menceraikan isterinya dengan talak tiga pada lafaz kali pertama, maka talak tersebut jatuh kepada tiga terus. Ini adalah untuk menjaga kemuliaan kaum wanita. Kaedah ini digunakan oleh keempat-empat imam mazhab iaitu Shafie, Hanafi, Hambali, dan Maliki. 

Pada zaman pemerintahan Saidina Usman Affan, berlaku kes di mana para suami yang berkahwin empat ingin menceraikan salah seorang isteri mereka apabila si suami akan meninggal dunia tidak beberapa lama lagi. Ini adalah bertujuan untuk mengelak salah seorang isteri menerima harta pusaka mengikut kaedah faraid apabila si suami meninggal dunia kelak.

Saidina Usman melarang si suami berbuat demikian. Maka jika si suami masih berbuat demikian, maka si isteri masih layak menerima harta pusaka walaupun si suami telah meninggal dunia.

Daripada kes-kes yang berlaku ini, dapat dilihat bahawa kaum wanita adalah dilindungi dan dimuliakan oleh Islam dalam kes perceraian.

Wallhua'lam.


http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: