Saturday, November 1, 2014

Mengharapkan Doa Malaikat di Pagi Hari

Jika kita mempunyai sesuatu hajat, kepada siapakah kita akan berjumpa supaya mereka boleh memohon untuk kita supaya hajat kita dimakbulkan oleh Allah s.w.t?

Sudah tentu kita akan berjumpa dengan tok-tok imam ataupun kenalan-kenalan kita yang mahir dalam ilmu agama supaya mereka boleh memohon untuk kita seperti membuat solat hajat dan sebagainya supaya doa mereka dimakbulkan untuk kita. Ini kerana doa orang-orang soleh ini kebiasaannya akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.
Bagaimana pula jika diberi peluang supaya malaikat boleh mendoakan untuk kita jika kita mempunyai hajat tertentu?
Tentu sahaja kita ingin meminta malaikat untuk berdoa untuk kita sekiranya kita mempunyai hajat tertentu kerana malaikat ini adalah bebas daripada dosa. Tetapi, kita tidak boleh meminta bantuan mereka ini untuk mendoakan untuk kita setiap masa.
Tetapi, kita hanya ada salah satu peluang untuk mengharapkan doa malaikat setiap hari. Tidak lain dan tidak bukan ialah mengharapkan doa malaikat setiap pagi.
Dari Abu Hurairah r.a. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
“Tidak ada satu subuh pun yang dialami hamba-hamba Allah kecuali turun kepada mereka dua malaikat. Salah satu di antara keduanya berdoa: “Ya Allah, berilah ganti bagi orang yang berinfaq”, sedangkan yang satu lagi berdo’a “Ya Allah, berilah kerosakan bagi orang yang menahan (hartanya)” Riwayat Bukhari
Daripada hadis ini, kita dapati bahawa ada malaikat yang mendoakan setiap pagi untuk orang yang mendermakan hartanya. Salah satu daripada mereka memohon supaya Allah s.w.t. menggantikan harta sesiapa yang bersedekah manakala salah satu lagi mendoakan kerosakan ke atas orang bakhil.
Ada suatu kisah di mana Nabi Muhammad s.a.w. mengaminkan doa yang dibacakan oleh malaikat bahawa celakalah sesiapa yang telah melalui bulan Ramadhan tetapi dosa-dosanya tidak diampunkan oleh Allah s.w.t. Sahabat-sahabat menangis apabila Nabi mengaminkan doa tersebut.
Bagaimana jika malaikat mendoakan kerosakan ke atas orang yang bakhil iaitu tidak bersedekah di pagi hari? Pastinya kita tidak ingin berlakunya ke atas diri kita.
Daripada hadis yang telah disebutkan boleh kita fahami bahawa kita dikehendaki untuk bersedekah pada setiap pagi kerana ada malaikat yang berdoa untuk kita. Cara kita untuk bersedekah terpulanglah pada kita semua. Wallhua’lam.

No comments: