Wednesday, December 31, 2014

Bedah Buku BSAD : Apakah Bakat Terpendam Anda?


Maklum balas yang diterima daripada pembaca buku Biar Sedikit Asal Diberkati (BSAD) ialah apakah bakat yang dimiliki oleh mereka? Kadang-kadang kita sendiri pun tidak tahu apakah bakat yang kita miliki yang kita boleh gunakan dan sekaligus boleh digunakan sebagai pendapatan sampingan kita.

Kita harus percaya setiap orang dilahirkan di dunia ini mempunyai bakat atau kemahiran masing-masing untuk meneruskan kehidupan mereka. Tanpa bakat atau kemahiran, mustahil seseorang itu boleh meneruskan kehidupan mereka di dunia ini.

Sebagai sebuah organisasi yang membantu keluarga miskin dan berpendapatan rendah, organisasi saya percaya bahawa setiap keluarga miskin mahupun berpendapatan rendah ini mempunyai kemahiran tertentu yang perlu digarapkan dan digunakan untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka. Pembiayaan yang diberikan bukanlah secara percuma tetapi pembiayaan yang diberikan ini diharap dapat dijana oleh mereka untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Contohnya ialah mereka mempunyai kemahiran menjahit tetapi tidak mempunyai modal untuk membuat bisnes menjahit. Oleh itu, pembiayaan disalurkan kepada mereka untuk membuat bisnes menjahit.

Baiklah, cuba anda renungi diri anda. Apakah kemahiran yang anda miliki? Mungkin anda mempunyai kemahiran-kemahiran berikut :

1. Menulis
2. Mengajar tuisyen
3. Membuat seminar
4. Menjual untuk membuat direct-selling
5. Lain-lain

Anda boleh cuba-cuba perkara-perkara di atas berdasarkan kepada minat dan kemahiran anda. Fokuslah dalam membuat sesuatu. Jangan buat kerja hangat-hangat tahi ayam dalam menjana pendapatan sampingan anda. Jika tidak membuahkan hasil, anda boleh mencuba perkara-perkara yang lain.

Jika anda berminat untuk membuat bisnes kek. Anda perlulah fokuskan untuk membuat kek sahaja. Banyak lambakan kursus-kursus yang dianjurkan di luar sana yang disediakan untuk orang-orang yang ingin belajar. Anda bolehlah mengasah bakat anda dengan menghadiri kursus-kursus ini.

Apa yang penting ialah anda janganlah cuba untuk membuat semua perkara dalam satu-satu masa kerana keupayaan kita adalah terhad. Ada 2 kaki, 2 tangan, dan 24 jam sehari. Fokus satu-satu perkara terlebih dahulu kemudian baru boleh beralih kepada yang lain setelah ianya berjaya. Insya-Allah.

http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: