Monday, February 23, 2015

Bakat : Prasyarat Utama Kejayaan Sesuatu Bisnes

Mempunyai duit yang banyak belum menjamin kejayaan sesuatu bisnes.

Mempunyai minat yang mendalam belum menjamin kejayaan sesuatu bisnes.

Mempunyai kabel atau orang dalam yang besar belum menjamin kejayaan sesuatu bisnes.

Bakat adalah syarat paling penting dalam menjamin kejayaan sesuatu bisnes.

Jika anda mempunyai duit setinggi gunung sekalipun tetapi jika anda tidak mempunyai bakat ia tidak akan membawa anda ke mana-mana dalam kejayaan sesuatu bisnes.

Pada hari ini, banyak syarikat-syarikat Kerajaan yang kononnya disenaraikan di Bursa Malaysia tetapi tidak membawa syarikat-syarikat tersebut ke mana-mana. Malah apa yang lebih malang lagi ia membuatkan pelabur-pelabur semakin rugi apabila melabur dalam syarikat-syarikat tersebut.

Lihat sahaja Felda Global Ventures Berhad (FGV) yang pada mulanya bertujuan mengambil alih bahagian perdagangan Felda yang sekarang sudah retak menanti belah. Mana tidaknya, saham-saham ini pada awal penawarannya dibuka pada 28 Jun 2012 yang naik mencanak dalam masa sehari iaitu daripada harga penawaran awal (IPO) bernilai RM4.55 naik kepada RM5.39. Seterusnya, jatuh merudum secara berterusan sehingga RM2.82 pada minggu lepas.  

Ini bermakna pelabur-pelabur saham FGV akan mengalami kerugian RM1.73 bagi setiap unit yang dibeli. Bagaimana dengan nasib puluhan ribu golongan peneroka Felda yang melabur dalam saham FGV ini?

Saya tidak ingin mengulas dari sudut politik dalam isu ini. Cuba kita teliti semula latar belakang FGV ini.

Adakah ia tidak mempunyai kabel atau networking yang kuat untuk bergerak?

Adakah ia tidak mempunyai modal yang besar untuk bergerak?

Adakah pihak pengurusan FGV tidak berminat untuk melihat FGV ini berjaya?

Sudah tentu sama sekali tidak kerana ianya sendiri dipimpin oleh yang berpengaruh dan mempunyai modal yang besar untuk bergerak.

Kita lihat pula sewaktu Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) ketika mula-mula ia ditubuhkan. Sebelum itu, urus niaga saham-saham di Malaysia adalah berpusat di Singapura. Apabila urus niaga saham di Singapura terjejas, maka ia secara tidak langsung memberi kesan kepada Malaysia. Mana mungkin sebuah negara merdeka harus bergantung kepada negara lain dalam urus niaga sahamnya.

Idea pemisahan BSKL ini sebenarnya dicetuskan dan dilakukan oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin. Apa yang terjadi selepas pemisahan bursa tersebut? 

Jangan terkejut bahawa urus niaga saham BSKL menjadi lebih besar daripada pasaran saham New York selepas itu!

Bolehkah kita membandingkan antara urus niaga FGV dan BSKL ini? Sudah tentu orang yang betul-betul berbakat sahaja yang boleh membawa kejayaan sesebuah syarikat.

Kinibiz melaporkan bahawa Tun Daim Zainuddin mempunyai aset bersih bernilai RM853 juta ketika beliau mula-mula menjadi Menteri Kewangan! Oleh itu, tidak hairanlah beliau (Daim) berjaya membawa urus niaga pasaran saham BSKL lebih besar daripada New York selain berjaya menyelamatkan ekonomi Malaysia daripada lembah kemelesetan.

Pokoknya, untuk berjaya dalam sesuatu bisnes apatah lagi untuk menjayakan syarikat-syarikat Kerajaan, seseorang itu perlulah mempunyai bakat. Bakat adalah pra-syarat utama dalam kejayaan sesuatu bisnes. 


http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: