Monday, March 30, 2015

Menerbit Buku Ibarat Menerbit Filem


Terdapat 2 jenis barang yang boleh dijual kepada orang ramai iaitu barang yang mempunyai jualan berulang dan barang yang tidak mempunyai jualan berulang.

Barang yang mempunyai jualan ulangan atau repeat sale adalah barang yang mempunyai permintaan yang berterusan sepanjang masa walaupun daripada seorang pelanggan. Contohnya ialah ubat kencing manis yang dijual oleh syarikat jualan langsung. Jika ubat tersebut baik, maka seseorang pelanggan akan terus membelinya dari semasa ke semasa.

Manakala barang yang tidak memerlukan jualan ulangan atau repeat sale ialah barang yang hanya dibeli sekali sahaja oleh pelanggan. Contoh yang mudah ialah menulis dan membuat jualan buku. Sesebuah buku tidak akan dibeli oleh pelanggan yang sama lebih daripada sekali. Jika beli lebih daripada sekalipun, ia hanya untuk dijadikan hadiah untuk rakan kenalan yang terdekat.

Jualan buku umpama jualan filem. Sesuatu filem akan panas dan meletup di panggung wayang sewaktu ianya mula-mula diterbitkan dan ditayangkan sahaja. Mungkin 3 bulan pertama sahaja. Selepas itu, ia mula menjadi suam-suam suku dan kemudian orang tidak menontonnya lagi selepas muncul lambakan filem baru selepas itu.

Contohnya pada tahun 2014, filem yang pecah panggung ialah Abang Long Fadhil yang mencatat kutipan sebanyak RM4.61 juta dalam masa 29 hari! Begitu juga dengan kutipan filem Balistik yang mencatat kutipan sebanyak RM2.27 juta dalam masa 21 hari! Kemudian, apabila masuk tahun 2015, muncul pula filem-filem baru yang menyebabkan filem-filem yang telah diterbitkan sebelumnya tenggelam.

Jika kita melihat proses sesebuah filem itu diterbitkan, ia mengambil masa 2 tahun walhal orang sebenarnya menonton sesebuah filem 2 jam sahaja! Begitu juga dengan buku, di mana seseorang itu mengambil masa hampir 2 tahun untuk menyiapkannya walhal seseorang pembaca boleh menghabiskan bacaannnya beberapa hari sahaja.

Tetapi kedua-duanya membawa pulangan lumayan jika kena caranya! Namun, usahlah kita bergantung kepada sesuatu produk sahaja untuk menerbitkan buku. Seseorang penulis itu perlu menerbitkan bukunya secara berkala supaya bisnes bukunya sentiasa segar sepanjang masa.

Umpama menulis blog. Ramai orang yang menulis blog dalam tempoh sekejap sahaja. Alasannya ialah tiada orang hendak baca. Sedarlah saudara bahawa untuk menulis itu memerlukan komitmen yang tinggi – Tidak mengharapkan duit daripada iklan nuffnang, komen pelawat dan sebagainya. Ianya adalah proses untuk mengejar kepuasan! Jika tulisan anda bagus dan sentiasa mengemaskini blog anda secara berkala, percayalah bahawa anda akan mempunyai peminat yang tersendiri!

Pendek kata, timbal terbalik menerbit filem dan buku sama sahaja di mana ia mencatat jualan panas ketika ia mula-mula diterbitkan sahaja.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogpot.com

No comments: