Wednesday, August 26, 2015

Kekalahan Iraq Dalam Perang Teluk Pertama, Kemenangan Moral Buat Umat Islam Iraq

Dalam Perang Iran-Iraq yang berlangsung selama 10 tahun pada tahun 1980 – 1988 kerana berebut kawasan perairan Shatt al-Arab yang menyaksikan kematian 400,000 umat Islam yang bertelagah sesama sendiri.

Kedua-dua pihak hanya berputih mata melalui perang ini kerana perairan ini akhirnya diisytiharkan antarabangsa manakala Iran dan Iraq mencapai kata sepakat untuk membuat genjatan senjata di bawah PBB.

Iraq yang mengalami perang selama 8 tahun ini memerlukan duit yang banyak untuk memulihkan ekonominya. Sumber ekonomi yang begitu ampuh bagi memulihkan ekonomi Iraq tidak lain dan tidak bukan ialah emas hitam yakni minyak.

Malangnya pada tahun 1990-an, Kuwait telah mengeluarkan minyak mentah secara berlebihan sedangkan permintaan adalah kurang. Ini menyebabkan Iraq tidak dapat untuk membuat keuntungan daripada hasil jualan minyaknya. Secara tidak langsung, Iraq mengambil keputusan untuk menyerang Kuwait.

Kesempatan ini telah diambil oleh Amerika Syarikat untuk menyerang semula Iraq. Malah, Amerika juga disertai oleh sekutu negara-negara Arab seperti Arab Saudi, Syria, Mesir, Syria, UAE, dan lain-lain lagi selain daripada negara-negara Eropah yang lain.

Bagi memecah pakatan Amerika Syarikat-Negara-negara Arab ini, Saddam Hussein merancang untuk mengheret Israel memasuki kancah peperangan ini. Apabila Israel menyertai pakatan Amerika Syarikat, secara automatiknya negara-negara Arab tidak akan bersekongkol dengan Israel untuk menyerang Iraq. Ini merupakan seorang strategis yang berani dan tegas oleh Saddam untuk melancarkan perang ke atas Israel. Oleh sebab itu, Saddam Hussein bersama pemimpin-pemimpinnya yang lain melancarkan peluru berpandu Scud ke atas Israel.

Israel yang dikatakan mempunyai sistem pertahanan yang canggih di dunia tidaklah sehebat mana kerana berjaya ditembusi oleh 39 buah peluru berpandu jenis Scud dari Iraq. Hakikatnya ia tidaklah sehebat mana. Walaupun pada mulanya Iraq menggembar-gemburkan bahawa pelurunya racun yang boleh memusnahkan sistem saraf manusia, ia tidaklah mempunyai apa-apa melainkan sekadar bom sahaja kerana bimbang Israel akan melancarkan nuklear ke atasnya semula.

Walaupun Iraq telah kalah perang teluk pertama. Ia masih memenangi kemenangan moral. Kekalahan Saddam bukanlah secara total sehingga terpaksa melepaskan kuasa politik kepada Amerika Syarikat seperti yang berlaku pada tahun 2003 malah terus berjaya mengukuhkan kedudukan beliau. Tetapi, ia menyaksikan perletakan jawatan Presiden Amerika Syarikat iaitu George H. Bush (Bapa George W. bush) dan Perdana Menteri Britain ketika itu iaitu Margaret Thatcher.

Iraq didenda dalam perang ini dengan perlu membayar ganti rugi ke atas kemusnahan yang dilancarkan ke atas Israel di mana Iraq perlu membayar 10 bilion Dolar ke atas setiap peluru berpandu Scud yang dilancarkan ke atas Israel. Wang ini digunakan oleh Israel untuk terus membina penempatan-penempatan baru di Tebing Barat (Kurang ajar kan?)

Walaupun begitu, Iraq menang daripada segi moral daripada peperangan ini kerana berjaya menerobos sistem pertahanan Israel.

Tuesday, August 18, 2015

Kedah-kaedah untuk Menulis Buku

Kalau kita perasan, banyak kaedah-kaedah buku yang ditulis. Antaranya ialah :

1. Berdasarkan Pengalaman Sendiri

Biasanya buku-buku ini merupakan buku bisnes atau pengurusan wang. Buku yang paling popular ialah buku mengenai bisnes atau pelaburan hartanah. Sudah tentu orang-orang yang berjaya membuat bisnes atau mengurus ingin menulis semula tip-tip yang dibuatnya untuk dikongsi dengan orang lain. Contohnya, saya telah menulis buku ‘Biar Sedikit, Asal Diberkati’ yang berkongsi pengalaman saya mengenai pengurusan kewangan.

Orang suka membaca buku-buku bisnes. Contohnya buku yang ditulis oleh Azizi Ali adalah berkisar mengenai pelaburan hartanah walhal beliau sebenarnya telah berkecimpung dalam hartanah sejak tahun 1980-an lagi. Sudah tentu jika anda ingin menulis buku mengenai bisnes ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk anda menulis mengenai pengalaman bisnes anda melainkan anda tidak merancang untuk menulis buku ini setelah anda berjaya.

Jika anda ingin mendapatkan buku-buku mengenai bisnes, anda carilah penerbit Truewealth kerana ia sememangnya penerbit buku-buku bisnes yang original. Buku-bukunya memang tiada di dalam google dan sememangnya ia benar-benar berkualiti.

Jika anda ingin menjadi penulis Truewealth pun tidak mengapa iaitu menulis buku-buku bisnes. Akan tetapi, tempoh komitmen anda bersama Truewealth ialah sekurang-kurangnya 4 buah buku. Ini bermakna sekali anda telah menerbitkan buku bersama Truewealth, anda tidak boleh lari untuk menerbit buku-buku anda yang seterusnya dengan syarikat-syarikat penerbitan yang lain sehinggalah anda telah menerbitkan buku anda bersama Truewealth sebanyak 4 buah buku. Ini amalan biasa mana-mana syarikat penerbitan kerana telah memasyhurkan nama anda sebagai penulis glamour di seluruh negara.

Tidak kurang daripada itu ada buku yang menulis mengenai pengembaraan penulis khususnya ketika belajar di luar di negara. Ketika ini gambar-gambar menarik diambil untuk dihias di dalam buku anda. Saya tertarik dengan buku Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman yang menulis buku ‘Jangan Berhenti Berlari’ iaitu buku mengenai pengalaman beliau menyambung pelajaran master dan PhD di luar negara. Apa yang lebih menarik ialah buku-buku ini diselitkan dengan gambar-gambar beliau ketika belajar di luar negara. Buku ini juga boleh saya kategorikan sebagai buku motivasi.

2. Berdasarkan kajian atau penyelidikan yang mendalam

Salah satu hendak menulis buku yang berkualiti ialah menulis dengan merujuk sumber-sumber yang berkualiti. Biasanya buku-buku ini adalah tertumpu pada teori-teori konspirasi, peristiwa-peristiwa akhir zaman, tokoh-tokoh, sejarah, dan sebagainya.

Anda tidak perlu mengembara tetapi perlu banyak pembacaan dengan membaca buku-buku yang berkualiti. Di dalam anda menulis, anda usahlah menulis secara semberono sahaja malah anda perlu ada target bahawa buku-buku yang anda tulis dan terbitkan nanti merupakan buku-buku yang evergreen iaitu buku-buku yang tetap orang cari dan baca walaupun anda sudah meninggal dunia. Lihat sahaja buku William Roff yang banyak menulis mengenai masyarakat melayu di Asia Tenggara. Buku-buku beliau tetap menjadi rujukan pengkaji-pengkaji walaupun beliau telah meninggal dunia.

Tidak kurang juga buku Prof Hamka iaitu buku ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang menjadi kegilaan penerbit-penerbit di Malaysia kerana boleh membuat keuntungan yang berganda daripada buku ini kerana satu rahsia. Rahsianya ialah buku-buku ini merupakan buku yang bertaraf ‘evergreen’ bahkan ada yang menyifatkan bahawa watak utama novel ini merupakan beliau sendiri melalui penceritaan dan pengolahan susur galur cerita novel ini.

Buku-buku teori konspirasi memang terhangat di pasaran bahkan dipromosikan secara percuma di blog-blog jika cuba google buku-buku ini. Saya tertarik dengan buku-buku tulisan Ibnu Yaacob yang menulis buku teori-teori konspirasi secara bersiri seperti Rahsia Simbol Yahudi, Rahsia Rothschild, Rahsia Simbol Yahudi dalam Filem, dan lain-lain kerana kajian beliau memang betul-betul luar biasa. Tetapi, apabila saya google, saya mendapati bahawa apa yang telah diperbincangkan dalam buku-buku ini memang terdapat dalam wikipedia.com. Hebat bukan?

3. Berdasarkan imaginasi anda

Jika anda merupakan seorang pelajar aliran sastera ketika belajar sewaktu sekolah menengah atas, ada kemungkinan anda boleh menjadi penulis novel yang berbakat kerana apabila berada di aliran sastera, anda banyak menggunakan pemikiran otak sebelah kanan. Saya mungkin silap. Tetapi rata-ratanya adalah sukar untuk mencari orang daripada aliran sains ingin menulis novel.

Macam saya. Saya aliran sains dan saya tidak mampu menulis novel walaupun satu perenggan walaupun saya boleh mengemaskini blog setiap minggu dan boleh menulis dan menerbitkan buku saya yang pertama iaitu Biar Sedikit, Asal Diberkati kerana saya bukannya boleh menulis penulisan bersifat fiksyen.

Tuah ayam nampak di kaki dan tuah anda mungkin di tangan anda sekiranya anda boleh menulis manuskrip novel berjela-jela sehingga mencecah 700 mukasurat. Industri penulisan novel memang panas di Malaysia.

Ini sahaja tip-tip yang dapat dikongsi oleh saya. Terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Tuesday, August 11, 2015

Penulisan – Apakah Sisi Kemahiran Anda?


Jika kita tengok dalam industri kereta, tidak kira sama ada Toyota, Proton, Mercedes, Volvo, BMW, dan sebagainya. Mereka semua mempunyai kelebihan masing-masing dari segi tertentu di mana pesaingnya tidak boleh mencabarnya dalam sudut tertentu. Contohnya, dalam segi keselamatan kereta, tiada sesiapa yang boleh bersaing dengan Volvo kerana syarikat ini memang pakar dalam ciri-ciri keselamatan kereta.

Dalam penulisan contohnya, ianya banyak genre seperti novel, agama, motivasi, kewangan, dan sebagainya. Setiap genre ini pula mempunyai peminat-peminat atau pembaca-pembacanya sendiri. Macam saya contohnya, saya tidak meminati novel. Dan saya cuba buat-buat minat dan cuba ingin menulis novel tetapi minat ini tidak dapat diterjemahkan dengan sempurna di dalam diri saya.

Saya juga tidak meminati tulisan-tulisan santai dan hanya meminati tulisan non-fiksyen seperti kewangan, sejarah, politik, ekonomi dan sebagainya. Walaupun ada buku-buku yang panas di pasaran. Kadang-kadang saya tidak membelinya kerana ia tidak memenuhi minat saya. Habis kuat pun setakat membelek-belek sahaja apabila dijual di kedai. Apakah maksudnya di sini? Ini bermakna setiap orang mempunyai minat masing-masing.

Bukan juga dengan diri kita, malah syarikat penerbitan pun mempunyai pengkhususannya sendiri. Seperti Truewealth – Bisnes, Telaga Biru – Agama, Alaf 21 – Novel, dan sebagainya. Walaupun jualan novel sentiasa laris dari semasa ke semasa, anda jangan bimbang jika anda tidak pandai menulis novel kerana dengan menulis buku-buku bukan fiksyen sekalipun, buku-buku ini sebenarnya boleh menjadi buku-buku panas.

Lihat sahaja buku Jutawan dari Planet Jupiter tulisan Azizi Ali. Walaupun buku ini sebenarnya adalah berkisah mengenai pengurusan kewangan – suatu topik yang berat, Azizi Ali berjaya mengubah landskap penerbitan buku-buku kewangan di Malaysia.

Lihat sahaja buku Rich Dad, Poor Dad, buku tulisan Robert Kiyosaki mengenai pengurusan kewangan yang menjadi kiblat pembaca-pembaca di seluruh dunia. Beliau berjaya mengolah topik pengurusan kewangan dengan mengaitkannya dengan ayah kandung dan ayah tiri beliau.

Pendek kata, semua genre buku yang anda tulis mampu menjadi best-seller jika anda mampu mengolah fakta-fakta penulisan anda. Tahukah anda bahawa 90 peratus buku yang berada di rak-rak buku kedai buku adalah ditulis oleh penulis yang masih belum dikenali?

http://wankamarul701.blogspot.com

Monday, August 10, 2015

Ledakan Emosi Tidak Akan Kalah kepada Emas

Sekiranya kita sentiasa menyimpan wang RM100 setiap bulan, maka pada bulan ini kita akan lebih kaya sebanyak RM100 berbanding bulan lepas. Begitulah seterusnya dari bulan ke bulan dari tahun ke tahun. Kita akan bertambah kaya sebanyak RM100 pada setiap bulan.

Bagaimana jika sudah sampai satu tahap, jika duit simpanan kita ini sudah banyak dan boleh mengabui mata kita? Mengabui mata kita dengan kata lain ialah kita akan teruja apabila duit simpanan kita sudah bertambah banyak dan kemudian terpengaruh dengan perkara-perkara lain untuk membelinya dengan menggunakan duit simpanan ini.

Pendek kata, emosi kita akan kalah kepada wang apabila wang kita sudah bertambah banyak. Apabila kita sudah mempunyai simpanan sebanyak RM10,000. Maka, akan terlintas di fikiran kita apa salahnya membeli gajet yang bernilai RM2,000 kerana baki wang simpanan kita akan tinggal RM8,000 lagi walhal kita masih menyimpan pada setiap bulan. Benar bukan?

Dalam buku Biar Sedikit, Asal Diberkati, saya ada menulis bahawa wang di hadapan mata tidak akan dapat disimpan kerana kita akan teruja untuk menggunakan wang tersebut sampai tahap tertentu. Oleh itu, kita perlu menyimpan wang kita di tempat-tempat yang tidak boleh dicapai oleh tangan kita.

Satu lagi rahsia yang ingin saya kongsikan kepada anda supaya simpanan kita sentiasa bertambah. Caranya ialah dengan cara membeli emas! Emosi kita tidak akan kalah kepada emas! Emas juga salah satu untuk menyimpan duit kita daripada dicapai oleh tangan kita walaupun ianya berada dalam laci almari kita.

Emas dengan kata lain ialah emas dalam bentuk fizikal ataupun jongkong. Bukannya dalam bentuk akaun emas dengan anda membeli emas secara virtual di atas kertas.  Satu lagi, jika anda membeli emas secara virtual, jual beli anda tidak sah kerana kaedah ini tidak dibenarkan syarak.

Emas sekarang ini mudah didapati yakni hanya membeli di kedai-kedai tukang emas terpilih seperti Poh Kong, Habib Jewels, Public Gold, dan sebagainya. Ianya dijual dalam bentuk gram sama ada 1 gram, 5 gram, 10 gram, 20 gram,100 gram dan sebagainya.

Namun harus diingatkan di sini bahawa emas jongkong seberat 1 kilogram adalah tidak popular untuk dibuat pelaburan. Ini disebabkan adalah nilainya adalah sangat tinggi dan membuatkan orang lain sukar untuk membeli atau menebus emas anda. Berat maksimum yang ideal untuk dibuat pelaburan emas ialah sebanyak 100 gram.

Emas juga salah satu bentuk insrumen untuk anda menyimpan sambil melabur. Jika anda menyimpan jongkong emas dalam almari baju sekalipun, harganya akan tetap naik jika anda menebusnya pada masa akan datang.

Namun harus diingatkan di sini bahawa harga emas ada naik turunnya seperti mata wang dan juga minyak. Waktu harga emas turun biasanya adalah selepas hari raya. Waktu sekarang adalah sesuai untuk anda membeli emas kerana harga emas terus menurun pada bulan Ogos ini. Saya ada terbaca satu artikel bahawa harga emas ini diramalkan akan naik semula pada bulan November ini.

Anda jangan bimbang sekiranya anda tiada wang saat-saat kecemasan tatkala anda sudah menukarkan semua wang anda kepada emas. Emas-emas ini sebenarnya boleh dipajak (ar-Rahn) di kedai-kedai pajak terpilih sekiranya anda memerlukan wang.

Nilai yang anda perolehi adalah sebanyak 70 peratus daripada nilai semasa emas anda. Jika emas anda seberat 20 gram dan harga semasa emas ialah RM180. Maka anda akan memperolehi 70 peratus daripada RM3,600 (20 gram x RM180) iaitu sebanyak RM2,520. Anda boleh menebusnya semula selepas itu dengan upah sebanyak 2 peratus sebulan daripada kedai pajak gadai.

Harus ditegaskan di sini bahawa menyimpan wang adalah jalan untuk anda membina kekayaan dan bukannya salah satu skim cepat kaya yang menjanjikan dividen pada setiap bulan. Bukan membeli emas pada bulan ini dan ingin membuat untung pada bulan hadapan dengan menjualnya. Sekurang-kurangnya membuat anda target keuntungan daripada emas anda daripada hasil jualan sekurang-kurangnya untuk tempoh 2 tahun. Bergantung kepada nilai emas semasa.

Wallhua’lam.


http://wankamarul701.blogpot.com

Monday, August 3, 2015

Tajuk Kecil Sesebuah Buku Boleh Diterbitkan Sebagai Buku Bestseller

Adakah anda perasan apabila anda membaca sesebuah buku, anda mungkin tertarik dengan tajuk-tajuk atau bab-bab yang dibincangkan dalam sesebuah buku tersebut?

Bagaimana jika anda kembangkan idea tajuk-tajuk kecil ini dan jadikan ianya sebuah buku bestseller? Idea ini boleh diolah dengan anda mengolah tajuk-tajuk ini dengan membuat lebih sedikit pembacaan dan kajian untuk memanjangkan penulisan anda.

Jika anda ada rezeki, berpuluh-puluh ribu anda boleh hasilkan daripada penjualan buku ini.

Jika anda lihat tajuk buku ‘Dracula vs al-Fateh’ terbitan PTS, sebenarnya tajuk ini ada dibincangkan dalam buku ‘Kuasa Kepemimpinan al-Fateh’ yang juga terbitan PTS di bawah tajuk kecil ‘Keganasan Dracula dan Salib Ke Atas Usmaniah dan Umat Islam di Wallachia’.

Pokoknya adalah ‘Dracula’. Masyarakat hanya fikir Dracula hanya merupakan cerita hantu mat salleh walhal ianya memang wujud. Apabila buku ‘Dracula vs al-Fateh’ berada di pasaran, ia sudah menjadi buku bestseller sehinggakan saya melihat cetakan pertama buku ini sudah 12,000 naskah dalam laman web PTS!

Mungkin ianya kebetulan. Namun poin saya di sini ialah kita boleh kembangkan tajuk sesebuah buku untuk menjadikan sebuah buku bestseller.

Satu lagi yang saya perasan ialah buku ‘Mudahnya Menjemput Rezeki’ tulisan Ustaz Fathuri Sallehuddin. Sebenarnya dalam buku ‘Magnet Rezeki Dengan Solat Duha’ tulisan Muhammad Mokhtar ada menulis bab ke-4 yang bertajuk ‘Bangkit Menjemput Rezeki’ dalam buku beliau.

Pokoknya di sini ialah ‘Menjemput Rezeki’. Di sini, Ustaz Fathuri Sallehuddin berjaya mengubah persepsi masyarakat bahawa rezeki sebenarnya perlu dijemput dan bukannya dicari walhal dalam buku Muhammad Mokhtar sudah membincangkan mengenai ‘Bangkit Menjemput Rezeki’ dengan Solat Duha walhal sebenarnya banyak lagi cara untuk menjemput rezekit sepertimana yang dibincangkan dalam buku ‘Mudahnya Menjemput Rezeki’. Mungkin ini satu kebetulan.

Saya tidak kata penulis-penulis ini mencuri idea orang lain untuk menulis buku mereka. Tetapi apa yang saya ingin sampaikan ialah kita boleh kembangkan idea-idea menarik dalam sesebuah buku yang dibaca untuk dijadikan buku lain yang lebih menarik.

Anda bagaimana?

ps : Saya tidak dibayar untuk mempromosikan buku-buku ini.



http://wankamarul70.blogspot.com