Wednesday, June 29, 2016

Pengunduran Husni Hanadzlah Menimbulkan 1,001 Persoalan

Pengunduran Husni Hanadzlah daripada kabinet Mohd. Najib menimbulkan 1,001 persoalan ketika negara berdepan dengan cabaran isu 1MDB. Mohd. Najib ketika mengumumkan kabinet baru beliau menyatakan bahawa Husni meletak jawatan kerana sebab-sebab peribadi. Apa yang lebih penting lagi perletakan jawatan ini adalah jawatan yang merupakan portfolio teras dalam kabinet – Kementerian Kewangan.
 
 
Jika seseorang menjawat Menteri Kewangan penuh, maka beliau merupakan orang yang ketiga paling berkuasa di Malaysia selepas Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Malangnya, pada hari ini Menteri Kewangan penuh dijawat oleh Perdana Menteri sendiri.

Umum mengetahui bahawa perletakan jawatan Husni adalah berhubungkait dengan isu 1MDB di mana ketika beliau menjadi Menteri Kewangan Kedua, beliau menjadi jurucakap bagi isu ini. Sudah tentu beliau mengetahui selok-belok dan sepak terajang dengan apa yang berlaku dengan krisis dalaman 1MDB ini.

Tidak kurang daripada itu, selepas satu hari pengumuman kabinet baru Mohd. Najib, Husni meletak semua jawatan dalam Umno dan juga BN – Bendahari Umno dan Bendahari Agung BN, Timbalan Pengerusi Umno Perak, Timbalan Pengerusi BN Perak, Ketua Umno Bahagian Tambun, dan Pengerusi Parlimen Tambun.

Jarang sekali kita boleh melihat pemimpin-pemimpin di Malaysia berhenti ketika berada di tengah-tengah puncak kuasa politik. Namun, mungkin apa yang berlaku kepada Husni adalah kerana tidak mahu bersekongkol dengan kemungkaran apa yang berlaku dalam kabinet mahupun parti Umno itu sendiri.

Berlainan dengan Muhyiddin dan Mukhriz, Husni tidak mengambil jalan seperti kedua-dua tokoh ini pergi menghentam Najib di depan khayalak umum. Natijahnya, maruah kedua-dua orang pemimpin ini diaibkan apabila disingkirkan daripada Umno sendiri yang sudah tentu sedang desperate dalam mengukuhkan kedudukan Presiden dan perpaduan ahli-ahlinya dalam menghadapi PRU akan datang.

Kerjasama politik dengan pembangkang merupakan satu tindakan murahan kerana mengharapkan sokongan lawan sendiri bagi meraih simpati politik. Husni tidak mengambil jalan ini apabila meletak noktahnya sendiri dalam kerjayanya dengan berundur secara terhormat. Beliau tidak mengambil jalan berisiko dengan seseorang itu digugurkan daripada kabinet

Dalam politik, jasa-jasa seorang pemimpin boleh dikenang ataupun boleh dilupakan. Pengunduran Husni adalah ketika masyarakat masih memerlukan khidmat beliau. Jika semua menteri mengambil tindakan seperti beliau, sudah tentu amat sukar bagi Mohd. Najib mencari pengganti yang boleh menutup dosa-dosa beliau.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my

No comments: