Tuesday, July 18, 2017

Hukuman Sebat atau Ilmu Fadhu Ain Perlu Diutamakan?

Pada hari ini, seluruh masyarakat hangat membincangkan mengenai hukuman sebat secara terbuka yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan. Ada kenyataan dangkal yang dikeluarkan oleh seorang bekas menteri yang menyatakan Kerajaan Kelantan akan melaksanakan hukuman kuno dan barbaric yang kononnya bertentangan semangat perlembagaan yang diasaskan pada tahun 1963.

Namun, dalam kehangatan memperkatakan dan membicarakan hukuman sebat ini, masih ramai di kalangan masyarakat masih tidak tahu mengenai fardhu ain. Semalam, saya berkesempatan mendengar persoalan-persoalan yang dilontarkan kepada seorang penceramah dalam radio.

Antara persoalan-persoalan yang pernah dilontarkan kepada beliau ialah :

1. Bagaimanakah hendak mandi wajib? Sedangkan ibu bapa mereka sendiri pun tidak pernah mandi wajib.

2. Jika anak perlu dirotan sekiranya tidak pernah mendirikan solat setelah mencapai umur tertentu, adakah anak tersebut perlu dirotan sekiranya ibu bapa mereka sendiri pun tidak pernah mendirikan solat selama 40 tahun?

3. Apakah solat terawih itu dan bagaimana ianya dilaksanakan? Apabila penceramah tersebut menyatakan bahawa solat tersebut perlu dilaksanakan dengan sembahyang 2 rakaat 1 salam, orang yang bertanya kepada beliau pula bertanya semula, apa itu sembahyang 2 rakaat 1 salam?

4. Sumbang mahram banyak berlaku di kalangan adik-beradik mereka sendiri ketika ibu bapa mereka tiada di rumah. Tambah beliau lagi.

Nah, begitulah pincang sekali tentang masyarakat kita pada hari ini. Dalam pada itu, apakah perlu diberi penekanan sekarang? Adakah ilmu fardhu ain ataupun hukuman hudud yang perlu diberi perhatian dalam keadaan masyarakat carca-marba sekarang?

Ini adalah tanggungjawab kita semua sebagai orang yang tinggal dalam sesuatu masyarakat. Kita tidak boleh berharap perkara-perkara buruk ini tidak berlaku dekat keluarga sendiri dengan berharap agar tidak berlaku kepada keluarga mereka sendiri. Inilah tanggungjawab berdakwah. Menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Wallahua'lam.


Friday, July 14, 2017

Tulisan Zam yang Merosakkan Akidah

Artikel dipetik daripada blog Zamkata yang bertajuk Nazri Mendapat Produk Baru Untuk Tarik Pelancong ke Kelantan.
 
"Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Dato' Seri Mohamad Nazri Aziz tentulah sangat gembira dengan langkah Kerajaan Pas Kelantan hendak melaksanakan hukuman sebat dikhalayak ramai terhadap pesalah RUU355 (Tatacara Hukuman Jenayah Syariah2002(Pindaan2017) bila dikuatkuasakan di Kelantan kelak.

Ini akan menjadi product baru pelancongan Malaysia untuk dijual oleh Nazri di luar negara  bagi membolehkan orang bukan Islam terutama dari negara maju menyaksikan hukuman ikut cara kuno dan barbaric di sebuah negara demokrasi dan  moden Malaysia.

Walaupun ini dilaksanakan di Brunei dan Arab Saudi tetapi perlaksanaannya di Malaysia adalah lebih menarik perhatian kerana kedua negara itu bukan negara demokrasi sebaliknya negara pemerintahan beraja.

Pelancong-pelancong bukan Islam yang tidak dapat menyaksikannya di tanah haram Arab Saudi tentulah akan bertumpu ke Malaysia kerana disini tidak ada sekatan.

Langkah ini juga boleh dipromokan oleh Nazri di kalangan negara-negara Arab  sebagai usaha  membantu memperbaiki  imej Arab Saudi  yang  masih mengekalkan cara hukuman yang tidak bertamadun. Tentunya dengan itu Arab Saudi  akan meningkatkan quota bilangan jemaah Haji Malaysia ke Mekah.

Walaupun Brunei  melaksanakan hukuman-hukuman Islam yang keras ke atas mereka yang melanggar dosa-dosa besar dalam  Islam tetapi Brunei dan Saudi bukanlah negara Islam yang democratic seperti Malaysia yang mahu dikenali sebagai negara pasaran bebas, liberal dan  berbilang kaum dan agama yang mendedahkan  rakyatnya melihat ketidakadilan undang-undang terutama atas kesalahan jenayah.

Walapun langkah ini akan dilaksanakan hanya di negeri Islam Pas tetapi ia tetap menjejaskan imej Kerajan Barisan Nasional khususnya UMNO kerana diketahui bersubahat dengan Pas bagi melaksanakan hukuman itu. Dunia tentu tertanya bagaimana sebuah kerajaan negeri yang dogmatik, mundur dan miskin boleh menekan Kerajaan Pusat dibawah pimpinan golongan terpelajar.

Lebih menyedihkan ialah penguatkuasaaan undang-undang ini kelak merupakan  pengkhianatan terhadap  perjuangan dan asas kemerdekaan negara yang diletakkan oleh  pengasas-pengasas   UMNO terutama Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail yang telah membina imej  perkongsian kuasa untuk membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang bertolransi , harmony,liberal , moden dan demokratik yang setaraf dengan negara-negara maju lain di dunia."

 
Komen Saya :

Saya pun terkejut tulisan oleh seorang bekas menteri bergelar Tan Sri boleh menulis artikel yang menghina hukum Allah s.w.t. Apa yang saya sangat kesal ialah Zainuddin Maidin menyatakan hukuman sebat di khayalak ramai merupakan hukuman kuno dan barbaric serta tidak bertamadun. Saya pasti para pembaca semua maklum bahawa mempersendakan hukum Allah s.w.t. boleh merosakkan akidah seseorang apatah lagi dengan sengaja.
 
Apa yang lebih teruk lagi, Zam secara sinis mencadangkan kepada Nazri Aziz supaya pelaksanaan hukuman sebat ini boleh dijadikan modal untuk menarik para pelancong ke Kelantan.
 
Nasihat saya berhati-hatilah apabila kita bersama-sama dengan golongan yang mempersendakan Allah s.w.t. Saya tidak nafikan Zam mempunyai kelas tersendiri apabila dirinya menulis. Tetapi, apabila beliau bercakap mengenai agama khususnya hukuman hudud, tulisannya memang hancur.
 
Wallahua'lam.

Tuesday, July 11, 2017

Apabila Masjid Menjadi Tempat Berkumpulnya Rahmat Allah s.w.t.

Apabila masjid menjadi tempat berkumpulnya rahmat Allah s.w.t., maka orang-orang yang pergi ke masjid sudah tentu membawa pulang rahmat Allah s.w.t. apabila pulang ke rumah masing-masing.

Rahmat ini boleh didatangkan dalam pelbagai bentuk dan salah satunya itu adalah ilmu-ilmu agama yang disampaikan oleh para penceramah.

Ilmu-ilmu ini yang kadang-kadang membuatkan saya terfikir. Yang salah satunya dari seorang penceramah yang membuatkan saya teringat-ingat sehingga pada hari ini yang menyatakan bahawa Umno merupakan parti kafir! Dan orang-orang yang bersama menyokong mereka tetao dikira menentang hukum Allah s.w.t.!

Apabila kita mati nanti, terdapat empat jenis golongan di Alam Kubur dan salah satunya ialah orang yang langsung tiada bekalan di akhirat nanti walaupun telah membuat amal ibadat ketika berada di dunia. Amalan ini disebabkan oleh pegangan akidah yang tidak betul. Salah satunya ialah menganut fahaman sekularisme.

Sudah tentu apa yang kita boleh faham ialah Umno mengamalkan fahaman sekularisme dalam sistem pemerintahan Negara. Perkara ini juga yang kadang-kadang boleh membuatkan akidah kita rosak tanpa kita sedari.

Apabila saya mendengar ceramah Ustaz Azhar Idrus, banyak beliau menjawab balik jawapan-jawapan agama Dr. Mashitah yang amat terpesong dari jawapan yang sebenar mengenai perkara-perkara fardhu ain.

Antaranya ialah Dr. Mashitah seseorang yang keluar air mazi wajib mandi junub walhal mandi junub tidak diwajibkan jika keluar air mazi. Dr. Mashitah juga menyatakan seseorang wanita itu boleh menyambung puasa kafarah sekiranya datangnya haid untuk tempoh 2 bulan walhal seseorang wanita tidak dikenakan puasa kafarah jika berjimak di bulan puasa sebaliknya dikenakan ke atas golongan lelaki sahaja.

Menurut Ustaz Azhar Idrus, inilah jenis golongan agamawan yang tiada keberkatan kerana bersekongkol dengan pihak menentang hokum Allah s.w.t. (Umno). Dan apabila mengeluarkan jawapan mengenai persoalan paling asas (fardhu ain), maka beliau Dr. Mshitah memberi jawapan yang mengarut kepada masyarakat.

Ada yang menyatakan bahawa Umno membawa kemajuan kepada Malaysia dengan membina bangunan-bangunan pencakar langit berbanding golongan agama yang tiada apa-apa yang dibawa untuk kemajuan Negara.

Sebenarnya, perkara ini sudah berlaku di zaman firaun dan Nabi Musa. Ketika itu, firaun sudah membina bangunan yang canggih-canggih di zamannya yang menunjukkan kecintaannya kepada dunia. Manakala Nabi Musa tiada apa-apa untuk dibawa melainkan menyampaikan wahyu Allah s.w.t.

Jika kita orang awam ketika itu, pihak manakah yang kita akan ikut? Orang yang membawa kemajuan dunia atau sebaliknya?

Inilah yang dinisbahkan kepada realiti pada hari ini iaitu cintakan dunia. Pihak manakah perlu kita ikut? Adakah pihak cintakan dunia dengan membawa pembangunan yang berselindung di sebalik slogan-slogan agama ataupun pihak yang memperjuangkan agama semata-mata?

Apa yang membimbangkan kita ialah akidah kita boleh rosak andainya kita menyokong atau bersekongkol dengan golongan menentang hukum Alllah s.w.t. Marilah kita bersama-sama berfikir semula golongan manakah kita perlu ikut dan golongan manakah kita perlu tinggalkan.

Wallhua'lam.

http://wankamarul701.blogspot.my

Thursday, July 6, 2017

Mutiara Kata


"Jika ingin melihat orang Islam, datanglah ke masjid pada hari raya Aidilfitri. Tetapi, Jika ingin melihat orang beriman, datanglah ke masjid pada waktu subuh." Hamka

Monday, July 3, 2017

Helah yang Keji


Kita sudah tentu biasa mendengar helah pada bulan puasa iaitu makan dahulu sebelum berjimak. Ini disebabkan jika berjimak terus ketika berpuasa pada bulan puasa seseorang itu perlu kafarah yang antaranya ialah perlu membebaskan seorang hamba, berpuasa selama 60 hari berturut-turut, atau memberi makan kepada 60 orang fakir miskin mengikut kemampuan masing-masing. Maka untuk mengelak kafarah ini, seseorang itu perlu makan dahulu sebelum berjimak.

Saya pertama sekali mendengar perkara ini adalah ketika suatu program organisasi saya pada bulan puasa beberapa tahun yang lalu oleh seorang ustaz. Menurut beliau tindakan ini dibenarkan kerana ia merupakan helah dari sudut feqah.

Berlainan pula dengan Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman yang menyatakan bahawa helah ini merupakan helah yang keji kerana matlamat seseorang itu membatalkan puasa dengan makan adalah untuk berjimak. Tindakan ini menurut beliau lagi adalah seolah-olah ingin menipu Allah s.w.t. dan tambah beliau lagi seseorang itu perlu kafarah puasanya jika bertindak sedemikian.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my

Sunday, July 2, 2017

Politik Cara Muawiyah dan Realiti Politik Malaysia


Dalam sejarah politik pemerintahan Islam, berlakunya perubahan bentuk pemilihan Ketua Agama Islam daripada pemilihan secara syura kepada bentuk pemilihan secara monarki.

Perkara ini berlaku ketika pemerintahan Muawiyah bin Abu Sufyan setelah kematian Ali bin Abi Talib. Tidak kurang daripada itu, Muawiyah berjaya meletakkan sistem pewarisan takhta Ketua Agama Islam ini kepada keturunannya melalui kerajaan apa yang dikenali sebagai Kerajaan Bani Umaiyah yang bertahan selama lebih kurang 600 tahun.

Muawiyah seorang ahli politik yang bijak dan pandai mengambil peluang daripada suasana politik yang sedang berlaku. Beliau memahami situasi politik umat Islam ketika pemerintahan Usman dan Ali bin Abi Talib di Madinah di mana ketika ini kekacauan sedang berlaku ketika pemerintahan kedua-dua sahabat nabi ini. Ketika kekacauan sedang mula berlaku ini, beliau mula mempengaruhi orang ramai supaya mengikutinya.

Muawiyah mula naik menjadi Khalifah Islam setelah berakhirnya Perang Siffin.

Keunikan cara politik Muawiyah Abu Sufyan ialah beliau tidak segan silu untuk menabur wang kepada orang ramai supaya menyokongnya. Tambahan pula keturunan Muawiyah ini adalah keturunan saudagar arab yang kaya-raya. Oleh itu, beliau tidak segan-silu memohon jawatan khalifah ketika sahabat-sahabat nabi yang lebih layak untuk menjawat jawatan ini seperti Ali Abi Talib yang masih hidup, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Umar dan lain-lain.

Pengikut-pengikut Muawiyah pula tidak kurang hebatnya dalam bersiasah. Antaranya ialah Amru bin al-Ash, Abdullah bin Suraih, Dhahhak bin Qais dan lain-lain lagi sanggup menggunakan apa sahaja cara untuk mencapai maksud tujuan politik mereka.

Selain itu, Muawiyah juga mengangkat Ziyad Abu Sufyan yang merupakan anak luar nikah ayahnya sendiri sebelum memeluk agama Islam menjadi pembantunya sehinggakan Ziyad menjadi ahli politik yang terkenal.

Berlainan dengan Saidina Ali Abi Talib yang amat berhati-hati dengan penggunaan wang sehinggakan teman-teman rapat dengannya sekali pun melarikan diri daripadanya. Muawiyah pula sentiasa menabur wang supaya orang mengikutinya.

Saidina Ali terlalu keras dalam membuat sesuatu keputusan sehinggakan pengikut-pengikutnya yang tidak bersetuju dengannya bangkit memberontak menentangnya sendiri bahkan kadang-kadang Saidina Ali terpaksa mengikutnya pula lantaran mereka memberontak.

Berlainan pula dengan cara Muawiyah Abu Sufyan untuk menanangani dan berdepan dengan masalah yang timbul oleh orang-orang yang boleh mencabarnya. Apa yang dilakukan oleh beliau ialah menabur duit dengan sebanyak-banyaknya bahkan sanggup memberi negeri kepada sesiapa yang boleh mencabarnya kelak!

Pendekatan ini tidak digunakan oleh Saidina Ali Abi Talib dengan menggunakan harta umat Islam semata-mata untuk mengukuhkan kekuasaannya.

Sebenarnya, apa yang dilakukan oleh pemimpin politik Malaysia pada hari ini ialah menabur duit kepada pengikut-pengikutnya supaya mereka tidak ditentang untuk terus berkuasa walhal sehingga terpaksa menggunakan harta rakyat sekali pun. Pendekatan ini sebenarnya yang meranapkan sistem pemerintahan politik Malaysia sehinggakan rakyat terpaksa membayar harga yang tinggi dengan kenaikan kos dari semasa ke semasa lantaran pemimpin mereka sendiri merompak harta mereka untuk terus berkuasa.

http://wankamarul701.blogspot.my

Thursday, June 8, 2017

Peperangan Terakhir Uthmaniyah : Runtuhnya Sebuah Institusi dan Tinggalannya di Alam Melayu



Buku terbaru dari saya yang bertajuk 'Peperangan Terakhir Uthmaniyah: Runtuhnya Sebuah Institusi & Tinggalannya di Alam Melayu' kini telah diterbitkan. Buku ini adalah berkisar mengenai detik-detik kejatuhan Khilafah Uthmaniyah dan pasca kejatuhannya ketika Turki di bawah pentadbiran Ataturk.
 
Jika anda berminat untuk membeli dan memiliki buku ini, sila hubungi saya melalui e-mail (wan_kamarul@usa.com). Tempahan dibuka sekarang.

https://wankamarul701.blogspot.my

Wednesday, May 17, 2017

The Real Abang Long Fadhil : Pahit Sekarang, Manis Kemudian



Secara keseluruhannya, buku ini boleh dikatakan tidak menceritakan terus dari hati dari seorang manusia yang bernama Abang Long Fadhil. Mungkin agak hambar apabila membaca buku ini.

Saya pun tertarik membeli dan membaca buku ini kerana gambar kulitnya seorang yang berkopiah yang mempunyai tatu di mukanya. Dari minda kita sudah tentu kita menjustifikasikan buku ini menceritakan pengalaman seorang yang jahat berubah menjadi baik.

Ia tidak menceritakan sepertimana buku Rosyam Nor yang bertajuk Impian Jutawan Budak Setinggan yang bercerita secara terus terang dari hati seorang artis yang terkenal yang telah melalui pahit-getir tinggal di rumah setinggan sehingga menjadi artis yang popular di tanah air.

Penceritaan buku ini adalah secara simple-simple sahaja dan diperbanyakkan dengan gambar-gambar manakala tulisannya adalah begitu sedikit sahaja.

Tidak lebih seorang Abang Long Fadhil yang pernah minum arak, makan babi, pukul orang dan sebagainya. Detik-detik perubahannya apabila beliau mengikut jemaah tabligh sehingga ke Palembang. Di Palembang beliau cuba mengejar motor yang berjaya memintasnya yang bergerak secara beramai-ramai. Setelah itu, beliau sesat. Sejak itu beliau mula belajar untuk berserah kepada Allah s.w.t.

Pendek kata, anda boleh untuk membeli dan membaca buku ini sekadar untuk bersantai-santai kerana harganya pun cuma RM15.00.

http://wankamarul701.blogspot.my

Mutiara Kata




“Ketika saya di Inggeris, saya berjudi secara besar-besaran dan kalah. Itulah sebabnya saya gagal dalam ujian ketika saya dibiarkan sendiri ke London untuk melanjutkan studi saya. Pada saat saya seharusnya menghadiri ceramah undang-undang, saya mendatangi lumba kuda itu dan ketika saya kembali ke Malaya saya menyambungnya dengan perlumbaan kuda dengan sedikit perbezaan. Saya hanya mengikuti untuk bersantai dan menghibur diri dan bukan mudah untuk berjudi secara besar-besaran atau ingin kaya secara mudah.”

Tunku Abdul Rahman

Sunday, April 23, 2017

Harta Intelek dalam Penulisan Buku


Setiap buku sebenarnya mempunyai harta inteleknya sendiri. Namun begitu, dari sudut bisnes buku, buku yang menghasilkan banyak royalti sebenarnya dikatakan mempunyai harta intelek yang tinggi.

Kita sudah tentu biasa mendengar bayi yang baru lahir sebenarnya ibarat kain putih. Yang mencorakkannya ialah ibu bapa mereka. Baik atau tidak sebenarnya bayi tersebut apabila besar nanti sebenarnya dicorakkan oleh ibu bapa yang membesarkannya.

Begitulah dengan buku yang dihasilkan. Sebenarnya, semua buku dihasilkan oleh kertas-kertas putih yang masih suci bersih. Masih tidak diconteng atau tidak terconteng dengan apa-apa pun. Yang mencorakkannya ialah penulis-penulis buku itu sendiri.

Membina harta intelek sebenarnya boleh didapati dengan dua cara utama iaitu melalui sumber rujukan ataupun pengalaman peribadi. Ini menurut pemerhatian saya jenis-jenis buku yang berada di pasaran.

Sumber-sumber rujukan pula mestilah ditulis dengan bilangan jumlah yang banyak. Lagi banyak, lagi bagus. Ada buku kewangan yang ditulis dengan jumlah buku rujukan sebanyak 800 buah rujukan. Hebat bukan? Jika saudara ingin menulis buku, saudara perlu mempunyai bahan bacaan yang banyak. Bukan sekadar berbelas-belas buku rujukan sahaja apabila pembaca saudara melihat di bahagian bibliografi.

Kalau sekadar berbelas-belas buku rujukan sahaja, kemungkinan buku saudara itu tidak akan menjadi evergreen. Ini adalah level sekolah menengah sahaja. Orang yang membaca buku saudara pun tidak berminat untuk mempromosikan buku-buku saudara kepada kenalan mereka.

Pengalaman saya sendiri, apabila membaca buku dari luar negara mengenai genre sejarah, ada buku-buku ini yang telah diterbitkan pada tahun 1990-an. Apa yang lebih hebat bagi saya mengenai buku ini, bagaimana buku ini masih boleh bertahan sehingga hari ini bahkan sudah mencecah berbelas-belas tahun di pasaran? Tidak lain dan tidak bukan ialah kerana buku ini ditulis dengan sumber rujukan yang amat banyak sekali.

Sumber-sumber rujukan yang banyak lagi berkualiti kadang-kadang tiada dalam google. Bagi saya, inilah yang membezakan buku biasa dengan buku luar biasa. Apabila buku anda adalah merupakan buku biasa, kadang-kadang pembaca akan cuba untuk mengesan fakta yang saudara kemukakan dalam buku saudara sama ada ia sudah berada dalam internet ataupun tidak. Bagi saya apabila fakta yang saudara kemukakan sudah berada dalam internet, buku saudara itu adalah buku biasa-biasa sahaja.

Namun begitu, ini bukan bermakna kita perlu menolak penggunaan fakta dalam internet 100 peratus. Peratus penggunaan bahan internet yang dibenarkan dalam penulisan akademik ialah sebanyak 30 peratus.

Ini adalah yang cuba saya usahakan untuk penulisan buku pada masa sekarang dan masa akan datang dengan mengetengahkan fakta-fakta dalam penulisan buku yang belum berada dalam internet.

Begitu juga buku yang ditulis berdasarkan pengalaman peribadi, sudah tentu pengalaman ini tidak pernah diceritakan oleh sesiapa dalam google ataupun internet. Buku yang berkaitan dengan pengalaman ialah kebiasaannya adalah mengenai bisnes ataupun genre agama.

Dengan mengembara juga, kita boleh memuatkan gambar-gambar sepanjang pengembaraan kita dalam penulisan buku. Ini sudah tentu menghasilkan sesuatu yang menarik dalam bahan bacaan buku kita.

Saya biasa terdengar bahawa untuk menulis buku, sebenarnya seseorang penulis perlu menghasilkan atau menerbitkan buku 2 kali setahun. Terdetik juga di hati saya, jika kita menerbitkan buku 2 kali setahun, apa sebenarnya yang ditulis oleh penulis-penulis ini? Mungkin buku-buku ini kurang daripada 100 mukasurat ataupun bertaraf kanak-kanak Ribena sahaja. Nak evergreen di pasaran pun saya berasa sukar jika dihasilkan dengan begitu mudah sekali buku-buku seperti ini.

Bagi saya menghasilkan buku 2 tahun sekali merupakan sesuatu yang ideal bagi menghasilkan penulisan yang berkualiti. Kita perlu mengambil masa yang lama untuk memahami bahan bacaan yang banyak, mengolah semula fakta  dan kemudian ditulis semula dalam gaya bahasa kita sendiri.

Dengan kata lain, kita perlu mempunyai cara atau gaya tersendiri untuk menghasilkan suatu bacaan yang baik dan menarik kepada pembaca-pembaca di luar sana. Apa yang penting ialah kita perlu menghasilkan sesuatu yang buku yang evergreen yakni buku yang boleh bertahan lama di pasaran hatta selepas kita tiada di dunia sekalipun.

Subhanallah! Alhamdulillah! Allahuakbar!

http://wankamarul701.blogspot.my

Thursday, April 13, 2017

Jenis Judi yang Diizinkan oleh Kementerian Kewangan dari tahun 1980 hingga 1992


1. Izin judi Empat Nombor Ekor, terdapat di tiap-tiap negeri (kecuali Kelantan) mulai 1 Januari 1991.

2. Izin judi Sports Toto (kecuali Kelantan), mulai 1 Januari 1991.

3. Loteri Pelayanan Masyarakat dan Kebajikan – ditutup pada tahun 1990.

4. Izin judi Nombor Ramalan 3D, 1+3D dan loteri Sweepstakes, yang beroperasi di Semenanjung sahaja, mulai tahun 1989.

5. Izin pengendalian mesin slot kepada kelab-kelab syarikat dan kelab-kelab persatuan di Sabah, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, dan Melaka sahaja.

6. Izin kasino di Genting Highlands.

7. Izin judi Nombor Ramalam 4D, 3D, dan Loto di Sabah.

8. Izin judi Nombor Kuda, yang dijalankan hanya di Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Perak, dan Selangor.

Al-Quran sudah terang-terangan menyatakan haramnya judi. Tetapi, kerajaan kita menjadikan judi ini sebagai sebahagian pendapatan utama negara.

Pendapatan ini pula digunakan untuk membayar gaji pekerja-pekerja perkhidmatan awam. Bagaimana kita ingin menjadikan masyarakat dan negara kita diredhai Allah s.w.t. kerana kerajaan menjadikan benda-benda haram ini sebagai pendapatan rakyat?

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my

Sunday, April 2, 2017

Ciri-ciri Seorang Penulis Hebat


Adakah anda ingin mahu menjadi seorang penulis? Jika anda mempunyai ciri-ciri ini, anda boleh melangkah jauh dalam bidang penulisan :

Suka Bahasa Berbunga

Bahasa berbunga bermaksud anda boleh menyampaikan sesuatu dengan cara anda sendiri. Contohnya, jika anda seorang penulis resensi buku, anda perlu pandai mengolah fakta untuk menyampaikan fakta buku tersebut kepada orang ramai. Anda tidak boleh menggunakan cara penulisan yang sama bagi semua buku dalam penulisan resensi anda.

Minat Membaca

Ini merupakan salah satu faktor sampingan sahaja. Dengan membaca datangnya ilmu, maka sudah tentu anda boleh menulis. Namun, tidak dinafikan bahawa ramai orang yang suka membaca tetapi masih juga tidak pandai menulis.

Kritis dan Kreatif

Kritis dan kreatif perlu bergerak seiringan dalam bidang penulisan. Dalam penulisan, anda perlu kreatif dalam menyampaikan fakta dan hujah anda. Dalam kerja-kerja suntingan, anda perlu kritis terhadap hasil kerja anda untuk menghasilkan sesuatu yang lain dari yang lain.

Banyak Termenung

Banyak termenung bukanlah bermaksud anda suka berkhayal. Banyak termenung di sini bermaksud anda bermenung untuk menghasilkan sesuatu. Jika orang lain melihat tasik sekadar untuk berseronok, anda pula termenung kerana berfikir.

Gemar menyendiri

Boleh dikatakan anda dikatakan sebagai seorang kera sumbang kerana tidak suka bergaul dengan orang lain. Anda perlu menyendiri bagi menghasilkan sesuatu tulisan yang segar dan tenaga dalam menyampaikan sesuatu fakta atau hujah kepada orang ramai.

Menjadi Pengkritik Tegar

Dalam banyak-banyak perkara, mengkritik isu politik adalah satu perkara yang saya minat. Anda harus menjadi pengkritik untuk menjadi seorang penulis yang hebat. Dengan menjadi pengkritik, anda sebenarnya peka sesuatu kelemahan bagi sesuatu isu yang terjadi.

Suka Berimiginasi

Suka berimiginasi sebenarnya baik dalam menghasilkan sesuatu penulisan yang mantap. Ini kerana daya imiginasi bagi seseorang adalah berbeza antara satu sama lain. Dengan memasukkan imiginasi anda contohnya dalam penulisan kreatif, ia sebenarnya menghasilkan sesuatu penulisan yang lain dari yang lain.

Fikiran Anda dari yang Lain

Anda dapat menghasilkan sesuatu idea yang hebat daripada orang lain. Dengan ini, penulisan anda secara automatiknya luar biasa.

Next

Dalam penulisan kreatif, anda boleh menghasilkan sesuatu yang tidak terjangkau oleh orang lain bagi babak-babak yang seterusnya. Ini membuatkan buku yang anda hasilkan lain daripada yang lain.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my

Friday, March 24, 2017

Menulis Banyak Genre atau Satu Genre Sahaja?

Dalam penulisan buku dari sudut bisnes, profesionalisme adalah keutamaan dalam membina jenama penulis. Dengan kata lain, seseorang penulis perlu menumpukan satu genre sahaja. Jika tumpu kepada novel, maknanya seseorang penulis itu hanya perlu menulis novel sahaja.

Lihat sahaja penulis novel yang sedang meletup sekarang iaitu Siti Rosmizah. Apabila google sahaja internet, nama penulis ini memang sentiasa meletup dan menjadi buah mulut peminat-peminat novel dalam mana-mana blog. Daripada pembacaan saya, novel-novel tulisan Siti Rosmizah ini memang best.

Tapi, minta maaflah. Saya ini lelaki dan baca bab-bab novel ini memang takde masa la saya nak layan. Apa pun, saya mesti perlu tahu pasaran bisnes buku sekarang. Kerana saya sekarang mula berjinak-jinak dalam bidang ini, maka saya perlu tahu perkembangan semasa dengan dunia bisnes buku ini.

Kelebihan apabila menulis dengan memfokus satu-satu genre pula menyebabkan kita boleh menulis dan menerbitkan pelbagai buku dalam masa yang singkat. Contohnya ialah sejarah. Apabila kita merujuk satu-satu buku sejarah, mungkin ada poin-poin yang kita boleh gunakan untuk penulisan pada masa akan datang walaupun tidak digunakan ketika sedang menulis.

Bagi saya secara peribadinya, penulisan satu-satu genre sahaja kadang-kadang membosankan. Ia juga tidak melatih untuk mempelbagaikan fikiran kita untuk berfikir dengan lebih luas lagi. Kadang-kadang menulis sesuatu yang bukan bidang kita juga boleh menghasilkan penulisan yang luar biasa lagi mengagumkan.

Jika kita melihat ilmuan-ilmuan Islam, buku-buku hasil tangan mereka bukan tertumpu kepada satu-satu genre sahaja bahkan mereka menghasilkan buku-buku yang bukan sahaja tertumpu kepada bidang agama tetapi juga bidang-bidang sains kerana ilmu-ilmu ini tidak boleh dijuzuk-juzukkan bahkan perlu bergerak seiring dengan penulis itu sendiri.

Menulislah kerana ilmu dan bukannya kerana wang. Mentaliti orang menulis kerana wang ialah hanya menumpukan satu-satu genre sahaja. Itulah apa yang saya perhatikan dan dapat simpulkan dengan dunia bisnes ini. Menulislah kerana ilmu. Kerana apabila kita menyebarkan kebaikan kepada orang ramai, nescaya kebaikan itu akan datang kepada kita semula.

Wallhua’lam.

Thursday, March 16, 2017

Pelajarilah Ilmu Matematik


"Pelajarilah ilmu matematik, kerana ia akan memanjangkan akal kamu."Imam as-Shafie

Monday, March 13, 2017

Sesungguhnya...

Sesungguhnya syiar Allah s.w.t. itu datang daripada hati orang-orang yang bertaqwa. Watak Sultan Ahmed I (1603-1617) yang dilakonkan oleh Ekin Koc dalam tele-drama Muhtehsem Yuzyil : Kosem (The Magnificient Kosem) Sultan yang segak dengan baju perang dan serban.
 
Pemakaian serban oleh pimpinan Uthmaniyah berakhir ketika pemerintahan Sultan Mahmud II (1808-1839) yang memodenkan pakaian tentera Uthmaniyah serta golongan bangsawan untuk meniru gaya pemakaian Eropah dengan memakai fez.
 
 
Segak : Watak Sultan Ahmed I yang dilakukan oleh Ekin Koc

Wednesday, March 1, 2017

Cara Memohon Nombor ISBN dari Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Jika anda berhasrat untuk menerbitkan sendiri buku anda, sudah tentu anda perlu mempunyai nombor ISBN untuk ditampalkan di bahagian belakang buku anda. Dari sudut bisnes buku, nombor ISBN ini adalah penting untuk anda untuk memasarkan buku anda di kedai-kedai. Tidak kiralah sama ada di kedai buku elit, indie, atau tradisional kerana buku yang anda terbitkan ini akan dirujuk dengan nombor ISBN.
 
Di Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) adalah badan yang bertanggungjawab yang menyelia mengeluarkan nombor ISBN kepada mana-mana buku yang diterbitkan di Malaysia. Selain itu, ISBN ini penting bagi melindungi buku yang kita terbitkan daripada dicetak rompak.
Baiklah, jika ini kali pertama anda memohon nombor ISBN, anda perlu mengisi borang berikut :
i. PNM.PK.PBN (O).02(B1) : Borang permohonan menyertai program ISBN.
ii. PNM.PK.PBN (O).02(B2) : Borang permohonan nombor ISBN.
Borang-borang ini boleh didapati di laman rasmi PNM. Sebelum itu, anda diingatkan supaya manuskrip buku anda telah siap ditulis dan diedit. Dengan kata lain, hanya tunggu masa nak design sahaja dalam Adobe InDesign. Jangan anda memohon nombor ISBN ini jika manuskrip belum siap.
Di sini, saya inginkan tekankan bahawa terdapat 2 cara untuk menyertai program ISBN ini iaitu secara atas nama syarikat atau secara atas nama anda sendiri.
Jika atas nama anda sahaja untuk mendaftar program ISBN, anda perlu memberi salinan kad pengenalan sahaja dalam permohonan ini.
Jika anda berhasrat untuk membuka atas nama syarikat, anda perlu mendaftar dahulu syarikat anda di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berdekatan tempat tinggal anda. Kalau macam pengalaman saya, saya hanya mendaftar di SSM UTC Pudu.
Kos pendaftaran adalah sekitar RM80. Ini adalah penting bagi anda untuk mendapatkan nombor pendaftaran syarikat untuk mengisi borang permohonan menyertai program ISBN ini.
Anda juga perlu mempunyai cop syarikat (bentuk bulat dan petak) anda bagi mengisi borang permohonan PNM ini.
Seterusnya, anda boleh menghantar borang (i) dan (ii) ini setelah lengkap diisi. Perlu diingatkan antara dokumen yang perlu dilampirkan sekali ialah :
i. Salinan SSM.
ii. Contoh cover kulit dalam bentuk PDF yang telah siap design.
iii. Mukasurat hakcipta seperti “Hak cipta terpelihara...” Boleh rujuk buku mukasurat hakcipta buku di rumah anda. (Dalam Microsoft Word pun boleh)
Kemudian, anda boleh hantar e-mail kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di alamat e-mail isbn@pnm.gov.my . Kebiasaannya nombor ISBN diberi kepada anda dalam tempoh 2-3 hari sahaja.
Anda perlu menelefon pihak PNM untuk mengetahui status permohonan anda sama ada telah diproses atau tidak kerana bimbang e-mail yang kita hantar tidak diterima oleh pihak mereka ataupun kita tidak menerima e-mail bagi nombor ISBN yang telah siap diproses dan dihantar oleh pihak mereka kepada kita.
Setelah anda telah menerima nombor ISBN daripada pihak PNM, anda boleh janakan barkod nombor ISBN ini di website berikut :
Saya cadangkan website ini kerana ianya free dan gambarnya tajam sebelum kita design buku untuk peringkat seterusnya. Ini adalah contoh barkod ISBN yang telah dijana oleh website ini :
 
Kemudian, barkod ini anda boleh berikan kepada designer buku anda untuk menyiapkan lay out keseluruhan buku anda.
Selain ISBN, anda boleh memohon Pengkatalogan Dalam Penerbitan (PDP). Ini boleh kata sunat saje. Kalau tiada pun tak ape untuk diletakkan dalam mukasurat hakcipta buku anda. Ada eloknya diletakkan PDP dalam mukasurat hak cipta buku anda supaya ianya kelihatan kemas dan menarik.
Rupa PDP ini macam ini. Ini adalah contoh PDP buku pertama saya, Biar Sedikit Asal Diberkati :
Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan
Wan Kamarul Ariffin Wan Ahmad, 1985-
Biar SEDIKIT Asal DIBERKATI / WAN KAMARUL ARIFFIN BIN WAN AHMAD.
ISBN 978-967-12841-0-0
1. Finance, Personal. 2. Saving and investment.
I. Judul.
332.024
Bagi pemohonan PDP, anda dikehendaki mengisi borang PNM.PK(0)PBN.02(B4) yang boleh didapati laman web PNM. Dokumen yang diperlukan bagi permohonan PDP ini ialah :
i. Isi kandungan buku (Microsoft Word)
ii. Prakata (Microsoft Word)
iii. Sinopsis (Microsoft Word)
PDP boleh dipohon sekali bersama dengan nombor ISBN dan PNM akan hantar sekali dengan ISBN apabila kedua-duanya siap diproses.
Setelah siap design dan cetak buku anda, anda dikehendaki menghantar 5 naskah kepada pihak PNM bagi setiap judul yang dipohon dalam tempoh 1 – 3 bulan. Anda boleh menghantar secara by hand ataupun melalui pos. Jika saya dahulu, saya hantar by hand di PNM. Bukan apa, saje cari pengalaman pergi pusat ISBN di PNM.
Jika anda tidak berbuat demikian, anda boleh didenda sebanyak RM3,000 dan syarikat anda atau nama anda boleh diblack list untuk memohon nombor ISBN bagi buku-buku akan datang.
Jika anda tidak jadi menerbitkan buku anda walaupun nombor ISBN dan PDP telah dipohon dan diterima, anda boleh menulis surat kepada pihak PNM untuk membatalkan permohonan ISBN dan PDP yang telah diberikan kepada anda.
Selamat berjaya!!!
http://wankamarul701.blogspot.my

Monday, February 27, 2017

A Kadir Jasin dan Zainuddin Maidin

Meminjam kata-kata Hishamuddin Rais – A Kadir Jasin dan Zainuddin Maidin sebenarnya merupakan penulis upahan UMNO. Walaubagaimanapun, A Kadir Jasin tidak lagi menjadi ahli Umno dan Zainuddin Maidin masih kekal menjadi ahli Umno walaupun parti itu sentiasa dilanda krisis rasuah yang kian meruncing. Parti ini sudah dijadikan oleh Najib dan gang-gangnya sebagai mesin ATM mereka dalam memperkayakan diri dan kaum kerabat mereka.

Sudah pasti kedua-dua ini menjadi penulis upahan Umno ketika zaman pemerintahan Dr. Mahathir.
Berbalik kepada A Kadir Jasin dan Zainuddin Maidin, tidak dinafikan bahawa kualiti penulisan dan tulisan mereka mempunyai kelasnya yang tersendiri. Zainuddin Maidin yang hanya bermula sebagai stinger Utusan Melayu tidak menyangka bahawa beliau akhirnya menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu suatu hari nanti dan mencapai hierarki dalam politik sebagai Menteri Penerangan. Namun, Zainuddin Maidin atau Zam menganggap Utusan Melayu sebagai universitinya kerana beliau sendiri tidak pernah menjejaki kaki ke university.
Bak kata Syed Qutb, “Satu peluru boleh menembus satu kepala manakala satu tulisan boleh menembusi jutaan manusia.”
Kedua-dua penulis ini memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pendapat umum terhadap isu politik semasa. Sudah tentu dalam menyebarkan dakyah propaganda kerajaan peranan mereka ini tidak dapat diketepikan begitu sahaja.
Kedua-duanya yakni A Kadir Jasin dan Zam mempunyai kelebihan dan kekuatan penulisannya yang tersendiri. A Kadir Jasin mempunyai analisa yang mantap dalam menceritakan perkembangan dan naik turun ekonomi kepada masyarakat. Bacaan-bacaan akhbar antarabangsa mengenai iklim ekonomi dunia yang dianalisa dengan mendalam turut menambah kejituannya apabila membicarakan mengenai ekonomi semasa. Tambahan pula pengalaman bersama dengan orang-orang politik ternama negara sepanjang kerjaya kewartawanannya memberi kelebihan kepada beliau untuk menambah harta intelek dalam penulisan beliau.
Manakala Zam pula mempunyai caranya tersendiri apabila dalam menyusun bait-bait ayat-ayatnya dari setiap perenggan ke setiap perenggan yang lain. Bak kata Hamka, penulisan yang baik itu adalah menyalahi tatabahasa penulisan. Apabila terdapat kesalahan tatabahasa, sudah tentu sesuatu penulisan itu akan nampak daripada yang lain. Dalam hal ini, saya amat teruja dengan gaya penulisan Zam yang kadang-kadang menyalahi tatabahasa dalam penulisannya.
Mereka ini adalah penulis-penulis yang terkenal di zaman kegemilangan Umno dahulu. Apabila Umno sudah lemah sekarang kerana terpalit dengan skandal-skandal, tiada lagi penulis upahan Umno yang disifatkan oleh Hishamuddin Rais yang dilahirkan sekarang. Di pihak pembangkang, mereka pun tiada penulis yang berkualiti yang berkredibiliti seperti A Kadir Jasin dan Zainuddin Maidin. Yang mereka tahu di pihak pembangkang ialah duduk maki-hamun pemimpin-pemimpin kerajaan.
Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my

Friday, February 10, 2017

Statistik Pembaca Buku


 
 
Menurut bekas CEO Thomas Nelson Publisher. Statistik yang membaca buku adalah seperti berikut :

Hanya 60 peratus pembaca berjaya menghabiskan buku setebal 100 halaman.

Kemudian, 20 peratus berjaya membaca sehingga halaman akhir buku setebal 200 halaman.

Manakala 3 peratus sahaja berjaya habis membaca buku setebal melebihi 200 halaman.
Dimanakah diri anda?
http://wankamarul701.blogspot.my

Sunday, January 29, 2017

Dulu RM100 Sebulan dalam ASB, Sekarang Beratus Rumah Sewa


Kisah ini saya petik daripada buku Dato’ Aliff Syukri yang bertajuk Buku Duit Strategi Ajaib. Menarik juga kisah ini untuk kita hayati bersama.

“Saya mengenali seorang pembekal yang berjaya dalam perniagaannya. Kewangannya kukuh dan beliau adalah usahawan yang bergelar jutawan. Saya mengenalinya dari awal perniagaan malah dia merupakan salah seorang mentor dalam perniagaan saya.

Saya mempelajari dan memerhatikan bagaimana beliau membuat pelaburan hasil daripada perniagaan. Pernah saya bertanya kepadanya, bila dan berapakah pelaburan yang saya perlu buat setiap bulan?

Beliau memberitahu saya bahawa sesiapa sahaja layak membuat pelaburan. Tak kiralah sama ada anda usahawan atau tidak. Pelaburan bukan tertakluk kepada berapa banyak anda melabur tetapi disiplin dan perlu mengikut kemampuan.

Menurutnya, tabiat melabur yang ada padanya telah dipupuk sejak tahun pertama dia bergelar seorang guru. Waktu itu dia masih makan gaji dan jumlah gaji yang dibawa pulang pada hujung bulan tidaklah banyak tetapi tabiat menyimpan dan melabur telah disemai sejak awal lagi.

Berdikit-dikit beliau menyimpan sebahagian wang gajinya bermula dengan RM100 sebulan sebagai simpanan dan pelaburan ASB. Berkat kesabaran beliau meningkatkan pelaburan yang ada dari masa ke semasa selaras dengan kenaikan tangga gajinya dan mula menyimpan dari hasil jualan kecil-kecilan yang dilakukan selepas waktu bekerja.

Apabila sampai masa, beliau mengeluarkan simpanan tadi, bukanlah keseluruhan tetapi sebahagian daripadanya dan beliau melaburkan dalam stok barangan perniagaan. Ini kerana beliau yakin dapat melipat-gandakan wangnya dengan meningkatkan stok barangan yang dibeli.

“Kalau dilihat dari pendapatan bekerja dan berniaga secara sambilan saya memang boleh pakai kereta lebih selesa sepertimana guru-guru lain, tetapi pada ketika itu saya hanya mempunyai sebuah motor buruk yang membolehkan saya ulang-alik kerja.”

“Nak berduit dan berharta kenalah sabar, kena menyimpan dan melabur dengan baik. Duit bukan senang nak dapat.”

Sambung beliau lagi.

Hari ini tidak hairanlah jika saya lihat beliau hidup cukup senang dengan beratus rumah sewa, kilang dan perusahaan yang berjalan dengan lancar dan baik.”

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my