Sunday, January 8, 2017

Malayonesia


Buku Dr. Mat Rofa Ismail yang bertajuk ‘Malayonesia: Kerdipan Bintang Melayu di Langit Melayu’ sebenarnya memperihalkan mengenai sejarah alam melayu atau nusantara. Buku ini sebenarnya adalah sambungan daripada buku beliau sebelum ini yang bertajuk ‘Kerdipan Bintang Melayu di Langit Turki’ yang mencetuskan kontroversi di tanah air kerana beliau menggunakan sumber primer hasil kajian beliau sendiri untuk menyanggah sejarah rasmi negara kita.

Buku ini adalah mengupas mengenai sejarah nusantara. ‘Malayonesia’ adalah merujuk kepada gugusan kepulauan melayu seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, dan sebagainya mengikut geografi moden pada hari ini.

Dr. Mat Rofa mengupas tulisan yang ditulis oleh Salih Affandi Jaudat yang bertajuk Ummat al-Malayu di mana buku ini telah diterbitkan pada tahun 1901. Buku ini sebenarnya ingin menceritakan mengenai masyarakat Islam yang tinggal di Timur jauh. Salih Affandi Jaudat sebenarnya merupakan kawan kepada anakanda Sultan Kedah yang belajar di Mesir ketika itu yang bernama Tunku Mansor ibn al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1889-1932). Selain itu, Dr. Mat Rofa juga membedah buku yang ditulis oleh Alfred Rusell Wallace yang bertajuk The Malay Archipelago : The Lang of the Orang-Utan and the Bird of Paradise serta Tarikh Fathani yang ditulis oleh Syeikh Faqih Ali.

Antara kandungan menarik buku ini ialah :

a. Nama negara kita Malaysia pada hari ini telah digunakan pada tahun 1937 walhal negara Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963. Malaysia yang dirujuk oleh Ruppert Emerson dalam bukunya bertajuk Malaysia: A Study in Direct and Indirect Rule yag ditulis pada tahun 1937 adalah merujuk kepada gugusan kepulauan melayu atau nusantara.

b. Jika hari ini Amerika Syarikat menguasai dunia, maka Belanda telah menguasai dunia pada kurun ke-16 dan 17. Apa yang lebih hebat lagi ialah Belanda telah dapat menguasai geografi kepulauan melayu iaitu 40 kali ganda lebih besar daripada geografinya sendiri!

c. Gunung Ledang di Tanah Melayu juga merujuk kepada Mount Ophir yang ditulis di dalam kitab Bible.

d. Wallace telah melakukan kajian geografi di Alam Melayu dari tahun 1854 sehingga 1862 lalu pulang ke England selepas itu. Dalam kajian beliau mengenai tabii alam melayu, beliau telah berjaya mengumpul 125,600 spesimen termasuk 310 haiwan mamalia, 100 reptilia, 8,050 burung dan unggas, 7,500 kulit kerang, 13,100 lepidoptera, dan 13,400 jenis serangga.

e. Jika fahaman Orientalisme merupakan fahaman pandangan Barat terhadap Timur, maka fahaman Timur terhadap Barat dikenali sebagai Oksidentalisme.

f. Teori Darwin yang menyatakan bahawa manusia ini berasal daripada beruk sebenarnya adalah mencuri teori yang telah diperkenalkan oleh Wallace.

Sekadar ini sahaja dahulu saya menulis poin-poin penting mengenai buku ini. Anda boleh mendapatkannya di pasaran untuk mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini. Saya mengambil masa 2 bulan untuk memahami betul-betul dan menghabiskan pembacaan buku ini. Jika anda lebih cepat menghabiskan pembacaan buku ini dari saya, sudah tentu anda lebih laju daripada saya.
 
Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my

No comments: