Sunday, August 20, 2017

Anda Ingin Menjual Proton ataupun Mercedes-Benz?

Dalam menjual produk--produk di pasaran,  setiap pelanggan mempunyai dimensi masing-masing. Dimensi ini boleh diukur melalui taraf pendapatan pelanggan ataupun pembeli itu sendiri. Apabila seseorang pelanggan itu mempunyai pendapatan yang rendah, sudah tentu dia ingin membeli produk yang bersepadan dengan pendapatannya. Apabila seseorang itu mempunyai pendapatan tinggi, sudah tentu dia sanggup membeli barangan yang mahal walaupun dia boleh mendapatkan barang yang lebih murah dari itu.

Analogi ini boleh diterjemahkan dalam pembeliaan kereta. Seseorang yang berpendapatan rendah sudah tentu hanya mampu menaiki kereta Proton sahaja untuk kegunaan seharian. Manakala orang-orang kaya sudah tentu mampu memiliki kereta Mercedes untuk kegunaan seharian mereka walaupun mereka boleh memiliki kereta Proton ataupun memiliki kedua-dua model kereta ini sekaligus.

Jika dilihat dari sudut keuntungan, sudah tentu pasaran kereta Proton mempunyai segmen pelanggan yang lebih besar daripada pasaran kereta Mercedes itu sendiri. Tetapi, keuntungan jualan setiap kereta Proton itu sedikit berbanding kereta Mercedes Benz. Keuntungan sebuah hasil pembelian kereta Mercedes Benz sudah tentu menyamai beberapa buah ataupun berbelas-belas kereta Proton Saga. Harga sebuah kereta Mercedes-Benz mungkin mencecah RM400,000 tetapi harga sebuah kereta Proton Saga hanya RM40,000.

Masyarakat mungkin tidak mampu untuk memiliki kereta Mercedes-Benz. Akan tetapi, apabila seseorang membeli kereta berjenama eksklusif ini keuntungan berganda dapat diraih walaupun pembelinya sukar dicari tetapi ianya tetap ada dalam masyarakat.

Itulah yang ingin saya cuba kaitkan apabila saya atau anda sendiri yang sedang terlibat dalam industri bisnes buku. Dalam industri buku, banyak syarikat penerbitan sedia ada yang mampu menjual buku dengan harga yang sangat murah. Mereka mampu menjual harga buku dengan sangat murah kerana mereka boleh mencetak buku dengan kuantiti yang banyak pada satu-satu masa. Berbanding dengan penerbit-penerbit kecil, kita sudah tentu tidak mempunyai modal yang besar untuk mencetak dengan kuantiti yang banyak.

Kita sebagai pemain baru dalam industri buku sudah tentu tidak mampu untuk bersaing dengan penerbit-penerbit besar ini dari sudut harga buku. Apa yang kita mampu ialah menyediakan produk-produk yang mahal kepada pelanggan. Tidak lain dan tidak bukan ialah sasaran pembeli buku-buku kita ialah orang-orang kaya ataupun orang yang berpendapatan tinggi.

Inilah yang saya maksudkan iaitu pelanggan-pelanggan yang bertaraf 'Mercedes-Benz' yang akan membeli produk-produk buku kita yang mahal. Mereka ini tetap ada dalam masyarakat tetapi skalanya agak kecil.

Untuk membina kepercayaan orang ramai agar membeli produk buku kita yang mahal ini, sudah tentu kualiti produk yang perlu kita jaga agar mereka berasa berbaloi untuk memiliki buku kita ini walaupun ianya mahal.

Untuk menghasilkan buku yang baik dan mahal, sudah tentu kita memerlukan designer yang berpengalaman dan juga editor yang juga berpengalaman. Kita tidak boleh mendapatkan khidmat-khidmat editor atau designer yang cap ayam yang boleh dicari melalui google kerana kita ingin bersaing dengan syarikat-syarikat penerbitan buku di luar sana semata-mata untuk mendapatkan harga yang murah.

Inilah yang berlaku kepada saya apabila saya ingin dan berjaya menerbitkan buku kedua saya iaitu 'Peperangan Terakhir Uthmaniyah : Runtuhnya Sebuah Institusi & Tinggalannya di Alam Melayu'. Untuk menghasilkan karya yang baik untuk tatapan orang ramai, saya mendapatkan khidmat designer syarikat grafik untuk membuat buku yang berwarna-warni. Keterujaan buku ini juga ditambah apabila saya menyisipkan gambar-gambar sepanjang pengembaraan ke Turki di dalam buku ini. Ini penting bagi saya agar para pelanggan berasa berbaloi apabila membeli buku ini walaupun ianya mahal.

Ada baiknya anda mempunyai target pasaran atau pengguna sendiri apabila mengeluarkan sendiri produk-produk anda. Ini adalah penting untuk anda bagi membuat target jualan atau keuntungan dan lebih penting lagi ialah untuk memastikan syarikat anda yang berdaftar dengan SSM terus survive.

Wallahua'lam.

No comments: