Thursday, August 24, 2017

Satu Pokok Getah Tidak Dinamakan Estet

Satu pokok getah tidak dinamakan estet – Itulah pepatah tamil yang boleh kita kaitkan dengan kehidupan seharian kita.

Apabila kita melihat satu batang pokok getah walaupun ianya boleh mengeluarkan hasil, ianya tidak boleh memberikan keuntungan yang berganda kepada kita untuk menjadi seorang jutawan. Itulah realitinya apabila kita cuba kaitkan dengan kehidupan kita pada hari ini
Dalam bidang hartanah, sekiranya anda hanya mempunyai sebuah rumah sewa, ianya tidak boleh memberikan keuntungan berganda kepada anda. Melainkan anda membina satu demi satu hartanah anda. Ada baiknya anda perlu mempunyai 79 buah rumah sewa untuk menjadi seorang jutawan. Saya tidak mahu memberi sifir keuntungan sekian sekian jika anda mempunyai bilangan rumah sewa sebanyak sekian sekian kerana sifir keuntungan perniagaan adalah tidak sama dengan sifir matematik.
Apa yang lebih penting lagi dalam bisnes buku, kita tidak boleh bergantung kepada sebuah buku sahaja untuk survive dalam industri penerbitan ini yang boleh membawa anda menjadi seorang selebriti ataupun ke arah menjadi seorang selebriti. Jika anda bergantung kepada sebuah buku sahaja, sudah tentu bayaran royalti ataupun keuntungan yang diterima boleh membayar bayaran rumah sewa anda untuk hanya beberapa bulan sahaja.
Jika anda mempunyai banyak buku, sudah tentu royalti yang diperolehi daripada buku-buku anda ini boleh membawa pulangan berganda dan lumayan kepada anda. Kata orang, jika anda ingin hidup dengan royalti buku-buku anda, anda perlu memberi masa sekurang-sekurangnya lima tahun kepada diri anda untuk memberi tumpuan kepada bidang penulisan buku ini.
Ingatlah, tiada jalan pintas untuk berjaya di dalam dunia ini!
Saya teringat dengan nama seorang novelis lelaki terkenal iaitu Ahadiat Akashah yang merupakan penulis novel yang paling popular pada tahun 1990-an. Beliau dikatakan boleh membeli sebuah kondominium berharga RM400,000 hasil daripada royalti daripada novel-novelnya.
Malangnya, setiap sesuatu ada awal dan akhirnya. Bintang Ahadiat Akashah ini mulai pudar apabila Malaysia ini memasuki alaf baru bermula tahun 2000 apabila muncul lagi penulis-penulis novel baru yang berjaya menyaingi beliau apabila menampilkan jalan-jalan cerita baru yang boleh memancing minat remaja ketika ini.
Apa yang anda harus ingat ketika ini ialah cerita-cerita novel adalah berubah mengikut zaman dan citarasa semasa. Jika dahulu jalan ceritanya ialah lelaki tidak diterima oleh keluarga perempuan kerana dirinya miskin tetapi zaman sekarang cerita-cerita perkahwinan adalah sekadar di atas kertas sahaja. Zina, seks bebas, anak luar nikah sekarang menjadi trend biasa dalam cerita-cerita novel zaman sekarang.
Menulis satu-satu genre bolehkan anda menulis atau membuat buku dengan banyak kerana fakta yang anda gunakan adalah bertindih-tindih antara satu buku dengan satu buku yang lain. Cuba kita di pasaran seseorang penulis buku yang tertumpu kepada satu-satu genre sahaja dan tidak meloncat dari satu genre ke genre yang lain. Oleh itu, tidak hairanlah seseorang penulis itu boleh memiliki 30 – 40 buah buku walaupun usianya boleh lagi nak tambah 3 orang bini lagi.
Pendek kata, perancangan perlu ada dalam membuat sesuatu. Tidak kiralah apa-apa bidang sekalipun. Janji serasi dengan minat dan hati supaya ianya menjadi suatu hari nanti.
Wallahu’alam.

No comments: