Wednesday, March 14, 2018

Konsep Malaysian Malaysia

Konsep Malaysia Malaysia bermaksud Malaysia untuk bangsa Malaysia telah diutarakan oleh PAP pada Mei 1965 bersama-sama parti lain, yang akhirnya menubuhkan Malaysia Solidarity Concention (MSC). Konsep ini bertitik tolak daripada prinsip demokratik sosialis yang menekankan kebebasan hak semua kaum yang menduduki Malaysia. Tidak perlu ada sesuatu kaum tertentu yang akan menguasai politik mahupun ekonomi. Dalam erti kata lain, tiada sekatan untuk setiap individu mengecapi hak dan kebebasan rakyat Malaysia. Konsep ini dengan terang dan nyata mahu menafikan hak dan kedudukan istimewa yang selama ini dipelihara untuk orang melayu kerana dalam konsep ini peruntukan seperti itu tidak seharusnya ada.

Bagi orang melayu, khususnya di Semenanjung, mereka sudah tentu tidak dapat menerima konsep ini kerana dengan menerima konsep ini bermakna akan hilanglah hak keistimewaan yang diperuntukkan kepada mereka. Ini juga bermakna mereka akan menghadapi persaingan tanpa sekatan daripada semua kaum terutama berkaitan dengan kuasa politik. Oleh yang demikian, perasaan perkauman muncul kerana PAP adalah parti yang dianggotai oleh kaum Cina dan hak yang hendak digugat ialah hak orang melayu, walaupun MSC tidak menyatakannya secara khusus. Cabaran PAP ini telah disambut dengan serangan balas oleh Ultra Nasionalis Melayu seperti Dr. Mahathir Mohamad, Syed Jaafar Albar, Syed Nasir Ismail, Datuk Senu Abdul Rahman, Ghafar Baba, dan lain-lain.

Sumber :
1. Abdul Rahman Ibrahim, 13 Mei 1969 Di Kuala Lumpur, 2015, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments: