Tuesday, April 17, 2018

Pertempuran British dan Khilafah Uthmaniyah untuk Menguasai Gaza

Pertempuran sengit telah meletus apabila pihak British telah mencuba untuk menakluk dan menguasai Gaza daripada penguasaan Uthmaniyah ketika Perang Dunia Pertama. Percubaan pertama British untuk menguasai Gaza ialah pada 17 April 1917 di mana pihak British menggunakan kereta kebal yang baru diperkenalkan ketika itu.

 Kemaraan British untuk menakluki Gaza pada kali pertama berjaya dipatahkan oleh Divisyen ke-4 artileri tentera Uthmaniyah. Di samping itu, pihak Jerman yang merupakan sekutu Uthmaniyah membantu mengebom kedudukan tentera British. Pertempuran pada kali ini menyaksikan tentera British mengalami kematian 6,444 orang tenteranya manakala Uthmaniyah pula kehilangan 402 tentera. Kemenangan pada 21 April 1917 amat bermakna kepada Uthmaniyah kerana mereka dapat menghalang British untuk menakluki Jerusalem.
Pada bulan Ogos 1917, pihak British yang telah berjaya menghasut orang-orang Arab melancarkan Revolusi Arab untuk menentang Uthmaniyah telah mengebom landasan kereta api Hijaz yang menjadi sistem perhubungan utama untuk membawa bekalan senjata bagi mempertahankan Gaza. Sebelum itu, pada bulan Julai 1917, pihak British telah berjaya menawan Pelabuhan Aqaba untuk menghalang bantuan senjata dihantar melalui laut ke Gaza. Sesungguhnya keadaan ini telah melemahkan usaha untuk mempertahankan Gaza.
Pada 3 November 1917, pihak British melancarkan serangan ke atas tentera Uthmaniyah untuk menawan Gaza. Pada 7 November 1917, tentera Uthmaniyah berjaya ditewaskan oleh British pada kali ini dan akhirnya Gaza jatuh ke tangan British. Pada bulan Disember 1917, pihak British berjaya menguasai sepenuhnya Palestin dan ini menandakan berakhirnya penguasaan orang Islam umumnya ke atas Palestin sejak abad pertengahan.